Tuesday, October 27, 2009
LOVE...............
"Kakak buat apa tu!," tegur ku kepada anak kelima ku, Nur Nasriyah yang baru mencecah umur 4 tahun itu. Begitu nghalip aku lihat dia duduk menulis. Menyebabkan aku begitu teruja untuk mengetahui apa yang dibuatnya.
"Kakak tulis 'love' lah Abi," jawabnya dengan penuh ceria.
" 'Love'?," aku agak sikit terkejut. "Boleh Abi tengok kakak punya 'love'," sambungku.
"Boleh! marilah sini."
"Cantiknya kakak punya 'love', pandai kakak lukis," pujiku kepada puteri ku yang sangat keletah itu.
"Kakak 'love' sapa, Abi 'love' kakak," sambungku.
"Kakak 'love' Abi, Umi, dua-dua Umi. Along, Angah, Abang, Miqdam, Nenek, Atuk, Tok Munah, Wan, Cik Pipah, Cik Na," balasnya dengan nada sangat gembira.
"Alhamdulillah!," bisik hati kecil ku. Anak kecil ini mampu memahami erti kasih sayang. Seawal umurnya telah mengerti kepada siapa yang ia perlu berikan kasih atau 'love'. Walaupun anak ini pernah trauma apabila 'kasihnya' ditarik Allah s.w.t dengan sekelip mata. Namun aku bersyukur kerana ia mampu menilai dan memberi kasih walaupun arwah Uminya telah setahun pergi menemui Rabbul Jalil. Semoga kasih anak ini mencahayakan kubur Uminya serta menceriakan keluarga. Amin!
Wallahualam.
Saturday, October 24, 2009
Ifa Sayang! [Peranan anak dalam menyerikan rumahtangga]
Peluang ini saya gunakan untuk melayari internet. Tujuan utama ialah untuk mendapatkan maklumat mengenai Bajet 2010 yang dibentangkan semalam oleh Perdana Menteri. Maka saya terus labuhkan 'laptop' di atas meja santai yang berada di halaman rumah. Sedang khusyuk membaca laporan akhbar, suatu suara lembut lagi lunak menyapa saya.
"Pakcik, Along dan Angah mana?," tanya Ifa, anak jiran sebelah rumah.
"Ahhh!, Ifa. Along Angah ada di atas, tengah mengemas."
"Ehhhh!, pakcik ni asyik suruh anak-anak pakcik je buat kerja." Tersenyum saya bila mendengar celoteh anak yang berumur 6 tahun ni.
"Ya lah!, anak pakcik dah besar. Along Angah kenalah belajar untuk tolong buat kerja-kerja di rumah."
"Kenapa pakcik tak buat?," sambung anak comel itu tanda kurang puas hati dengan jawapan saya sebentar tadi.
"Begitu juga dengan Ifa. Ifa kena tolong umi kemas rumah. Masa Ifa kecil umi Ifa buat semua untuk Ifa termasuk uruskan rumah. Jadi bila Ifa dah besar, tiba masanya Ifa bantu Umi." Anak comel itu terus diam, nampak seperti rasa memahami di riak wajahnya.
Semoga anak-anak ku serta anak-anak jiranku yang keletah itu faham bahawa sudah tiba suatu masa diperingkat umur mereka seawal 5 tahun. Mereka perlu membantu kerja-kerja menyelenggara rumah yang sebelum ini dilakukan oleh kedua ibu bapa mereka. Seperti menyapu, mengemas, membasuh pinggan, melipat kain. Dan seawal tujuh tahun, dengan pengawasan mereka sepetutnya mampu untuk menggosok baju sendiri.
Insyallah dengan cara dan latihan ini kita doakan agar anak-anak kita mampu memahami bahawa mereka juga mempunyai peranan dalam menyerikan rumahtangga.
Wallahualam.
Friday, October 2, 2009
Tarbiyah Eidulfitri (1)
"Kita nak pergi mana Abi." Tanya Muzakkir (abang chik) yang sememangnya punya sifat suka bertanya.
"Kita nak pergi jalan-jalan lah abang!." Sampuk kakak yang baru sahaja berumur 4 tahun itu dengan ceria.
"Abang ingat tak abang pernah ajak Abi pergi rumah Atuk dan Nenek dulu."
"Yeh! yeh! kita nak pergi rumah Atuk." Jerit kakak gembira.
Puan Maria merupakan kawan arwah isteriku ketika mengajar di Sekolah Menengah Telok Dato', Banting, Selangor. Manakala Hj. Misran adalah suami Puan Maria. Mereka berdua inilah yang dipanggil atuk dan nenek oleh anak-anakku.
Setiba sahaja di rumah Kak Maria; mereka yang telah bersedia, menyambut kedatangan kami sekeluarga dengan mesra. Hj Misran yang sememanganya gemar dengan kanak-kanak menyambut girang Nasihah, Nadhirah, Muzakkir dan Nasriyah. Anak-anak saya juga nampak selesa dengan sambutan dan layanan mereka.
Topik perbualan kami sekitar becerita serta bertanyakan suasana menyambut Eidulfitri. Sesekali aku tanyakan juga mengenai perkembangan rakan-rakan Sekolah Menengah Telok Dato'.
"Kakak banyak dapat duit raya tak?." Tanya Hj Misran kepada anakku Nur Nasriyah.
"Banyak! tapi beri Umi simpan."
"Ha! bagus lah macam tu."
"Mari turun bawah, kita makan mee. Mee goreng, anak bujang nek yang masak." Seru Kak Maria yang tiba-tiba menyelah perbualan kami anak-beranak dengan Hj Misran.
"Ahhh! ini mesti 'special' ni." Sahut ku yang lantas mengundang gelakan keriangan kami anak-beranak serta isi rumah.
Selesai sahaja menjamu, anak-anak ku bersalam dengan Kak Maria, Hj Misran serta anak-anaknya. Hj Misran turut menghulurkan duit raya kepada anak-anakku.
"Along, Angah, Abang Chik, Kakak. Nenek dan Atuk ni kawan Umi. Umi Norizan." Jelaskan ku kepada anak-anak tujuan untuk lebih mengukuhkan kefahaman mereka.
"Abi sayang Umi, tapi Umi dah tak da. Jadi Abi tetap ziarah Nenek dan Atuk. Sebab Nenek kawan rapat Umi. Itu yang Rasulullah suruh kita buat." Jelas ku lagi.
"Jadi, jika ditakdirkan Abi takda. Along, Angah, Abang Chik, Kakak, kena tetap ziarah Nenek dan Atuk ya!."
Anak-anak semuanya mengangguk faham. Setakat mana kefahaman mereka, wallhualam!. Tapi yang penting sebagai bapa aku perlu mentarbiyah mereka untuk menghargai serta terus menyalurkan kasih-sayang pada Umi mereka dengan cara yang diajar oleh baginda Rasullulah s.a.w. Lebih-lebih lagi dalam suasana hari-raya dimana amalan ziarah-menziarahi menjadi amalan masyarakat.
Harapnya sekiranya umurku singkat, anak-anakku tahu siapa yang sepatutnya mereka ziarahi.
(gambar Nazir Mislan sekeluarga - gambar diambil di rumahnya di Muar - rakan rapat ketika di kampus sehingga sekarang)
Wallahualam!
Thursday, October 1, 2009
TV
Inilah topik utama Zahari sepanjang kami berbual semasa mengahadiri jemputan rumah terbuka seorang rakan lama ketika di kampus dahulu.
"Tambahan pula sempena raya ni Astro tayangkan macam-macam 'movie' dan filem. Apa lagi, melekatlah mereka depan TV. Aku nak ajak keluar rumah saudara-mara pun susah."
Masih ada yang sayang!
Hari Lahir saya yang ke-32.
(bergambar dengan kek yg isteri buat dengan air tangannya sendiri)
(kad Selamat Hari Lahir dari anak-anak tersayang - diselitkan celah pintu, ketika saya balik Solat Isya')
(kad ucapan Hari Lahir dari Isteri tercinta)
Saturday, September 19, 2009
Salam Eidulfitri !
kepada semua rakan-rakan serta sahabat-sahabat. Dari saya Rosazli B Md Yasin, Aida Rosniza Bt Safiee serta anak-anak (Nur Nasihah, Nur Nadhirah, Muhammad Muzakkir, Nur Nasriyah & Muhammad Miqdam)
kepada rakan-rakan atau yang mengenali Allahyarhamah isteri saya Norizan Jaffar. Pada hari kemenangan ini marilah kita sama-sama hadiahkan Al-Fatihah kepada beliau.....Al-Fatihah!
Thursday, September 17, 2009
Cemburu!!!!!!!
Saya sememangnya tidak suka mengamalkan budaya 'copy & paste' dalam blog saya. Tetapi pagi ini apabila saya menerima email dari rakan Yahoo Group (Nur Hayati) mengenai berita di bawah. Hati saya amat rasa cemburu. Lalu saya meminta izin padanya untuk 'paste' kannya didalam blog ini. Semoga CEMBURU itu semakin kuat dalam jiwa saya dan mungkin juga pada rakan-rakan pembaca.
Wallahualam.
Semalam sewaktu menunggu waktu berbuka puasa saya dikejutkan dengan berita Bro. Ubaida M.A AlQudsi syahid di tanah tumpah darahnya Palestine kerana ditembak oleh askar Israel laknatullah. Hampir tercampak telepon yang saya pegang mendengar berita sedih itu.
Ubaida yang sepanjang belajar di UIA sangat aktif dalam IIUM Al Aqsa Friends Society dan juga nasyid baru saja menamatkan pengajian komunikasi dan pulang ke kampung halamannya Palestine selepas selesai peperiksaan semester lepas. Saya menalipon rakannya, Herbawi, untuk mengesahkan berita itu. Herbawi dengan nada sayu menjawab, “Yes madam, he was shot by the Israel army 2 weeks ago and passed away yesterday.”
Kelab Al-Aqsa Friends Society adalah kelab yang paling aktif menjalankan program2 kesedaran menyelamatkan Masjid AlAqsa. Kebanyakan ahlinya adalah pelajar Palestine. Mereka sering ke pejabat saya untuk membincangkan program dan pengurusan kelab. Merekalah diantara ribuan anak didik yang saya sayangi di UIA ini. Melihat wajah2 mereka akan membuat anda terasa kecil kerana jiwa muda mereka yang penuh dengan semangat perjuangan. Jasad di UIA tetapi hati nun jauh di negara tercinta.
Dengan perasaan dilselubung cemas sepanjang masa kerana mengenangkan nyawa keluarga yang tidak putus2 diancam yahudi, mereka masih terus belajar untuk meraih ilmu.
Kalau anda biasa beri’tiqaf di IIUM SHAH’S Mosque sepuluh Ramadhan terakhir ini anda akan melihat kumpulan pelajar2 ini membawa walkie-talkie kerana menggerakkan usaha menghidupkan Ramadhan di masjid ini di kalangan pelajar UIAM. Saya dapat rasakan perasaan cinta mereka pada masjid UIA yang merupakan menifestasi dari cinta mereka kepad Masjidil Aqsa.
Syahidnya Ubaida akan semakin membakar semangat rakannya2 di sini.
Ini merupakan pemergian ke dua graduan yang bakal menerima skrol semasa konvo 2009 yang akan berlangsung bulan depan. Sebelum ini telah pergi Shafawati yang aktif dalam Kelab Mentor-mentee Gemilang kerana sakit Leukimia. Anak sulung dari 8 beradik berasal dari Sarawak, Shafawati yang dikenali sebagai Kak Sha di kalngan juniornya sangat peka dengan masalah masyarakat sehingga sanggup menghabiskan masanya dalam kerja2 kemasyarakatan CENSERVE tanpa memperdulikan penyakitnya.
Kedua2 mereka adalah hasil produk the Garden of Knowledge and Virtue yang benar2 menterjemahkan ilmu yang mereka dapati dalam bentuk bakti suci buat ummah tercinta. Pemergian mereka yang ditangisi oleh teman2 akan menyemarakkan lagi semangat cintakan ummah di kalangan pelajar2 UIA seluruhnya.
Konvo 2009 dijangka paling syahdu kerana pemergian 2 graduan yang menemui Tuhannya sebelum sempat menerima skrol dan pencapaian dua orang insan istimewa Nik Nor Ermiza dan Fahmi.
Ya Allah berikanlah kami kekuatan untuk terus membantu menghasilkan jiwa2 besar dari UIA yang bakal memimpin ummah tercinta ini. Ameen Ya Rabbal ‘Alameen.
Tuesday, September 15, 2009
Saturday, September 12, 2009
Kenapa Isteri Lari Dari Rumah?
"Ring! ring! ring!......" telefon bimbit saya berbunyi.
Friday, September 11, 2009
Fesyen lah?
Ya lah! apa gunanya kita berkerja jika keperluan asas anak kita tak dapat penuhi.
Tapi.....hahaha....bagaimana kita penuhi, khususnya di sini bab pakaian. Atau lebih tepat lagi FESYEN PAKAIAN.
Anak kita apa yang kita pakaikan pada mereka.
Bukankah kita sekarang ini mempunyai pelbagai pilihan. Pilihan kita tak sahaja terikat di SOGO, JAYA JUSCO, PARKSON dan sebagainya. Kita ada pilihan internet, butik muslim dan pelbagai lagi. Contohnya seperti fesyen yang saya tunjukkan dibawah. Sejuk bukan mata kita bila melihat anak kita berpakaian begini. Anak-anak kita masih boleh bertabarruj (berhias) dengan cara yang halal.
Ya!...betul, mereka masih kanak-kanak yang masih tidak dikuatkuasakan peraturan aurat serta dosa pahala. Tapi adakah ini bermakna tempoh pendidikan dan penghayatan Islam tak perlu bermula. Atau mereka perlu dibiarkan sahaja panduan dan bimbingan. Seterusnya menerima maklumat dan praktikal yang salah mengenai cara berfesyen sebagai muslim
Wednesday, September 9, 2009
Purdah?
Sudah menjadi tabiat manusia, bila diseru akan sesuatu oleh Ilahi terutama menjurus kepada kebaikkan..........maka keengkaran akibat ego mengatasi kepatuhan suruhanNya.
Friday, September 4, 2009
Raikanlah Fitrah Anak !
Saturday, August 22, 2009
Seronok beristeri 4?
Ish...ish...ish. Itulah seronoknya ada 4 isteri. Tambah seronok lagi bila dengar cerita ini.
AKU ada 4 orang isteri. Sudah semestinya isteri yang paling AKU sayang ialah isteri yang paling muda, paling bergetah, paling bertenaga dan paling 'gagah'. Ketika AKU letih dialah yang mengembalikan tenaga KU. Dia tidak pernah kenal letih mahupun lesu. AKU berasa sungguh bangga dan bertuah punyai isteri semuda ini. Dialah isteri yang KU puja serta yang senantiasa AKU dambakan kasihnya.
Namun isteriKU yang ketiga juga turut hebat. Cantik, manis, lansing bahkan mengiurkan. Ditambah lagi dengan gayanya yang pandai berhias dan bersolek. Bijak pula memperaga diri dan bergaul di dalam majlis. Pasti sesiapa saja lelaki yang memandang akan terpesona.
Dialah yang selalu KU usung kemana saja terutama majlis-majlis melibatkan orang kenamaan. Aku amat bangga bila meperkenalkan dirinya kepada teman-teman.
Isteriku yang kedua juga turut punyai kelebihannya. Walau wajahnya tak secantik serta tak bertenaga seperti isteriKU yang ketiga dan keempat. Tapi ia punyai akal yang cerdas dan pintar. Dialah yang banyak menyelesaikan masalah ketika AKU kebuntuan. Dia tempat AKU mengadu masalah. Kerana AKU pasti setiap masalah yang AKU adukan pasti ada buah fikiran dan penyelesaian darinya.
Tapi lain pula terhadap isteri KU yang pertama. Sudahlah rupa tak ada, tenaga pula sudah dimakan usia. Akal pula biasa-biasa sahaja. Maaf kata, hadirnya tak menambah; hilangnya mengurang. Pernah terfikir untuk diceraikan sahaja.....ehem, bolehlah tambah baru. Tapi tak sampai hati. Isteri tualah katakan, jadi serba tua lah!.....
"Waalaikum salam," jawabKU hambar. AKU tidak mengharap apa-apa daripadanya. Aku tak akan mengajukan apa-apa permintaan, justeru AKU perlu malu untuk meminta apa-apa daripadanya. Mustahil dia yang sering AKU tinggalkan sudi menemaniku.
"Terima kasih kerana abang masih sudi menerima saya," katanya sebaik bersalaman.
Isteri tua KU merenung mataKU. Matanya bersinar jernih dan ketenangan tidak tercabut daripada cahaya pandangannya walaupun usianya sudah lanjut.
"Abang! saya sanggup menemani abang kemana sahaja. Di mana jua. Saya sanggup menemani abang sekalipun terpaksa mati bersama. Jika ditakdirkan, saya sanggup menemani abang di alam barzakh."
Ah! alangkah gembiranya hatiku. Rupa-rupanya dia yang sering aku pinggirkan itulah yang setia dan berguna. AKU terharu dengan keikhlasannya. Dialah hakikat isteri sejati dan hakiki walaupun tidak ada tenaga, rupa mahupun idea.
Inilah kisah keseronokan beristeri 4. Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari.
Siapakah AKU dalam kisah ini. Dato', Tan Sri, Datuk Seri atau mana-mana VIP.
Elakkan dari menunding jari kepada orang lain. AKU itu ialah kita.
Kitalah yang punyai 4 'isteri'!.
Isteri keempat ialah jasad dan tubuh kita. Daripadanya kita dapat kekuatan dan tenaga. Justeru 'dia' kita jaga sepenuhnya. Diberi makan dan minum dan dilindungi dari penyakit. Tak cukup dengan itu kita hiasi dan soleknya. Masa, harta dan perhatian kita kekadang dihabiskan sepenuhnya dan seluruhnya untuk membelai anggota badan kita. Jangan sakit, cacat dan lemah. Pelbagai makanan tambahan, ubatan serta rawatan kita usahakan untuk kembali bertenaga.
Isteri ketiga kita ialah harta. Siang malam kita memikirkan untuk menambahnya. Bagaimana meningkatkan kewangan justeru menambah kemewahan. Tidak cukup dengan kerja sedia, kita usahakan kerja tambahan. Apabila wang bertamnbah, simpanan meningkat, kita belikan aset. Kita bangga 'memperagakan' rumah, kereta dan segalanya. Seolah-olah nilai kita terletak pada kemewahan yang kita miliki.
Isteri kedua kita ialah ana, isteri, sanak saudara dan sahabat-sahabat kita. Pada merekalah kita meluahkan masalah. Pada merekalah kita harapkan pandangan, nasihat, teguran dan jalan penyelesaian. Merekalah yang kita temui, jemput dan raikan dalam hidup. Kita berasa sepi tanpa mereka disisi.
Isteri pertama kita ialah amal ibadah yang ikhlas kepada Allah. Itulah yang sering kita lupakan. Kita pinggirkan. Bila nak menambah amal!, nanti esok masih ada. Bila hendak taubat?. Tunggu, usai masih muda. Segala kebaikkan samada hubungan manusia mahupun dengan Allah Rabbuljalil sering tak dapat keutamaan. Segalanya seperti isteri tua. Tidak mengghairahkan dan tidak menggiurkan lagi.
Namun, fahami dan yakinlah bahawa pasti tiba masanya nanti akan teserlah serta terbukti jua 'isteri' mana yang jujur dan setia. Ketika saat berangkat yang didahului oleh sakaratul maut itu, apakah ada debu amal kita yang akan bertukar menjadi permata?.
Aduh! alangkah sepi dan malangnya kita pada malam pertama di alam kubur sana.........tanpa 'ISTERI' yang sudi mendakap kita.
Wallahualam.
Tugas Kita !
Atas dasar itu MALAKOFF telah menganjurkan program gotong-royong di Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar pada 15 Ogos 2009. Sejajar dengan program ini bantuan kewangan sebanyak RM 18,500 telah diberikan atas tujuan membaikpulih bangunan dan pendawaian sedia ada. Sumbangan peribadi dari kakitangan-kakitangan berupa wang berjumlah RM 5 ribu serta pakaian juga turut menyelari.
Pada program ini Tn. Hj. Radzuan Yahya, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif MALAKOFF, turut bersama dengan 30 orang kakitangannya termasuk seorang bukan Islam bergotong-royong membersih serta membaikpulih kawasan Maahad.
Ikhtibar
Ikhtibar dari usaha ini memberi input kepada semua bahawa usaha untuk memartabat institusi pendidikan khasnya sistem pedidikan Islam, adalah tanggungjawab semua. Tidak mengira bidang pengkhususan, bangsa, mahupun agama.
Sejarah membuktikan
Tuesday, August 18, 2009
Semoga Allah memBerkati Umur mu Sayang!
Thursday, August 13, 2009
Erti 13 Ogos bagi ku!
Biasanya setiap awal pagi 13 Ogos, akan ku berikan ciuman dituruti ucapan 'Selamat Hari Lahir'. buat isteri tercinta Norizan Bt Jaffar atau panggilan manja Izan. Tetapi sangat berlainan untuk pagi ini, 13 Ogos 2009. Hatiku sungguh merasa sayu; dan sebenarnya hatiku terlebih dahulu sayu sejak 10hb iaitu hari Isnin lagi. Aku tak tahu entah mengapa fikiran ku sungguh kuat terkenangkan isteri ku Norizan. Dan air mata juga kerap bercucuran.
Gambar di atas sedikit sebanyak dapat mengubati rinduku. Bersama kami; anak kami yang sulong (Nur Nasihah) menjadi tanda pengikat kasih-sayang kami.
Walaupun hidup kami ketika ini sekadarnya sahaja. Tapi hidup ku cukup bahagia dengan curahan penuh kasih sayang dari Isteri tercinta. Tidak pernah berdengus atau memberontak sekalipun kenderaan kami hanyalah motosikal Honda EX5. Mungkin rakan-rakan seperjuangan masih ingat dengan nombor plat MAG 8250.
Kehidupan seharian kami harungi dengan kasih dan ceria. Lebih-lebih lagi ketika ini kami sama-sama sedang meneruskan pelajaran.
Tetapi segalanya berubah dengan begitu pantas sekali. 13 Ogos 1999 hingglah 13 Ogos 2008 sudah tidak sama dengan 13 Ogos 2009. Isteriku yang tercinta Norizan Bt Jaffar terlebih dahulu mengadap ilahi pada 31 Oktober 2008. Tiada lagi ciuman beserta ucapan 'Selamat Hari Lahir' pada 13 Ogos. Yang tinggal adalah ingatan kasih-sayang dari suami yang daif ini. Sentiasa mengiringi dirimu dengan doa agar Allah menjadikan lubang kuburmu sebagai ruang syurga bagimu. Dan suamimu membulatkan niat agar amalanku terus diterima olehmu sepertimana ketika kita mengemudi hidup bersama.....aminnnn.
Monday, August 10, 2009
Apakah ada Hikmah dalam Tarbiyah & Didikan?
Filem ini mengesahkan mengenai satu usaha pembaharuan budaya yang ingin dibawa oleh seorang anak gadis bernama Anissa di Pasantren (pondok menuntut ilmu) Al Huda yang juga merupakan milik bapanya. Apa yang diperjuangkan oleh Anissa ialah kebebasan sebagai seorang wanita samada dari segi ilmu mahupun hak.
Mungkin secara penafsiran selapis, sesetengah pihak akan beranggapan bahawa filem ini sengaja dibikin atas tujuan untuk memburukkan institusi pendidikan Islam yang tulen terutama sistem pendidikan pondok atau maahad yang berasaskan tarbiyah islami tulen.
Tetapi dari pandangan saya sebagai Mudir/Pengetua Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar seterusnya merangkap Pengerusi Yayasan Al Ansar. Menafsir filem ini dari lapisan yang berlainan. Terutama apabila dinilai melalui tanggungjawab dalam mendidik anak-anak serta anak-anak didik di Maahad Al Ansar
1. Hal ini kerana saya perlu terima kenyataan bahawa saya juga punyai anak-anak yang perlu ditarbiyah dan didik serta pada masa yang sama perlu diraikan 'kebebasan' dan hak anak-anak.
2. Saya punyai ribuan anak-anak didik yang telah dan insyallah akan ditarbiyah. Di mana sebarang kesilapan dan pentarbiyahan bukan sahaja akan diri mereka akan terpesong malah generasi di bawah didikan mereka juga akan turut serta.
3. Saya perlu ambil ikhtibar atas 'post' DERHAKA 1, DERHAKA 2, DERHAKA 3, DERHAKA 4. (klik pada tajuk jika belum membaca) yang saya tuliskan sebelum ini. Kerana penderhakaan / pengkhianatan itu bermula pada diri kita dahulu sebelum orang lain mengkhianati kita.
Positif dari filem:
1. Dalam mendidik sememangnya kita iginkan anak atau anak didik tadi terbentuk mengikut acuan kita. Tetapi kekadang kita terlupa bahawa acuan yang kita bawa itu sebenarnya adalah acuan yang hanya lebih dari pemahaman adat dan tidak mengikut saluran Islam secara syumul. Terutama dalam pendidikan Islam adakalanya kita tertukar antara tuntutan syariat dengan fahaman adat bangsa. Akibatnya kita mencari helah syariat untuk menghalalkan fahaman adat bangsa tersebut. Ini bukan sahaja akan menimbulkan kekeliruan bahkan akan mengkucar-kacirkan pendidikan Islam yang tulen. Lebih teruk lagi jiwa anak; kanak-kanak atau remaja yang inginkan kebebasan akan memberontak dan terus meletakkan beban penghalang kepada ISLAM.
2. Antara perkara terpenting sebagai ibubapa mahupun pendidik ialah kita mesti mampu bersedia meraikan anak-anak/anak didik kita. Seperti mana yang pernah saya tuliskan dalam 'post' terdahulu 'Raikanlah Anak-anak Kita'. Sememangnya sebagai orang yang lebih tua lebih-lebih lagi jika bergelar muraqib (guru). Kita akan merasakan bahawa kita lebih dahulu atau lebih banyak makan garam, nasi, cili, cuka, gula atau apa saja berbanding mereka. Mungkin juga pengalaman kita sudah luas melangit. Tetapi apa yang kita perlu renungkan serta fahami bahawa apa yang ada dalam hati, minda dan perasaan kita tidak sama, sama sekali dengan apa yang ada dalam hati, minda dan perasaan mereka.
Contohnya: a) Kita melihat televisyen sebagai sumber mendapat maklumat tetapi anak-anak akan melihat ianya sebagai saluran mendapat hiburan.
b) Begitu juga apabila kita menonton filem ini, anak-anak akan mengambilnya sebagai halwa mata dan menilai secara selapis. Mungkin apa yang mereka dapat ialah mengenai keburukan sistem pendidikan Islam tulen yang ditonjolkan secara lansung lalu mengaburi hati mereka akan tersirat yang mampu dilihat secara positif.
Oleh yang demikian sewajibnya kita tidak hipokirit dan perlu menerima kenyataan bahawa kita juga pernah berada ditempat mereka suatu ketika dahulu.
Wednesday, July 29, 2009
Diari dari Kubur
Zaman kanak-kanak hingga remaja ku.........
Aku dibesarkan di Kg. Tuju, Parit Buntar Perak, sbg anak kampung aku seorang yang nakal & aktif. Aku berani mencuba segalanya. segala yang aku lihat ngin ku ubah. buluh ku ubah jadi senapang, pelepah pinang ku ubah jadi sport car, sungai ku jadikan swimming pool, kerbau ku jadikan kuda, pasir ku jadikan istana…sehingga suatu hari aku bercita-cita untuk mengubah dunia ini.
Kini ku sudah renaja….azam ku untuk mengubah dunia semakin kuat..aku yakin bila dewasa nanti aku mampu untuk mengubah dunia ini.
Sekitar umur 20an ++...............
Aku mula mendirikan rumah tangga…setahun berikutnya dikurniakan anak sulung…Dalam tempoh 30 tahun perkahwinan aku
dikurniakan 5 oarang anak…Aku berkerja di Pejabat Tanah & Galian Kajang. Dalam kesibukan kerja & urusan keluarga….hidup ku adalah sekitar pejabat dan rumah. Pejam celik….ahhhh umur ku telah hampir 56thn…..alamak dah nak PENCEN.
Selepas pencen......
Aku dikurniakan tanah hutan bertaraf temporary permit di sini (Teras Jernang, Bangi) . Wahhhh….ini peluangku untuk mengubah dunia seperti aku cita-citakan semasa kecil dahulu.
Akan ku dirikan chalet bertaraf lima bintang serta sebuah ladang ternakan yang terunggul di Malaysia di sini.
Hari bertemu hari, kesihatan ku semakin lemah..hari yang dilalui sekitar hospital, rumah, menimang cucu, klinik, surat khabar, kedai runcit, farmasi, rumah anak-anak kemudian ke hospital semula..sekarang aku ???????????????
p/s: - Dunia berubah, isi dunia berubah....Perubahan adalah lumrah alam. Jadi untuk mengubah sesuatu diri perlu BERUBAH dahulu.
- Bagi kita yang ada peluang. Fikir, rancang dan laksanakanlah kehidupan ini sebaik mungkin. Peluang untuk hidup hanya sekali, akhirat berkekalan selamanya.
- Semua gambar yang dipaparkan hanyalah hiasan sahaja.
Wallahualam.