Blog Rasmi Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar (MTIAA)

KEDAI Buku Online Anda

Saudara-saudari juga dijemput untuk ke kedai buku DAMAI BOOK CAFE [sila klik]
*************************************************************************************************

WANG di hujung JARI anda!!!!!!!!!

Thursday, August 13, 2009

Erti 13 Ogos bagi ku!

Gambar di atas diambil pada 28 Mei 2000. Bererti sudah 9 tahun berlalu. Along (Nur Nasihah) pun sudah mencapai umur 10 tahun.
Biasanya setiap awal pagi 13 Ogos, akan ku berikan ciuman dituruti ucapan 'Selamat Hari Lahir'. buat isteri tercinta Norizan Bt Jaffar atau panggilan manja Izan. Tetapi sangat berlainan untuk pagi ini, 13 Ogos 2009. Hatiku sungguh merasa sayu; dan sebenarnya hatiku terlebih dahulu sayu sejak 10hb iaitu hari Isnin lagi. Aku tak tahu entah mengapa fikiran ku sungguh kuat terkenangkan isteri ku Norizan. Dan air mata juga kerap bercucuran.
Gambar di atas sedikit sebanyak dapat mengubati rinduku. Bersama kami; anak kami yang sulong (Nur Nasihah) menjadi tanda pengikat kasih-sayang kami.
Walaupun hidup kami ketika ini sekadarnya sahaja. Tapi hidup ku cukup bahagia dengan curahan penuh kasih sayang dari Isteri tercinta. Tidak pernah berdengus atau memberontak sekalipun kenderaan kami hanyalah motosikal Honda EX5. Mungkin rakan-rakan seperjuangan masih ingat dengan nombor plat MAG 8250.
Kehidupan seharian kami harungi dengan kasih dan ceria. Lebih-lebih lagi ketika ini kami sama-sama sedang meneruskan pelajaran.
Tetapi segalanya berubah dengan begitu pantas sekali. 13 Ogos 1999 hingglah 13 Ogos 2008 sudah tidak sama dengan 13 Ogos 2009. Isteriku yang tercinta Norizan Bt Jaffar terlebih dahulu mengadap ilahi pada 31 Oktober 2008. Tiada lagi ciuman beserta ucapan 'Selamat Hari Lahir' pada 13 Ogos. Yang tinggal adalah ingatan kasih-sayang dari suami yang daif ini. Sentiasa mengiringi dirimu dengan doa agar Allah menjadikan lubang kuburmu sebagai ruang syurga bagimu. Dan suamimu membulatkan niat agar amalanku terus diterima olehmu sepertimana ketika kita mengemudi hidup bersama.....aminnnn.

"Izan! abang redha terhadap dirimu dan juga pemergianmu....semoga syahid paling layak bagimu."

Monday, August 10, 2009

Apakah ada Hikmah dalam Tarbiyah & Didikan?


Saya tertarik apabila menonton sebuah filem Indonesia yang bertajuk 'Perempuan Berkalung Sorban (serban)' melalui Youtube.com. [klik di sini untuk menonton].



Filem ini mengisahkan pengorbanan dalam usaha membawa pembaharuan dalam sistem pendidikan Islam konservatif. Seorang perempuan, anak kyai Salafiah sekaligus seorang ibu dan isteri. Anissa (Revalina S. Temat), seorang perempuan dengan pendirian kuat dan cerdas. Anissa hidup dalam lingkungan keluarga kyai di pesantren Salafiah putri Al Huda, Jawa Timur yang konservatif. Baginya ilmu sejati dan benar hanyalah Al-Quran, Hadith dan Sunnah. Buku moden dianggap menyimpang. Dalam pesantren Salafiah putri Al Huda diajarkan bagaimana menjadi seorang perempuan muslim dimana pelajaran itu membuat Anissa beranggapan bahwa Islam membela laki-laki, perempuan sangat lemah dan tidak seimbang. Tapi protes Anissa selalu dianggap rengekan anak kecil. Hanya Khudori (Oka Antara), paman dari pihak Ibu, yang selalu menemani Anissa. Menghiburnya sekaligus menyajikan dunia yang lain bagi Anissa. Diam-diam Anissa menaruh hati kepada Khudori. Tapi cinta itu tidak terbalas karena Khudori menyadari dirinya masih ada hubungan dekat dengan keluarga Kyai Hanan (Joshua Pandelaky), sekalipun bukan sedarah. Hal itu membuat Khudori selalu mencuba membunuh cintanya. Sampai akhirnya Khudori melanjutkan sekolah ke Cairo. Secara diam-diam Anissa mendaftarkan kuliah ke Jogja dan diterima, tapi Kyai Hanan tidak mengizinkan, dengan alasan boleh menimbulkan fitnah, ketika seorang perempuan belum menikah berada sendirian jauh dari orang tua. Anissa merengek dan protes dengan alasan ayahnya. Akhirnya Anissa dinikahkan dengan Samsudin (Reza Rahadian), seorang anak Kyai dari pesantren Salaf terbesar di Jawa Timur. Sekalipun hati Anissa memberontak, tapi pernikahan itu dilangsungkan juga. Kemudian Samsudin menikah pula dengan Kalsum (Francine Roosenda). Harapan untuk menjadi perempuan muslimah yang sejati bagi Anissa runtuh seketika. Dalam perjalanan kesusahanya itu, Anissa dipertemukan lagi dengan Khudori. Keduanya masih sama-sama mencintai... Apakah cinta Anissa dan Khudori berakhir di pernikahan? Bagaimana hubungan Anissa dan kedua orang tuanya dan Samsudin suaminya? Apakah Anissa dapat menjadi muslimah seperti yang diinginkan orang tuanya? Pemain: Revalina S. Temat, Joshua Pandelaki, Widyawati, Oka Antara, Reza Rahadian, Ida Leman, Tika Putri .
Filem ini mengesahkan mengenai satu usaha pembaharuan budaya yang ingin dibawa oleh seorang anak gadis bernama Anissa di Pasantren (pondok menuntut ilmu) Al Huda yang juga merupakan milik bapanya. Apa yang diperjuangkan oleh Anissa ialah kebebasan sebagai seorang wanita samada dari segi ilmu mahupun hak.


Mungkin secara penafsiran selapis, sesetengah pihak akan beranggapan bahawa filem ini sengaja dibikin atas tujuan untuk memburukkan institusi pendidikan Islam yang tulen terutama sistem pendidikan pondok atau maahad yang berasaskan tarbiyah islami tulen.





Tetapi dari pandangan saya sebagai Mudir/Pengetua Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar seterusnya merangkap Pengerusi Yayasan Al Ansar. Menafsir filem ini dari lapisan yang berlainan. Terutama apabila dinilai melalui tanggungjawab dalam mendidik anak-anak serta anak-anak didik di Maahad Al Ansar




1. Hal ini kerana saya perlu terima kenyataan bahawa saya juga punyai anak-anak yang perlu ditarbiyah dan didik serta pada masa yang sama perlu diraikan 'kebebasan' dan hak anak-anak.

2. Saya punyai ribuan anak-anak didik yang telah dan insyallah akan ditarbiyah. Di mana sebarang kesilapan dan pentarbiyahan bukan sahaja akan diri mereka akan terpesong malah generasi di bawah didikan mereka juga akan turut serta.

3. Saya perlu ambil ikhtibar atas 'post' DERHAKA 1, DERHAKA 2, DERHAKA 3, DERHAKA 4. (klik pada tajuk jika belum membaca) yang saya tuliskan sebelum ini. Kerana penderhakaan / pengkhianatan itu bermula pada diri kita dahulu sebelum orang lain mengkhianati kita.



Positif dari filem:

1. Dalam mendidik sememangnya kita iginkan anak atau anak didik tadi terbentuk mengikut acuan kita. Tetapi kekadang kita terlupa bahawa acuan yang kita bawa itu sebenarnya adalah acuan yang hanya lebih dari pemahaman adat dan tidak mengikut saluran Islam secara syumul. Terutama dalam pendidikan Islam adakalanya kita tertukar antara tuntutan syariat dengan fahaman adat bangsa. Akibatnya kita mencari helah syariat untuk menghalalkan fahaman adat bangsa tersebut. Ini bukan sahaja akan menimbulkan kekeliruan bahkan akan mengkucar-kacirkan pendidikan Islam yang tulen. Lebih teruk lagi jiwa anak; kanak-kanak atau remaja yang inginkan kebebasan akan memberontak dan terus meletakkan beban penghalang kepada ISLAM.

2. Antara perkara terpenting sebagai ibubapa mahupun pendidik ialah kita mesti mampu bersedia meraikan anak-anak/anak didik kita. Seperti mana yang pernah saya tuliskan dalam 'post' terdahulu 'Raikanlah Anak-anak Kita'. Sememangnya sebagai orang yang lebih tua lebih-lebih lagi jika bergelar muraqib (guru). Kita akan merasakan bahawa kita lebih dahulu atau lebih banyak makan garam, nasi, cili, cuka, gula atau apa saja berbanding mereka. Mungkin juga pengalaman kita sudah luas melangit. Tetapi apa yang kita perlu renungkan serta fahami bahawa apa yang ada dalam hati, minda dan perasaan kita tidak sama, sama sekali dengan apa yang ada dalam hati, minda dan perasaan mereka.
Contohnya: a) Kita melihat televisyen sebagai sumber mendapat maklumat tetapi anak-anak akan melihat ianya sebagai saluran mendapat hiburan.
b) Begitu juga apabila kita menonton filem ini, anak-anak akan mengambilnya sebagai halwa mata dan menilai secara selapis. Mungkin apa yang mereka dapat ialah mengenai keburukan sistem pendidikan Islam tulen yang ditonjolkan secara lansung lalu mengaburi hati mereka akan tersirat yang mampu dilihat secara positif.

Oleh yang demikian sewajibnya kita tidak hipokirit dan perlu menerima kenyataan bahawa kita juga pernah berada ditempat mereka suatu ketika dahulu.




3. Keikhlasan adalah perkara yang paling utama dalam mentarbiyah serta mendidik. Niat perlu dubulatkan hanya semata-mata kerana tugas sebagai Khalifah Allah. Bukan takut malu dengan masyarakat, menjaga nama atau apa alasan kedunian sekalipun.


Kesimpulan

Mendidik secara Pendidikan Islam yang Tulen dan Holistik adalah satu KEWAJIBAN. Pemesongannya dengan fahaman adat serta digarapi dengan sikap Hipokrit Diri bukan sahaja akan memburukkan nama Pendidikan Islam itu sendiri bahkan mampu menhancur kehidupan generasi yang dididik.


Wallahualam.

Wednesday, July 29, 2009

Diari dari Kubur


Zaman kanak-kanak hingga remaja ku.........
Aku dibesarkan di Kg. Tuju, Parit Buntar Perak, sbg anak kampung aku seorang yang nakal & aktif. Aku berani mencuba segalanya. segala yang aku lihat ngin ku ubah. buluh ku ubah jadi senapang, pelepah pinang ku ubah jadi sport car, sungai ku jadikan swimming pool, kerbau ku jadikan kuda, pasir ku jadikan istana…sehingga suatu hari aku bercita-cita untuk mengubah dunia ini.
Kini ku sudah renaja….azam ku untuk mengubah dunia semakin kuat..aku yakin bila dewasa nanti aku mampu untuk mengubah dunia ini.

Sekitar umur 20an ++...............









Aku mula mendirikan rumah tangga…setahun berikutnya dikurniakan anak sulung…Dalam tempoh 30 tahun perkahwinan aku
dikurniakan 5 oarang anak…Aku berkerja di Pejabat Tanah & Galian Kajang. Dalam kesibukan kerja & urusan keluarga….hidup ku adalah sekitar pejabat dan rumah. Pejam celik….ahhhh umur ku telah hampir 56thn…..alamak dah nak PENCEN.

Selepas pencen......
Aku dikurniakan tanah hutan bertaraf temporary permit di sini (Teras Jernang, Bangi) . Wahhhh….ini peluangku untuk mengubah dunia seperti aku cita-citakan semasa kecil dahulu.
Akan ku dirikan chalet bertaraf lima bintang serta sebuah ladang ternakan yang terunggul di Malaysia di sini.
Hari bertemu hari, kesihatan ku semakin lemah..hari yang dilalui sekitar hospital, rumah, menimang cucu, klinik, surat khabar, kedai runcit, farmasi, rumah anak-anak kemudian ke hospital semula..sekarang aku ???????????????


p/s: - Dunia berubah, isi dunia berubah....Perubahan adalah lumrah alam. Jadi untuk mengubah sesuatu diri perlu BERUBAH dahulu.
- Bagi kita yang ada peluang. Fikir, rancang dan laksanakanlah kehidupan ini sebaik mungkin. Peluang untuk hidup hanya sekali, akhirat berkekalan selamanya.
- Semua gambar yang dipaparkan hanyalah hiasan sahaja.

Wallahualam.

Monday, July 27, 2009

Qiyadi Training with Biodiversiti Camp ( kem kepimpinan yang bersifat biodiversiti)

Pada 24, 25 dan 26 Julai 2009 yang baru saja berlalu saya bersama Mualim/ah Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar (MTIAA) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Malaysia (PERHILITAN) telah menganjurkan Qiyadi Training with Biodiversiti Camp. Program ini telah dilaksanakan di Payah Indah Wetland. Program 3 hari 2 malam ini telah dimanfaatkan sepenuhnya dengan modul-modul kepimpinan secara penyerapan biodiversiti. Berikut dicatitkan tentatif program:

24 Julai 2009 (Jumaat)

3.30pm: Pendaftaran peserta/Taklimat program
7.30pm: Solat Jama'
8pm: Tazkirah 'Kepimpinan Sebagai Tanggungjawab' oleh Ustaz Muhammad Sabir
9.30pm: Night Safari
11pm: Modul Kepimpinan 1
1am: Himpun daya

25 Julai 2009 (Sabtu)

5.51am: Solat Subuh
6.15am: Modul Kepimpinan 2
7am: Riadah
8am: Futur
8.30am: Kembara Alam + Slod Kepimpinan 1
1pm: Ghada'/Solat Jama'
3pm: Pandu Arah Kompas + Slod Kepimpinan 2
6.45pm: Asya'
7.30pm: Solat Jama'
8pm: Modul Kepimpinan 3
9.30pm: Cengkerik Malam
11.30pm: Himpun Daya

26 Julai 2009 (Ahad)

3.30am: Tahajjud
4am: Modul Kepimpinan 4
5am: Binding
5.51am: Solat Subuh/Munajat
7am: Riadah/Futur
8am: Lawatan Interpretif
12pm: Muhasabah Program
12.30pm: Penutup
1pm: Ghada' / Ilal Liqa'




Satu kelainan program ini ialah dimana nilai kepimpinan diserap secara pemerhatian dan penilaian alam.



Sebagai kenangan ku abadi kan juga disini kenangan peribadi:

Friday, July 24, 2009

Bukan Ayam Daging


Kita adalah insan yang dilahirkan bersama FITRAH kesempurnaan ISLAM. Yang dibekalkan akal dan nafsu seiring. Bukannya seperti haiwan yang hanya ada nafsu sahaja.

Pastinya kita tidak sama sekali sama sifatnya seperti ayam daging. Yang duduk satu sangkar bersama rakan-rakannya di rumah penyembelihan. Apabila seekor dari rakan disembelih oleh penyembelih. Rakan lain pun ibarat berkata " itu dia yang kena sembelih bukannya aku". Itu sebab ayam daging boleh terus duduk mengempoh, berehat tenang dalam sangkar tanpa menggelupuh.

Hari ini, semua dada akhbar menukir berita 'Dua Beradik Mati selepas Meragut Wanita' (klik untuk baca berita lebih lanjut).

Apakah detikkan hati kita sebagai insan apabila membaca berita ini?
Apakah luahan naluri sebagai muslim / mukmin ketika menyusuri setiap huruf tajuk ini?
Apa yang kita fikirkan sebagai seorang yang begelar bapa atau pun ibu mahupun abang, kakak atau adik?
dan yang penting sekali "Apa yang ada dalam benak kita sekarang ini sekiranya kita sekarang bergelar pemimpin?

Yang pasti kita bukan ayam daging yang tak mampu berfikir. Yang ada hati boleh dimakan tetapi tak punya perasaan. Yang ada anak tetapi bukan zuriat keturunan. Tak perlu memimpin dan dipimpin; serta tak dipertangungjawabkan dosa dan pahala.

Adakah kita pada saat, ketika, masa dan hari ini boleh memberi jaminan bahawa anak, adik, anak saudara, abang, kakak atau siapa sahaja yang tersenarai sebagai zuriat dan sama keturunan dengan kita sama sekali tidak akan terlibat dengan permasalahan seperti ini. Itu masih belum disentuh keasamaan keturunan yang datangnya dari Nabi Adam. Subhanallah!

Seterusnya,
Adakah pada saat dan ketika ini yang kita ini sedang bergelar Ustaz, Motivator, Professor, Syeikh, Pengarah, Menteri, Yang Berhormat, Pengarah, atau apa sahaja pangkat dan ketinggian gelaran dunia akan terhindar atau tidak sama sekali akan mengalami begini.???

Adakah mampu bagi kita mengatakan " aahhhh ! ini hanya berlaku pada keluarga yang nerempat saja, jenis makan pun tak cukup !."

Fahami dan sedarilah. Perkara ini berlaku bukan kerana makan tak cukup atau dikalangan keluarga yang merempat serta keluarga yang tak punya pendidikan. Tetapi sebenarnya ia adalah persoalan pentarbiyahan, persekitaran serta yang penting sekali ialah akidah dan munajat-penggantungan hati terhadap Rabbul Jalil.

(selingan dari berita)....tak sedih dan tersentuh kah kita, akhirnya nyawa adik-beradik ini dalam keadaan kemalangan ketika meragut.

Ya dia bukan anak, abang, kakak, adik atau sama keturunan dengan kita. Tapi sepertimana saya katakan dia atas tadi. Mampukah kita bahawa perkara ini tidak akan berlaku dalam keturunan dan zuriat kita?.

Marilah kita semak diri kita samada kita pernah derhaka kerana kita bimbang satu penderhakaan berlaku dalam keturunan atau zuriat kita (rujuk semula dalam tulisan saya 'DERHAKA 1, 2, 3 & 4')

Sekiranya kita pada saat ini bergelar ibu/ayah.....berhabisan duitlah untuk pendidikan Rohani anak-anak kita. Letakkan pendidikan Islam itu adalah keutamaan yang utama dan pada masa yang sama pendidikan duniawi bukan nombor 2. Rintih dan munajat lah pada Allah s.w.t hampir setiap 2/3 malam.

Atau siapa sahaja kita lakukanlah usaha untuk elakkan perkara ini. Samada mengerah atau mencegah. Kerana ingat satu hari nanti kita tetap ada zuriat keturunan serta kebertagungjawaban.

Wallahualam!

Wednesday, July 22, 2009

MasyaAllah LaQuwataillah Billah

Bagi pembaca yang masih ingat bahawa saya pernah menulis pada post terdahulu mengenai 'Latihlah Anak Dengan Kesempurnaan' (bagi yang belum baca sila tekan pada tajuk).

Secara ringkasnya saya mengajak kita sebagai ibu bapa bersama dengan anak-anak bukan sahaja mengerjakan yang makruf, tetapi turut mencegah kemungkaran bersama. Tunjuk dan buktikan kepada mereka bahawa Islam ini syumul. Bukan sahaja menfardhukan solat, puasa, zakat dan pelbagai amalan-amalan lagi bahkan menuntut mencegah perkara-perkara mungkar. Bukan sahaja pada diri tetapi turut terhadap masyarakat sekeliling.


MasyaAllah LaQuwataillah Billah

Seperti biasa setiap petang aku akan mengambil 3 orang anak-anak ku di Putrajaya. Iaitu di rumah kawanku sebagai transit dari sekolah mereka di Sri Al Amin Bangi. Pastinya sebaik sahaja mereka memasuki kereta, berbagai laporan dan celoteh yang mereka akan sampaikan pada ku. Tapi kali ini (Rabu - 15 Julai 2009) bunyi celotehnya agak lain.

"Abi tadi Along (10 tahun), Angah (8 tahun), Muhammad Muzakkir (6 tahun), Nabilah (9 tahun), Nasibah (8 tahun) nampak ada kakak dan abang berpeluk dekat 'bus stop' depan tumah Nabilah." Anakku Nur Nasihah memulakan bicara.
" Ya! jadi, apa yang along buat?." Tanya ku.
" Along ingat macam abi cakap dulu, kita orang pun pergi dekat kakak tu."Jawap Nur Nasihah

Berikut adalah perbualan antara mereka dengan 'kakak' yang dimaksudkan:
Along & kawan2: " Assalamualaikum kakak, kakak siapa nama?."
Kakak: " Waalaikummussalam, Adila."
Along & kawan2: " Kakak! yang lelaki tu tadi siapa?."
Kakak: "Ohhh, kawan."
Along & kawan2: "Tadi kami nampak kakak berpeluk dengan kawan kakak tu. Perbuatan macam tu Allah marah kakak, boleh masuk api neraka."
Kakak: Terkedu seketika
Along & kawan2: "Assalamualikum kakak, kami pergi dahulu.

"Lepas tu kan abi kami nampak kawan lelaki kakak tu datang senula. Dia terus duduk dekat dengan kakak Adila. Tapi kakak Adila lari-lari. Lelaki tu cuba rapat lagi, tapi kakak Adila tetap mengelak." tambah Nur Nasihah dengan penuh minat.

" Ah, kan abi dah kata. Jangan takut tegur orang buat maksiat, sebab Allah ada bersama kita. Kalau dia apa-apakan kita sekalipun dan kita mati akibat dari itu. Kita akan mati syahid."
sambil dalam hati ku menyebut 'MASYA'ALLAH LAQUWATAILLAH BILLAH' (lafaz yang sebaik di sebut apabila ingin memuji anak-anak)

" Ya Allah! jadikanlah anak-anak ini sebagai Quratia'yun....AMIN"

Tuesday, July 21, 2009

Telatah 27 Rejab

Alhamdulillah..........sejak hari Ahad lagi; aku lontarkan idea kepada isteri dan anak-anak agar berpuasa pada keesokkan harinya. Ini satu usaha sebagai menyambut pemergiannya bulan Rejab. Syukur....idea aku disambut baik oleh isteri dan anak-anak.
Terutama Muhammad Muzakkir (6 tahun - anak keempatku). Dia sangat menyambut baik cadangan ni. Apa tidaknya, dia baru saja 'frust'. Sebab usahanya untuk berpuasa bulan lepas tak kesampaian apabila sebaik sampai sahaja di Taska, gurunya suruh dia berbuka. Kerana bimbang pelajar saja mengadakan alasan untuk tidak makan. Silap aku juga, kerana tak memaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Taska.
Jadi untuk kali ini, berkali-kali anak keempat ku itu mengingatkan ku agar menelifon pihak Taska untuk memaklumkannya bahawa dia berpuasa. Tanpa berlengah aku mencapai telifon bimbit ku untuk aku set kan dalam 'reminder'.
Seawal jam 5am, isteri ku menyediakan hidangan sahur. Kemudian aku pula membangkitkan anak-anak dari lena untuk bersedia sahur bersama. Wah....selera sungguh mereka makan. Maklumlah, sup tulang!

Lebih kurang sekitar jam 4.30pm, isteri memandu tenang menuju ke Sek. Ren. Sri Al Amin Bangi untuk mengambil 3 orang anakku yang bersekolah di sana. Sesampai saja di sekolah, kelihatan mereka sungguh letih. Nur Nasihah khabatnya sudah berbuka akibat dari cirit-birit. Muzakkir pula baru sahaja berbuka kerana tak tahan lapar katanya. Nur Nadhirah masih bertahan. Tetapi yang pasti semuanya berada dalam keadaan letih.

Dalam perjalanan pulang, isteri agak merasa pelik sedikit. Kerana suasana dalam kereta sunyi sepi, tak seperti biasa. Terutama Muhammad Muzakkir yang sentiasa bermulut becok. Setiba sahaja dikedai runcit isteri ku sempat menoleh ke belakang. Alangkah terperanjat serta, semua anak-anak 'pengsan'. Sambil tersenyum isteriku sempat mengambil gambar ini (lihat gambar).

Buat anak-anak. Tahniah dari abi.....moga usaha kalian diberi kekuatan dan kalian akan terus kuat dan bersemangat untuk berpuasa.

Saturday, July 18, 2009

" For things to change I must CHANGE First"

Sudah rindu rasanya hendak menulis. Tapi apakan daya kesibukan menguruskan Maahad; menghad masa saya bersama blog. Insayallah tulisan kali ini saya cuba kongsi bersama apa yang nak disampaikan dari 'post' Suara Hatiku.

" For things to change I must CHANGE First" atau dalam bahasa Malaysia nya "Untuk sesuatu berubah SAYA perlu berubah dahulu"

Dari kisah Mat Beruk.....kesian dia bukan. Dia merasakan dia mampu mengubah keadaan tanpa dia sendiri tidak bersedia untuk berubah. Seterusnya ia dialunkan dengan hipokrit kekuatan dan kekuasaan yang pernah ia cipta sewaktu ketika dahulu. Tanpa sedar atau tidak kekuasaan nya berkurang dan terus pupus dimakan perubahan zaman.
Perubahan zaman membawa kepada perubahan pengalihan kuasa. Siapa yang tidur atau terlena dengan kelunakkan kuasa yang pernah diciptanya dahulu akan tertipu dengan zaman yang berubah. Mat Beruk akhirnya tidak mampu mengubah kuasa baru yang datang menuruti zaman.

Begitulah kita sebagai insan.

Dalam kehidupan, kita sentiasa mengimpikan sesuatu yang indah. Kita akan berusaha merancang dan melaksanakan apa yang kita impikan.
Di dalam merancang dan melaksana kita terlibat untuk mengubah itu dan ini; atau sekiranya terdapat halangan kita pasti menyalahkan itu dan ini.
Tapi kita terlupa sebenarnya kita ini adalah insan. Ada had kuasa atau kawalan kita. Iaitu dikenali sebagai lingkungan kawalan. Cuba kita bangun serta depakan tangan. Apa yang kita mampu capai. Apa yang mampu kita pegang. Apa yang mampu kita cuit. Apa yang mampu kita sigung. Apa yang mapu kita cubit.
Tidak lain dan tidak bukan yang paling mudah untuk dipegang ialah diri kita sendiri. Luar dari itu kita terpaksa bergerak untuk memegang atau sebagainya.

Maka dengan itu bersedialah mengubah diri dahulu sebelum mengharapkan sesuatu berubah.

Wednesday, July 1, 2009

Suara Hati ku


Selamat datang ke Alang Sendayu rakanku….

Terlalu banyak sebenarnya yang ingin ku ceritakan dalam surat ini…tapi aku singkatkan je lah…sebabnya aku bukanlah pandai sangat…maklum le sekolah hutan ajeee.
Dulu aku sungguh berkuasa di kawasan ini…aku lompat ke mana sahaja aku suka. Aku ganggu sapa saja yang aku mahu. Aku makan apa saja yang aku jumpa. Aku kawal semuanya. Pendek kata aku Raja peringkat atasan (atas pokok).
Kawasan ini adalah milik aku. Namun perubahan tidak boleh dielak, ia terus berlaku….Manusia mula meneroka hutan ini dan dijadikannya perkampungan….aku tak kisah….aku merasakan mereka ini sama saja seperti yang lain…boleh ku kawal…boleh ku kuasai…boleh ku lakukan sesuka hati, sepertimana ku lakukan pada binatang yang lain.
Aku tak kisahkan kedatangan mereka ….aku rasa aku tak perlu lakukan sesuatu, tak perlu berubah…aku adalah seperti aku yang dulu …malah aku mahu lebih berkuasa.
Tapi andaian aku salah…..sedang aku asyik menganggu dengan ganasnya terhadap manusia; aku tertipu hanya dengan sebiji pisang yang diletakkan di dalam sangkar ini.

................…….cisssss aku tertipu.

Sekarang tiada lagi istilah raja, ganas, kuasa, bebas, seronok, gembira dan…………
Hanya yang ada kebosanan, kongkongan, penjara, kemurungan dan apa-apa ajee lah….
Angan-angan ku untuk menguasai kampung ini berkecai, punah-ranah, hancur…ahhh!




Ikhlas:
MAT BERUK

.........................................................................................................................................................................



kepada para pembaca......!

Surat ini saya terjumpa ketika saya kendalikan 'training'
Fitrah Quotient di Alang Sendayu - Gombak. Iaitu ketika menziarahi serta sedang asyik melihat gelagat beruk ini. Saya terlihat seperti ada segumpal kertas di bawah sangkarnya.
Sehingga kini saya masih tertanya-tanya, mengapakah Mat Beruk ini menulis surat sebegini.

Harap saudara/i membantu saya dengan menulis ulasan saudara/i di ruangan ulasan dibawah 'post' ini.

Jazkallah.....

Sunday, June 28, 2009

Kasih & Sayang



Inilah kebesaran Allah...... setiap makhluk dikurniakan perasaan. Ada perasaan sedih, hiba, suka, duka, benci, kecewa, marah, dengki dan beraneka lagi. Begitu juga dengan manusia. Syumulnya kejadian manusia yang Allah jadikan. Dari bahagian penciptaan manusia yang terdiri dari 4 bahagian. Kecerdasan spiritual (spiritual quotient), kecerdasan intelektual (intelectual quotient), kecerdasan emosi (emotional quotient) dan kecerdasan fizikal (physical quotient). Spiritual mencari keharmonian dan perkembangan sesuai dengan sifat roh; manakala akal fikiran berfikir secara logik yang pada masa yang sama mampu menerima dan menolak maklumat. Dalam pada itu minda separa sedar hanya mampu menerima dan tidak lagi menolak maklumat, secara langsung melaksanakan peranan emosi serta dizahirkan oleh tubuh (fizikal).
Ingatkah kita pengalaman belajar memandu. Punyalah kaku tangan pegang 'stereng'. Kemudian apabila sampai masa untuk menukar 'gear', kita perlu berfikir dahulu sambil mata menjeling takut salah tolak 'stick gear'. Tetapi pabila sudah kerap pegang 'stereng'. Kita tidak lagi perlu berfikir lama untuk bertindak ketika memandu. Kerana apa?.
Kerana kita tidak memandu menggunakan minda tetapi cara pemanduan telah pun terserap dalam hati kita (minda separa sedar) hasil dari pelaziman/tubi yang kita lakukan. Dalam erti kata lain. Kita memandu dengan hati/sepenuh hati.
Buktinya, apabila perasaan/hati kita terganggu, maka pemanduan kita juga turut terganggu.

Inilah indahnya insan yang dilahirkan bersamanya Fitrah. Fitrah Kasih & Sayang adalah milik semua insan yang lahir ke dunia. Kehilangannya mampu digarap semula dengan tusukan tubi pada minda sedar yang akhirnya mengalah untuk membenarkan ia kembali terpahat di hati.

Apabila hati sudah disemai, dibajai seterusnya menghijau dengan kasih-sayang. Maka datanglah cabaran dan dugaan sebasar mana sekalipun, insyallah akan dapat dihadapinya dengan ketenangan dan senyuman. Hal ini kerana mata hati telah dapat melihat bahawa sandaran Kasih-Sayang sebenar adalah terhadap Allah Rabbul Jalil.

Sepertimana kata pepatah. Pabila kasih-sayang telah bertaut. Makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Sehingga begini dikaitkan tentang Kuasa Cinta/Kasih Sayang.

Hadapilah rona-rona hidup ini dengan Cinta/Kasih-Sayang




Wallahualam.....

p/s: Dipetik dari modul Fitrah Quotient, kelolaan Pengerusi Yayasan Al Ansar - Rosazli B Md Yasin (sazli ansari). Penerangan lanjut sila email: sazli.ansari@yahoo.com

Friday, June 26, 2009

Perspektif <--> Kasih-Sayang

Realiti kehidupan yang sudah dan bakal ditempuhi hakikatnya tidak seindah yang diimpikan. Setiap hari apa yang kita pandang, dengar, lihat, hidu dan rasa boleh mengubah perspektif dan persepsi kita tentang kehidupan. Sudah tentu saat bertukar saat, masa beredar, hari bertukar hari perkara di atas datang dengan pelbagai ton warna. Adakalanya kita lihat hitam tapi dengarnya putih, bila hidu pula kelabu.
Hakikatnya itulah dunia. Mata kemungkinan melihat keburukan, berlainan pula dengan telinga terdengar yang baik-baik. Tetapi perasaan masih membuat pertimbangan yang samar-samar.
Saya yakin hampir setiap orang pernah berjumpa situasi seperti gambar di bawah:
atau,
danDalam pada itu kita juga terhidang dengan situasi begini (seperti gambar dibawah):
jugaatau...Pasti minda kita menilai perspektif yang berbeza pada setiap gambar/situasi di atas. Secara lansung mempengaruhi emosi seterusnya jiwa dan naluri kita. Tidak keterlaluan jika saya katakan 'mood' kita juga turut berubah. Minda terpengaruh dengan nilaian perspektif yang dibuat secara sehala/sempit.
Alangkah indahnya jika minda kita mampu membuka penilaian PERSPEKTIF dengan lebih Luas. Dilihat secara Positif dan diterima dengan penuh Kasih-Sayang.
Apabila sesuatu itu dinilai dengan PERSPEKTIF yang sangat luas (multi highway - bukan sehala). Maka benak akan mampu mendapatkan positifnya berlaku sesuatu tersebut. Natijahnya Kasih-sayang akan tersemat hasil dari tusukan-tusukan positif yang menyusuk ke kalbu.

Jika ini sudah diajar secara lazim pada minda. Hati akan mengambil alih. Emosi KASIH-SAYANG akan mendahului dalam semua perkara dan situasi. Tidak kira apa yang kita pandang, dengar, hidu atau rasa. Putih, kelabu, busuk, wangi atau hitam sekalipun ia. Mata hati akan menyerapnya dengan penuh Kasih-Sayang.

Wallahualam.....

p/s: Dipetik dari modul Fitrah Quotient kelolaan Pengerusi Yayasan Al Ansar [Rosazli B Md Yasin (sazli ansari). Untuk penerangan lanjut sila email: www.sazli.ansari@yahoo.com ]

Thursday, June 25, 2009

Raikanlah anak-anak kita.

Sebagai insan, antara perkara yang kita rasa gembira ialah apabila kita dapat yang kita kehendaki. Begitu juga dengan perasaan. Kita akan rasa dihargai malah ada yang rasa disayangi apabila ada insan lain menghargai serta meraikan perasaan atau naluri kita. Lebih-lebih lagi jika insan tersebut adalah merupakan insan yang terdekat atau paling dekat dengan kita.

Inilah yang berlaku ke atas pasangan suami isteri. Yang memerlukan saling menghargai serta meraikan perasaan dan naluri masing-masing. Maka dengan itu keharmonian tersemai dalam rumahtangga.

Dalam keseronokan bergelar pasangan suami isteri; jangan nghalit bahawa terdapat satu lagi gelaran. Iaitu pasangan ibu bapa. Berbeza dengan pasangan suami isteri; dimana kesejahteraan perhubungan adalah antara mereka berdua sahaja. Menjaga perasaan adalah diantara mereka berdua sahaja. Tetapi berlainan dengan pasangan ibu bapa. Hubungan mereka adalah berkaitan dengan anak-anak.

Oleh itu, sebagai pasangan suami isteri yang mempunyai anak-anak. Rai dan hargailah naluri dan perasaan anak-anak sepertimana kita inginkan pasangan kita rai dan hargai naluri dan persaan kita.

Sudah tentu dalam melayari kehidupan bersama anak-anak. Terdapat pelbagai kerenah dan ragam. Tetapi yakin dan percayalah bahawa ianya sebenarnya luahan perasaan dan naluri anak yang diterbitkan dalam bentuk ragam atau kerenah.

Maka hadapilah kerenah anak-anak ini dengan menghargai terlebih dahulu naluri mereka. Sememangnya, kerapkali naluri yang mereka zahirkan berpunca dari permintaan yang tak sukar diterima. Tetapi hargainyalah terlebih dahulu.

Contohnya, dalam situasi seorang anak yang berumr 4 tahun sukar serta menangis ketika dikejutkan dari tidur untuk ke Tadika. Mungkin ada dikalangan ibu bapa yang membebel sambil berkata "Ish adik ni, bangunlah cepat. Nanti mak/ayah kena marah dengan bos kalau datang lambat."
Dengan cara ini bukan sahaja kita tak meraikan naluri anak yang masih lagi rasa mengantuk malah kita bebankan lagi anak tadi untuk mengambil tahu masalah kita.

Sebaiknnya kita raikan dahulu naluri anak tadi dengan berkata "Kesian adik mengantukkan. Adik mesti nak tidur lagikan. Mak/ayah semua sayang kat adik. Adik anak soleh, rajin pergi sekolah, pergi sekolah awal, suka jumpa kawan-kawan. Mak/ayah suka hantar adik ke sekolah, adik pun suka mak/ayah hantarkan. Jom kita mandi, nanti mak/ayah boleh hantar adik." Sambil tangan kita mengusap rambut anak dan menggosok-gosok badan anak.

Yakin dan percayalah ego anak akan hilang disebabkan mereka merasakan naluri dan perasaan mereka dihargai dan difahami.

Wallahualam!

Tuesday, June 16, 2009

Latihlah anak dengan Kesempurnaan (2)

..........................sambungan




Sekiranya kita tak kenalkan anak-anak terhadap perkara mungkar. Atau kita menutup pintu terus untuk itu. Mereka akanjadi jumud dengan kehidupan. Dalam fikiran mereka sesungguhnya kehidupan dan manusia ini semunya baik, bersolat dan ikut perintah Allah.



Tetapi kita perlu ingat apabila mereka sudah meningkat remaja. Penerokaan alam mereka semakin berkembang luas. Walaupun kita beranggapan kita boleh menyekatnya serta memberi saluran yang baik. Suatu hari nanti mereka pasti terlepas dari 'ikatan' kita. Membawa diri jauh dari kita samada merantau untuk belajar atau bekerja. Persediaan mental perlu.

Bukan pemikiran yang hanya berdasarkan teori dan keindahan hidup. Tetapi mental yang telah menerima program landskap kehidupan yang praktikal.
Hal ini menyebabkan mental anak tidak terkejut walau apa pun situasi yang berlaku didepan matanya atau menyerang benaknya. Walau apa pun budaya yang dihidangkan.
Ia tidak mengalami 'culture shock', disebabkan benaknya tidak menganggap ia sebagai perkara baru dan lebih penting ia boleh menapis serta telah 'diprogramkan' (semasa zaman kanak-kanak lagi) penyelesaiannya.

Tetapi apa akibatnya jika kita hanya dedahkan anak pada ibadah khusus semata-mata. Tanpa mengajak anak bersama-sama mencegah kemungkaran.
Kemungkinan besar remaja yang mengalami situasi seperti di atas akan kecelaruan. Sebab benaknya tidak pernah di'program' dengan kehadiran perkara mungkar dan pencegahannya. Lebih-lebih lagi mereka jauh dari kita. Hilang tempat sandaran dan rujukan. Lebih malang lagi, mereka duduk dalam suasana yang tiada siapa boleh menghalang atau menasihati.

Maka, tidak hairanlah kita baca di dada-dada akhbar atau kita dengar dari perbualan rakan-rakan. Terdapat pelajar-pelajar cemerlang, tetapi apabila jauh dari 'genggaman' ibubapa. Mereka menjadi rosak. Lebih malang lagi perkara ini juga melibatkan pelajar-pelajar aliran agama serta tahfiz. Adakah mereka tak cukup ilmu agama atau mereka tidak diberitahu tentang perkara mungkar serta balasan yang bakal menimpa.



Sudah tentu TIDAK!.
Tetapi mereka tak diajar serta dipraktikkan untuk mencegah kemungkaran terutama dengan 'tangan' mereka sendiri. Dengan itu benak mereka tidak mempunyai input yang jelas tentang perkara mungkar dan cara menanganinya.

Yakin dan jelaslah bahawa benarlah syariat Islam yang mengajak umatnya

'Mengajak Ma'ruf dan Mencegah Kemungkaran'

Kesempurnaan inilah yang kita perlu latih dan didik anak-anak kita.

Monday, June 15, 2009

Latihlah anak dengan Kesempurnaan (1)

Alhamdulillah cuti 2 minggu sempena cuti sekolah berjalan lancar. Takdir mengubah segalanya. Kalau dulu percutian ke Pantai Timur hanya menghala ke Ketereh, Kelantan. Sambil menziarahi 8 orang adik-beradik yang turut menetap di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Tetapi percutian sempena cuti sekolah kali ini menuntut untuk turut pulang ke Besut, Terengganu. Takdir Allah telah menentukan aku mempunyai 2 orang mak mentua. Syukur pada Allah kerana kedua-duanya adalah mak mentua yang baik.

Anak-anak juga turut gembira dengan cuti sekolah kali ini. Mereka dapat melalui pengalaman, budaya serta bahasa baru, iaitu bahasa Malaysia telo Terengganu. Iaitu bahasa yang kaya dengan 'g'. Apa yang lebih utama anak-anak juga mendapat tambahan kasih sayang dari keluarga yang baru.

Sepanjang 2 minggu pelbagai gelagat dan keletah anak-anak dapat ku perhatikan. Begitu juga gelagat dan keletah anak-anak orang lain. Iaitu ketika aku membawa anak-anak ke tempat awam. Seperti taman permainan dan taman hutan rekreasi.

Disini anak-anak terdedah dengan pelbagai aspek sosial dan budaya. Samada baik, buruk atau kelabu.

Biasanya ibu bapa mendidik anak dengan memberi tumpuan pada perkara-perkara kebaikkan. Solat, puasa, bercakap benar, hormat orang tua, menjaga batasan mahram dan berbagai lagi kemakrufan.
"Sayang kena sentiasa buat baik, jadi anak soleh. Nanti Allah sayang!."
"Sayang kena rajin solat, sebab nanti Allah akan sayang kita!."

Inilah ucapan yang biasa kita lontarkan kepada anak-anak. Tidaklah saya katakan ucapan ini salah. Namun kita perlu faham bahawa Islam datang bukanlah dengan ilmu teori lagi ideal. Ia hadir sebagai ilmu praktikal yang memandu cara hidup manusia. Yang mana Allah terlebih dahulu sedia maklum bahawa manusia ini bermacam kerenah dan helahnya.

Buktinya, Allah datangkan rasul dari jenis manusia juga. Diperintahkan bukan sahaja menyeru pada kebaikkan tetapi juga mencegah segala macam kemungkaran yang dicipta serta dilaksanakan oleh manusia. Sudah menjadi lumrah manusia, tenang dalam melakukan kebaikkan: pada masa yang sama terpanggil untuk berbuat mungkar.

Oleh yang demikian dalam kita mendidik anak-anak. Kita perlu dedahkan mereka pada kedua-duanya. Ajak, ransang serta berahikan mereka untuk berbuat segala macam kemakrufan. Dan pada masa yang sama jangan lupa musuh pada kemakrufan juga perlu didedahkan. Iaitu kemungkaran.


Dedahkan anak pada Kemungkaran?

Ya! dedahkan mereka pada kemungkaran. Tapi bukan bermaksud ajak anak lakukan perkara mungkar.
Sepanjang saya berehlah membawa anak-anak di taman-taman permainan dan taman-taman hutan rekreasi. Pastinya kami akan bertemu dengan bermacam perkara mungkar. Antara perkara-perkara tersebut ialah:
1. Pasangan yang berdua-duan sambil bercumbuan
2. Pergaulan kumpulan lelaki dan perempuan yang bebas
3. Kumpulan lelaki dan perempuan yang membuka aurat serta menjolok mata.

Maka ambil lah peluang ini untuk ajak seluruh ahli keluarga termasuk anak-anak untuk mencegah kemungkaran tersebut.
Caranya sangat mudah. Bawa isteri dan anak-anak kita kepada pasangan atau kumpulan tersebut. Kemudian kita berbual-bual lah dengan mereka. Seterusnya memberi teguran atas kemungkaran yang mereka lakukan dengan nada yang harmoni. Pastikan anak-anak kita dengar serta saksikan apa yang kita ucap dan lakukan. Jangan takut untuk lakukan. Pasti, jika kita ikhlas. Allah bersama dengan kita.

Apa yang lebih utama, anak-anak mendapat iktibar. Bahawa dalam hidup ini bukan sahaja ada perkara yang dinamakan Amal Makruf. Tetapi ada Amal Mungkar yang boleh memusnahkan Makruf. Dan Mungkar ini perlu dicegah.

Maka hati anak akan berkata " Ohhhh! rupanya berduan lelaki-perempuan (contoh perkara mungkar) ini ada. Tetapi ianya perkara yang perlu dicegah dan dijauhi."



bersambung......................

Tuesday, June 2, 2009

Maaf !

Maaf..........sempena cuti sekolah saya mengambil peluang ini untuk menziarahi keluarga di Besut (Terengganu) dan di Kelantan.

"Jadi tak da post la"


'SELAMAT BERCUTI'