Blog Rasmi Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar (MTIAA)

KEDAI Buku Online Anda

Saudara-saudari juga dijemput untuk ke kedai buku DAMAI BOOK CAFE [sila klik]
*************************************************************************************************

WANG di hujung JARI anda!!!!!!!!!

Thursday, April 30, 2009

Terima Kasih PKPI TNB

Sebagai Pengerusi Yayasan Al-Ansar, sudah menjadi tanggungjawab saya menjalinkan hubungan dengan pihak-pihak yang ikhlas untuk membantu. Terutama, pihak yang sememangnya telah lama memberi sokongan, samada moral atau materialistik.
Kesempatan ini saya ingin mengucapkan Jutaan Terima Kasih kepada Persatuan Kebajikan Pekerja Islam Tenaga Nasional Berhad (PKPI TNB). Di atas sokongan yang diberikan terhadap Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar (MTIAA) selama hampir 15 tahun.

Sekalung perhargaan juga kepada Yang Dipertua PKPI, Tn. Hj Jaafar Bin Jusoh (tengah) dan ahli jawatankuasanya

Tak dilupakan juga kekanda Hj Mazlin Bin Dolit (tepi kiri) yang banyak membantu dalam menjalin ukhwah dengan PKPI

SEMOGA ALLAH MEMBERKATI KALIAN

UMMI SYIFA'

Pada minggu ini Sazli Ansari lebih berminat untuk MENYEMARAKKAN lagi hari ibu. Di mana kita melihatkan akhir-akhir ini jasa serta pengorbanan insan bergelar ibu semakin dilupakan oleh kejadian yang bergelar anak. Ibu, ummi, mama, mak, mek, bonda atau apa saja gelaran yang dipanggil mereka perlu terus dihargai. Tidak kira ia ibu kandung mahupun ibu kedua . Masing-masing ada peranan dan pengorbanan yang tidak boleh ditukarganti dengan wang ringgit mahupun ditimbunkan dunia dan isinya sebagai tebusan. Di sini dipetikkan kisah ummi kedua Nur Nasriyah. Diharap dari kisah ini masyarakat tidak lagi prejudis terhadap wanita yang digelar ibu tiri ini. Istilah tiri atau sebaliknya bergantung pada penilaian kita. Tetapi bagi Nur Nasriyah atau nama timangannya kakak; ia adalah Ummi Syifa’

Nur Nasriyah merupakan seorang kanak-kanak yang sangat manja terhadap ibu kandungnya (Ummi Izan). Setiap hari apabila bertemu ummi Izan pulang dari mengajar, pasti ia merengek minta dimanjakan. Malamnya ia tidak akan tidur melainkan dengan ummi Izan. Sambil menggosok tangan ummi Izan baru lah dia lena. Itupun kekadang di tengah malam ia masih mencari tangan umminya. Umminya tetap sabar walaupun lenguh kerana sentiasa perlu mengiring kearah nya. Tetapi naluri dan emosi seorang ibu.....menyebabkan umminya terus dan tetap sabar; malah dibalas dengan penuh kasih-sayang. Macam-macam kerenah anak ini. Tapi semuanya ditangani dengan kasih-sayang oleh ummi nya. Maklumlah, bergelar bongsu selama tiga tahun. Jadi menyusu badan pun 3 tahun jugalah.
Namun, ombak tidak terus membelai, adakalanya tsunami menghentam. Ketika inilah kasih-sayang, belaian manja, ciuman, kata-kata manis, pelukan, dakapan ditarik serta-merta. Maka perasaan trauma menimpa. Mana tidaknya, insan yang menyelubungi sinar hidup di tarik Allah begitu pantas.
Begitulah yang berlaku terhadap Nur Nasriyah, kanak-kanak berusia 3½ tahun ini masih terlalu muda untuk menerima hakikat yang ummi Izan nya syahid pada 31 Oktober 2008.
” Abi, abi...ummi mana? dah mati ke... ummi mati keluarkan adik eh!”, ” Abi nak pergi kubur umi”. Itulah antara kata-kata yang sering diulang-ulang kakak setelah pemergian ummi nya.


Istikharah Jumaat

Oleh kerana terlalu rindu dengan pemergian isteri tersayang, abi Nur Nasriyah sebak yang tidak boleh dikawal lagi. Mungkin ketika itu jamaah Jumaat yang sedang menunggu azan melihat pelik. Lebih-lebih lagi abi nya duduk saf paling depan. ’ Gila kah orang ni!’; mungkin itulah bisikan-bisikan hati bagi jamaah yang terlihat reaksi abi Nur Nasriyah.
’ Ya Allah, aku tak nak terus begini.....setiap waktu diriku dilingkungi kesedihan. Kasihan anak-anak ku ya Allah. Aku tak sanggup melihat mereka turut bersedih. Tunjukkan lah jalan keluar bagi ku ya Allah’ itulah bisikan hati abi Nur Nasriyah ketika itu. Lalu abi nur Nasriyah bangkit solat hajat 2 rakaat, fokusnya agar Allah beri jalan keluar atas kesedihan ini. Selepas selesai terus tergerak hati untuk lakukan solat Istikharah. Dengan hati yang kosong solat Istikharah dilaksanakan tapi tak sempat menghabiskan doanya kerana azan Jumaat telah pun berkumandang.
Sampai sahaja dirumah gerak hati kuat untuk habiskan doa Istikharah. Lalu dibacanya berpandukan buku Darul Syifa’ karangan Ustaz Harun Din. Nah, terus terdetik dihati ’ Izan ada kawan yang dia perkenalkan 4 tahun lepas. Iatu ketika abi Nur Nasriyah bawa Izan ke Klinik Mesra’. ” Bang, itulah adik PMI, dia kerja kat sini rasanya” itulah kata-kata Izan yang masih abi Nur Nasriyah ingat.
Lalu diambil telifom bimbit isterinya, diperhatikan nama; yang seingatnya Aida atau Haida. Beberapa saat kemudian bertemu dalam ruang ’contact’ tercatat Aida PMI. ”Ish perlu ke aku call, adakah muslimat yang nak kan duda anak enam macam aku ni. Anak kecil-kecil lagi pulak tu, biarlah dulu....malas nak fikir’ bisik hati.
” Minta sebelum orang lain minta, tak kesian kat anak-anak ke?. Sampai bila anak-anak nak bersedih seiring dengan perasaan kau?”. Bisikan hati berlawan hujah. Berbekalkan semangat UNTUK ANAK dengan mata yang merah, suara antara keluar tak keluar, hidung yang tersumbat; abi Nur Nasriyah mendail nombor telifon Aida PMI. Tapi dalam perbualan telifon, lidah abi Nur Nasriyah masih tak terlafaz. ”Haaa! biar lah dulu!”. Tapi bisikan hati abi Nur Nasriyah kuat untuk menyatakan. Lalu abi Nur Nasriyah hantarkan sms sahaja ’sudikah anti menjadi ibu pada anak-anak ana’. Bagi abi Nur Nasriyah, ikutlah! Aida PMI nak jawap apa, dia tahu kedudukan dirinya sebenar. Kemudian abi Nur Nasriyah terima jawapan yang Aida PMI ambil masa untuk pertimbangkan. Selepas 5 hari ia beri jawapan terima. Ketika inilah baru abi Nur Nasriyah tahu nama sebenar Aida PMI serta tempat tinggalnya.

Allah mudahkan segala urusan. Petunjuk yang Allah berikan pada abi Nur Nasriyah, mendapat restu 3 pihak. Ibunya, ibu kepada Aida dan juga Ibu Mentuanya.
” Mek nak nghoyat ke Sazli du’lu lagi, tapi takut Sazli terasa hati. Kalau macam tu, tak pelah mek urus semua sekali dengan kenduri” itulah kata-kata yang abi Nur Nasriyah tak dapat lupakan keluar dari mulut mak mentuanya setelah dia memberitahu hajatnya.

Kahwin
6 Disember 2008 jam 11am; abi Nur Nasriyah diijabkabulkan kali kedua. Upacara pernikahan serta Kenduri Kahwin di Besut (rumah Aida) dan di Ketereh (rumah ibu mentua pertama abi Nur Nasriyah) berjalan lancar dengan penuh kerestuan semua pihak. Anak-anak dilihat sangat rapat dengan ummi Aida nya. Terutama Nur Nasriyah (kakak).

Kakak ! (Nur Nasriyah)
Sentiasa menepek dengan ummi Aida. Makan nak ummi suap, sentiasa bergayut pada kain ummi Aida sejak hari pernikahan lagi. Bila kena peluk dengan ummi Aida seperti tak mahu lagi dilepaskan. Merengek! kencing, berak, mandi, pakai baju, tidur, minum, makan, semuanya serba mengatur dengan ummi. Tak boleh orang lain sakat ’ nak ambil ummi, meraung macam nak pecah rumah. Ketika tidur mesti nak gosok tangan umi, lepas tu bangun tiba-tiba nak susu, 30 minit kemudian nak mandi, ish lepas tu nak gosok gigi pula. Sejam kemudian ” ummi nak makan roti dengan susu”, ketika itu jam menunjukkan masa sekitar 12.30pm.
Bangun saja dari tidur kakak akan menagis dan jerit dari bilik atas ” Nak ummi ambil kakak!”. Kakak tak nak turun sendiri ke bawah.

[ Apa sebenarnya yang bermain dalam fikiran anak ini. Apa sebenarnya perasaan atau trauma yang ada dalam dirinya.........hanya Allah yang tahu, yang zahir adalah dari tindakannya.]

Tapi ummi Aida yang tak pernah kenal kakak sebelum ini. Yang tak pernah ada anak. Yang hidup bebas tanpa perlu serabut dengan kanak-kanak. Tetap melayan kakak dengan penuh kasih-sayang dan kesabaran. Ummi Aida akan pening kepala dan muntah-muntah apabila bangun dari tidur; jika kakak kerap bangun malam.
Ummi Aida menyayangi dan layan kakak sama seperti ummi Norizan. Ketika kakak demam ummi Aida tak lena tidur jaga kakak.
Waktu hari sekolah, awal pagi lagi ummi Aida siapkan sarapan, tunggu kakak berak, mandikan kakak, pakaikan kakak baju, suap kakak sarapan serta hantar kakak ke Tadika Az Zahrah.

28 April 2009...abi kakak berpakat dengan ummi Aida untuk tukar tugasan. Ummi Aida hantar Along, Angah dan Muzakkir ke Sekolah; manakala abi kakak pula siapkan dan hantar kakak untuk ke tadika. Apabila ummi balik ummi Aida tanya, ” Kakak ok tak? dia tanya ummi tak”. Dengan selamba,(tujuan bergurau) abi kakak jawap ‘Takkkkk!’.
Kakak tahu! menitis air mata ummi Aida. Selepas abi kakak beritahu cerita sebenar. Baru lah ummi Aida reda.

Apabila kakak semakin cerdik nanti abi kakak yakin kakak akan merasakan ummi Aida adalah ummi yang membawa penawar terhadap kehidupan kakak atau kakak boleh panggil UMMI SYIFA’


p/s: Jauhi prejudis terhadap ibu kedua!

Monday, April 27, 2009

UMMIIIIIIIIIIII !!!!!!!!!!!! (II)

sambungan dari bawah UMIIII !!!!!!!!! (I)


18 Oktober 2008 (Sabtu)

"Assalamualaikum sayang, abang tak datang pagi ni tak pe ya!. Anak-anak kat rumah semua ok, lagi pun abang nak kemas rumah dan basuh baju dulu. Tengahari abang datang bawa anak-anak, abang beli lauk...so boleh kita makan sama-sama" perbualan awal abi dengan umi seawal jam 7am hari Sabtu.
"Izan ok ke?" tambah abi.
"Saya ok! sesekali sakit juga bila adik menendang" jawap umi tenang.
"Ya lah bang, dah lama tak makan sama dengan anak-anak" nada keibuan umi terserlah.

Jadi pada tengaharinya abi bawa kakak-kakak dan abang Muhammad Miqdam berjumpa dengan umi di wad. Kakak (Nur Nasriyah - dalam gambar, paling kakan) pada mulanya agak sangsi dengan umi. Mungkin dah tiga hari tak jumpa umi, tambahan pula suasana yang berlainan serta pakaian umi yang lain sama sekali berbanding biasa.
"Kakak tak kenal umi ke! marilah kat umi" pujuk umi bila lihat raut wajah kakak semacam kehairanan. Dengan lembut umi memegang tangan kakak dan didudukkan kakak di atas ribanya. "Best tak kakak tidur dengan abi" sebab biasanya kakak hanya nak tidur dengan umi sahaja sambil menggosok tangan umi.
Beberapa minit selepas itu kami makan bersama. Semuanya umi suap, dari along (Nur Nasihah) sehinggalah kakak. Kemudian lepas makan sempatlah kami bersiar-siar di ruang legar wad. Sambil sesekali tersengih menahan kesakitan, umi memerhati serta melayan kerenah kakak-kakak dan abang. Kami temankan umi sehingga petang.
"Abang hantar anak-anak balik dulu, insyallah abang datang semula" sambil kami bersalaman sebelum berpisah. Along, Angah (Nur Nadhirah), Abang, Kakak bersalaman dengan umi seperti biasa dengan ciuman dan pelukan. "Apa-apa call abang ya!" ayat ini tetap keluar walaupun sememangnya setiap malam kami tetap berbalas sms serta panggilan telifon.
Malamnya abi tidur dalam kereta yang diparkirkan sekitar kawasan hospital, kerana bimbang umi bersalin bila-bila masa.
"Abang kat mana tu! abang tidur dalam kereta ya. Abang balik lah dulu....kalau nak kena tolak ke labaour room, saya call lah" pujuk umi.
"Tak pa, susah kalau emergency...lambat sampai" dengan nada relax, agar umi tak risaukan abi.

19 Oktober 2008 (Ahad)
" Abang dah solat subuh, abang masih di hospital ke! nurse kata saya mungkin ditolak ke labour room pagi ni" panggilan telifon seawal 5am ini agak mendebarkan abi.
Abi bergegas solat Subuh di Musolla hospital kemudian terus naik ke wad
Setibanya di wad seawal 5.30am, umi nampak keletihan. "Izan dah sarapan?" tanya abi.
"Tak lagi, tak selera dengan hidangannya" jawab umi lemah.
"Kalau macam tu Zan nak makan apa, abang belikan".
"Taknak lah bang tak selera".
"Jangan macam tu! makan sikit, nanti tak ada tenaga nak meneran" sambil abi membelek-belek milo dan air panas yang terletak di tepi kiri katil. Abi bancuhkan secawan air milo dan ambilkan 2 keping biskut. Sambil memujuk abi suapkan biskut kedalam mulut umi. Alhamdulillah umi makan.
"Nak lagi?" tanya abi apabila dua keping biskut habis disuap ke mulut umi. Umi hanya menggeleng. "Habiskan air milo ni ya!" pujukan terus disulam.

Sekitar jam 9am.............. umi ditolak ke labour room, abi turut mengiring. Selama disini beberapa kali umi cuba meneran, tetapi tak berjaya. Jalan masih 4cm. Lihat diraut wajah umi menahan kesakitan. Namun umi tetap ramah berbual dengan abi. Umi yang memang suka bercerita terus menceritakan kepada abi kisah-kisah dari buku-buku yang dibaca. Sesekali mulutnya membacakan doa untuk mudah bersalin. Abi turut memegang erat tangan umi untuk memberi semangat. Diselangi dengan ciuman ke dahi umi. "Sabar sayang, minta bantuan pada Allah" itu sahaja yang mampu abi ucapkan. Tak tertanggung rasanya melihatkan kesakitan yang dialami umi. Tapi raut wajah umi tetap tabah.

6.30pm
Pembukaan jalan masing 4cm. Doktor terpaksa ambil keputusan untuk lakukan pembedahan. Umi ditolak ke OT (operation theatre). Abi berpisah dengan umi. Abi hanya dibenarkan menunggu di bilik menunggu OT. Surah Yasin yang ada disitu abi capai dan baca. Niat, minta pertolongan pada Allah agar diselamatkan isteri dan bayiku.

7.15pm
Muhammad Miqdam dibawa ke pangkuan abi untuk di Azan kan. Maka berkumandanglah laungan azan di bilik menunggu. Selepas itu sempat abi tanyakan pada jururawat bertugas mengenai kesihatan umi.
"Isteri encik ok! dia sedang dijahit, encik tunggu dulu...nanti bila kita nak tolak ke wad, kami panggil".
Mendengarkan penjelasan itu abi terus ambil wuduk dan tunaikan solat maghrib diikuti sujud syukur. Kemudian abi terus menunggu di bilik menunggu. Sebaiknya masuk waktu Isya' abi pun solat.....tetapi ketika itu seperti terasa ada orang datang menghapiri abi. Selesai sahaja solat abi terus meluru bertanyakan jururawat tentang perkara yang berlaku.
Rasa kaki abi tak berpijak, serta badan mula menggigil apabila jururawat menyatakan bahawa umi baru saja ditolakkan ke ICU (Intensive Caring Unit). Abi terus bergegas ke sana sambil berdoa agar umi dalam keadaan selamat. Sampai sahaja di ICU abi lihat umi dikerumuni oleh 5 orang doktor dan beberapa orang jururawat. Melalui pintu bertingkap cermin abi lihat suasana seperti cemas. Bilik yang menempatkan umi ditutupi tirai. Setelah sepuluh minit menunggu datang seorang doktor merapati abi.
"Saya Dr. Hazim, pakar O&G. Isteri encik alhamdulillah melalui pembedahan dengan berjaya. Tetapi ketika beliau diletakkan di bilik pengasingan sementara kita ingin pindahkan ke wad, tiba puan Norizan collapse. Kami segera berikan bantuan di sana. Setibanya di ICU sekali lagi pernafasan puan Norizan terhenti. Kita sedang berikan rawatan; sekarang ini sudah 8 pine darah kita masukkan. Tetapi darah tersebut tendang semula. Mungkin disebabkan pendarahan di bahagian pembedahan. Maaf saya sebutkan, biasanya kes begini kita kenali sebagai Amniotic Fluid Embolisme (air mertuban masuk dalam salur darah) yang menyebabkan paru-paru tersumbat. Peluang untuk selamat tipis. Tapi sama-samalah kita berdoa".
'Ya Allah, berilah kekuatan kepada ku untuk mengahdapi dugaan Mu ini, berilah kesihatan pada isteriku. Kasihanilah anak-anaknya yang masih kecil serta memerlukan kasih-sayangnya....ameen!' itu saja yang abi dapat bisikkan dalam hati.
Abi minta kebenaran untuk melihat umi secara dekat, seluruh badan umi dipenuhi wayar serta alat-alat perubatan. Muka umi sembab, tak seperti yang abi lihat kali terakhir sebelum masuk OT. Perut umi besar membosong akibat pendarahan dari pembedahan.
'ALLAHHHHHH HU AKBAR!!!!!'
Lima minit kemudian abi diminta keluar. Abi terduduk dikerusi luar. Pelbagai perkara melintas difikiran. Anak-anak, makluman pada keluarga, pilu, usaha yang perlu buat. Tapi semuanya buntu. Abi seorang ketika tu sayang.
Dengan bantuan Pak Ngah yang kebetulan ketika itu ada di Kajang Abi di bawa balik ke rumah untuk bersihkan diri dan menyiapkan barang keperluan untuk menunggu di Hospital. Tak sampai setengah jam duduk di rumah, ICU hubungi abi minta abi datang, doktor ingin berjumpa katanya.
Begitulah rutin abi selama 12 hari. Seawal 6.30am, abi akan masuk melawat umi. Sempat untuk abi bacakan surah yasin sebanyak 3 kali dan mengulang-ngulang doa koma. Sehinggalah jururawat minta abi keluar. Atas alasan doktor sedang melawat pesakit. Selama 12 hari ini jugalah abi terus meletakkan keyakinan pada Allah bahawa umi akan sembuh semula. Setiap kali melawat umi baik awal pagi, tengahari atau petang; pasti abi bisikkan kata-kata semangat pada umi. Abi ingatkan umi agar ingat pada Allah serta minta tolong padaNya. Abi sebutkan semua nama-nama anak abi di telinga umi. Mohon pada Allah agar umi terus diberi kekuatan. Abi tak hiraukan apa kata doktor; tak da harapan!, encik perlu bersedia sekira perkara yang diingini berlaku!, encik perlu tabah!. Semuanya abi tak hiraukan. Keyakinan abi masih tak berubah. Abi terus minta pada Allah ' Innama ammrahu iza aradasyaian ainyyaku lalahu kunfayakun'. Abi hubungi semua kawan-kawan dipondok-pondok pengajian surau, masjid untuk sama-sama adakan solat hajat. Samada selepas solat fardhu atau solat Jumaat.

31 Oktober 2008 (Jumaat)
Merupakan tarikh yang abi sangat tidak boleh lupakan
2pm: selepas solat Jumaat....ICU hubungi abi minta agar abi segera ke Hospital. Umi nazak katanya. Abi segera memecutkan kenderaan meluru ke Hospital. Walaupun ketika itu kedaan umi tenat...tapi keyakinan abi masih tidak berganjak.....abi terus bacakan yasin serta sesekali membisikkan kalimah syahadah di telinga umi. Mata umi yang sebelum ini agak renggang, tetapi kali ini rapat. Sekitar jam 6pm abi keluar untuk solat Asar dan bergilir dengan tok untuk jaga umi. Kesempatan ini abi ambil untuk melihat anak-anak diruang legar bawah yang ketika itu sedang dilayan oleh Cik Za dan Mok Teh.
Sebaik sahaja selepas solat maghrib abi terus naik ke wad umi. "Tak pa lah, mek keluarlah dulu...biarlah saya jaga pula" tawar abi kepada tok melihat keadaan tok yang sedikit letih.
15 minit selepas tok beredar, keaadaan umi semakin tenat. Jangkitan kuman mula melemahkan jantungnya. Beberapa minit selepas itu paparan menunjukkan 'staright line'. Ketika itu jam menunjukkan 8.55pm. Barulah abi pasrah dengan ketentuan ALLAH.
'Dari Allah kita datang, Dari Allah juga kita kembali'.
ummi SYAHID Sayang ! ameeen!
Allah hanya menjodohkan abi untuk hidup bersama umi untuk cukup sepuluh tahun. Tetapi perasaan kasih dan sayang abi terhadap umi tetap terus hidup, segar, mekar serta subur.

' Ya Allah jadikan kubur isteri ku sebagai taman syurga baginya' ameen!


Muhammad Miqdam....pabila Miqdam sudah pandai membaca kelak dan terbaca tintaan abi ini, pasti Miqdam akan berteriak

UMMIIIIIIIII!!!!!!!!!!
Miqdam sayang UMMIIIIIIIII!!!!!!!!!!

p/s: kepada pembaca, bersama kita doakan kesejahteraan ummi Muhammad Miqdam serta hadiah kan lah Al-Fatihah.......

Sunday, April 26, 2009

UMMIIIIIIIII !!!!!!!!!!!! (I)

Sejak Jumaat tak berkesempatan mengadap blog. Alhamdulillah bersyukur rasanya dapat mengemudi semula post baru. Walaupun agak lewat, tapi waktu 11 malam adalah waktu yang sesuai untuk mula menulis post. Anak-anak sudah dilamun mimpi serta amanah mendidik dan tugasan rumahtangga melabuh tirai sementara.

Terlebih dahulu peluang ini, ingin ku ucapkan 'Selamat Hari Ibu' (atau dalam bahasa arabnya ummi), khasnya buat ibuku Patimah Bt Jaafar. Insan yang bukan sahaja melahir serta mendidik ku. Tetapi penuh dengan pengorbanan tidak kira masa bagi memastikan aku dan adik beradik terus mendapat pendidikan yang sempurna. Menghempas tulang empat kerat, bersengkang mata, berembun panas abu kayu; bagi memastikan kami selesa. "Mak! hati ini sangat merindui mu, ku pohon keberkatan Allah untuk dirimu, tak terbalas daku jasamu!."
"Selamat Hari Ibu" juga untuk kedua-dua ibu mentua ku. Yang sentiasa memberi sokongan serta semangat terhadap diri ini. Jutaan terima kasih juga atas Hadiah yang sangat bernilai buat ku - ' Isteri Solehah'. "Mek! hadiah mu (Izan) penuh membawa erti dalam kehidupan ini" dan "Mama! semoga Allah meletakkan dirimu dalam Keberkatan, hadiah mu (Aida) menjadi penawar yang menyubur serta menyegarkan jiwa ku dan zuriat ku!. Buat kedua-dua ibu mentua ku...."Ku pohon Firdaus sebagai ganti hadiah bernilai dari mu!...aminn!"


........................................................................................................................................................................


Muhammad Miqdam.....
Ingatlah sayang.....nama mu ada kaitan dengan kelahiran mu. Muhammad Miqdam iaitu yang didahulukan. Ibu mu...iaitu isteriku yang ku sayangi Norizan Bt Jaffar mendahulukan dirimu serta mentarungkan nyawanya, untuk memastikan dikau lahir kedunia....Akhirnya ummi mu menemui syahid selepas 12 hari, dengan lapang dada bertarung dengan maut.
Abi tintakan kisah ini agar suatu hari nanti Muhammad Miqdam dapat menghayatinya; serta tidak lupakan perngorbanan ummi mu NORIZAN



................"Bang! saya rasa terlalu lama tempoh 4 tahun untuk saya mengandung semula, 3 tahun dah lah. Lagi lama nanti susah nak bersalin. Nasriyah pun dah besar." rayu umi suatu hari.
"Abang tak kisah....tinggal abang kesian kat Izan....abang kalu boleh biar Izan boleh rehat secukupnya!." jelas abi.
"Tak pe lah bang! umur makin meningkat....... 5 orang sikit sangat...sekurang-kurangnya 9 orang, hehe seronoknya anak ramai....kan bang!." gelak umi.
"Ok! sayang!" sambil memeluk umi.

Ketika dirimu berada kandungan 5 bulan.......umi telah disyaki diabetes. Hari demi hari dilalui dengan tabah. Walaupun kerapkali terasa pening dan hampir pengsan apabila paras gula terlalu tinggi atau sebaliknya. Pabila Ramadhan menjelma, abi kerap hantar umi ke sekolah (yang jauhnya 21km dari rumah)....waktu ini paras gula umi bila waktu petang mula rendah...menyebabkan umi terpaksa berbuka bila sampai ke rumah. Umi buat begitu kerana bimbang dengan kesihatan mu sayang.
"Bang anak dalam perut ni tak bergeraklah, mesti dia letih ni!." itu lah kata-kata umi bila kerap kali umi mengusap kandungannya ketika ia pening dan rasa ingin pengsan. Umi sangat prihatin terhadap kesihatan mu sayang.

2 minggu terakhir sebelum umi dimasukkan ke Wad...setiap hari abi menghantar dan mengambil ia di sekolah. Sesekali abi tunggu umi sehingga habis kerja-kerjanya di sekolah. Bimbang jika umi pengsan secara tiba-tiba.


13 Oktober 2008
Umi bercuti pada hari ini. Abi turut bercuti sama.
"Bang! kita kemas rumah hari ni, lagi pun anak-anak semua tak da, senang sikit nak mengemas." cadang umi.
"Tak pelah! abang kemas, Izan tolong teman aja...boleh." abi cuba cari helah agar umi boleh berehat.
"Ok, macam ni lah! saya menyapu dalam rumah. Abang pulak kemas di luar dan basuh baju." umi memberi cadang pembahagian tugas seperti kebiasaan kami.
Dengan perut yang membulat, habis seluruh habuk dalam rumah disapunya. Bermula dari pintu hadapan, ruang tamu, bawah sofa, ruang makan, bilik, dapur sehinggalah ke dapur basah.
"Ish! powernya isteri abang ni" puji abi.
Dengan raut wajah yang riang umi menyambut "Ye lah bang! saya dah bersalin nanti, kesian kat abang nak kena buat semua ni". Bang! dekat dapur ada banyak kordial dan keropok. Kalau kawan-kawan datang ziarah baby nanti senang lah abang, bancuhkan aja kordial tu kemudian gorengkan keropok, ya bang!".

14 Oktober 2008 (Selasa)
Abi dan umi menunggu di Klinik Pakar O&G Hospital Putrajaya sejak jam 8am lagi. Hari ini seperti biasa umi ada temujanji jam 9am.
"Baby puan sonsang, puan perlu ditahan wad". Abi dan umi berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar kata doktor. Tak sangka pulak, sebelum ni ok aja. Lagipun kami tak bawa apa-apa persiapan.
"Kalau begitu kata doktor, baiklah". kami sama menyetujui cadangan doktor

Setibanya di Wad 2A, umi diletakkan di katil nombor 2.
"Izan senaraikan dahulu barang keperluan yang perlu dibawa, insyallah lepas Zohor abang bawakan barang-barang tu!. pesan abi memandangkan umi hanya sehelai sepinggang.

16 Oktober 2008 (Khamis)
Paginya abi bekejar ke rumah kawan umi, Mak Cik Maria....untuk dapatkan air bacaan doa agar kandungan kembali berpusing normal.

17 Oktober 2008 (Jumaat)
"Bang! malam tadi saya rasa anak ni bergoncang kuat sangat...saya rasa dia dah berpusing lah bang. Cuba abang rasa ni....kepala kan bang" sambil tangan abi di halakan ke bawah perut umi.
Sahihlah apabila doktor lakukan scan sekitar jam 10am.
"Kemungkinan doktor nak suntik ubat Indius . Alasanya untuk cepatkan bersalin. Takut kandungan berpusing semula dalam keadaan sonsang. Tapi doktor akan bincang dengan pakar dahulu". jelas umi dengan wajah ceria.


bersambung esok..............................

Friday, April 24, 2009

Pesta Buku 2009 dicemari


Pesta Buku telah pun 7 hari berlalu. Alhamdulillah perjalanannya nampak lebih teratur serta meriah dari tahun lepas. Pengunjung juga adalah dari pelbagai lapisan masyarakat, bangsa serta agama. Samaada kanak-kanak, remaja, pemuda, dewasa serta warga emas; melayu, india, cina serta warga asing. Ini membuktikan bahawa budaya ilmu dalam skop pembacaan tidak mengira umur dan fahaman etnik.
Dari pemerhatian, majoriti pengunjung sewaktu hari persekolahan adalah dikalangan pelajar sekolah. Mereka ini datang bersama guru pengiring secara rombongan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.


Dicemari:


Dalam keceriaan gerai-gerai yang dipenuhi dengan buku-buku yang mempunyai pelbagai ilmu yang bermanfaat itu terselit sebuah 'booth' School of X (SOX). Kehadiran booth ini sendiri sudah menjadi tandatanya.
1. Adakah kehadiranya bertepatan dengan tema pesta buku kali ini; Buku: Lakaran Masa Depan.
2. Apakah mesej yang berkaitrapat yang ingin disampaikan oleh pemilik booth ini kepada pengunjung?

Hal ini dicelarukan lagi dengan penampilan beberapa gadis promoter SOX yang menghunus mata serta menyimpang dari budaya timur. Dan maklumat (dari rakan-rakan mereka), gadis melayu ini adalah remaja lepasan SPM.

Apabila melihat gadis-gadis ini timbul pula tandatanya.
1. Adakah mereka ini dimanipulasi (sebagai strategi pemasaran) untuk menarik minat adik-adik mereka yang masih dibangku sekolah.
2. Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pemilik booth melalui pakaian gadis-gadis ini.


Hentikan
:

Tidak cukupkah anak-anak serta remaja kita dirosakkan oleh media, pesta-pesta sosial, filem-filem, persekitaran dan sebagainya. Sehinggakan Pesta Buku pun digunakan untuk memastikan bahawa remaja kita terus leka, hanyut dan rosak tanpa bimbingan ilmu. Sekiranya fahaman inilah yang ingin diterapkan pada anak-anak dan remaja maka tiada gunanyalah diadakan pesta buku. Kerana fahaman kebebasan sosial terlebih kuat kuasanya terhadap anak-anak dan remaja berbanding budaya membaca serta ilmu.
Ibu bapa juga akan turut takut serta malu untuk membawa anak mereka ke sini. Hal ini kerana akan meyebabkan anak-anak keliru diantara 2 budaya; Ilmu atau Keseronokan sosial.

Dengan akal yang Allah berikan kepada kita....FIKIRkanlah!!!!!


Wednesday, April 22, 2009

Pendidikan Islam vs PPSMI (II)

sambungan..............


Perspektif

Masih tak terdengar lagi mana-mana sekolah di setiap pelusuk Malaysia ini yang meletakkan target untuk 'score' setinggi mungkin terhadap subjek PI. Malah akan di tuduh buang tebiatttt!, jika ada pengetua yang meminta ustaz/ah untuk adakan kelas tambahan disekolah; bagi memastikan murid-murid boleh 'score' A dalam PI. Ratusan ribu pusat tuisyen yang ada di muka bumi Malaysia , tetapi tiada satu pun yang menawarkan subjek PI. Bahkan tiada seorang ibu bapa pun yang datang bertanya untuk daftarkan anak mereka untuk subjek ini, jauh lagi merayu dan merintih serta bertegas terhadap pusat tuisyen agar diwujudkan tuisyen untuk subjek ini.
Sekiranya sekalipun ada pusat tuisyen yang menawarkan subjek PI, adakah ibu bapa yang sanggup belanjakan puluhan malah ada yang sehingga ratusan ringgit untuk menghantar anak mereka tuisyen subjek ini; sepertimana mereka belanjakan untuk subjek-subjek sains dan matematik. (telah saya ulas dalam post yang lepas)

..........Ya Allah, Kasihannya subjek Pendidikan Islam, terpinggir di mata dan dihati Negara yang majoritinya umat Islam serta agama rasmi yang termaktub dalam perlembagaannya ialah Islam.


Kesan

Maka tidak hairanlah segelintir besar remaja kita mengambil Islam dalam hidup mereka sebagai pilihan jika perlu. Kerana mereka telah diasuh dan difahamkan secara jelas bahawa Islam bukanlah suatu perkara yang tinggi martabatnya; oleh sistem pendidikan negara melalui sistem kurikulum di sekolah-sekolah (tumpuan adalah di sekolah menengah).
Akibatnya remaja keliru kepentingan sebenar dalam hidup mereka. Samada Islam atau perkara lain yang bersifat sampingan Yang kononnya boleh membawa mereka ke peringkat lebih tinggi serta bakal mempunyai pekerjaan yang sempurna.
Oleh yang demikian lahirlah remaja yang cemerlang atau sebaliknya dari segi akademik tetapi tidak hidup cara Islam sepenuhnya.

Maka sememangnyalah remaja kita mudah terjebak dengan gejala sosial. Ini adalah akibat dari penerapan Pendidikan Islam yang tidak ikhlas dan holistik oleh pihak kerajaan.


Saranan

Disarankan kerajaan mengambil serius perkara ini. Bersungguh dan ikhlas dalam pendidkan Islam di sekolah menengah.

i) Jadikan PI sebagai subjek teras (setaraf dengan Bahasa Melayu(BM)) - dengan cara ini, semua pihak secara automatik akan mengambil berat serta secara langsung memartabatkan subjek ini.

ii) Menaiktaraf silibus PI agar ianya bukan sahaja bersifat teori tetapi lebih praktikal dan holistik . Iaitu tidak hanya terikat dalam bilik darjah tetapi lebih praktikal. Iaitu dengan perlaksanaan usrah dalam subjek ini. Dalam pada masa yang sama, usrah ini dinilai secara nilaiaan kerja kursus sepertimana subjek Kemahiran Hidup bagi menengah rendah.

Insyallah dengan perlaksanaan dua perkara diatas, pelajar yang juga remaja lebih menghargai Islam serta dapat menerima ilmu secara praktikal.


p/s: Saya amat harapkan respon dari semua pembaca terhadap 'post' ini. Sebarang komen,cadangan dan bangkangan ‘rejection’ yang membina boleh emailkan ke sazli.ansari@yahoo.com, tuliskan di cbox atau klik pada ulasan di bawah ‘post’ ini.

Jazakallah

Tuesday, April 21, 2009

Pendidkan Islam vs PPSMI (I)

Subjek Pendidikan Islam (sekolah menengah) vs PPSMI


Tanggal 7 Mac 2009 kita menyaksikan satu Perhimpunan besar telah diadakan di Kuala Lumpur. Demonstrasi yang diadakan atas tujuan untuk mendesak kerajaan bagi memansuhkan Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris dimansuhkan seberapa segera yang mungkin.
Alhamdulillah rakyat Malaysia khasnya bangsa Melayu sedar & berani berjuang untuk memartabatkan bahasa ibunda.

Sedarkah kita bukan bahasa sahaja yang telah diperjudikan oleh sistem pendidikan kita tetapi pendidikan Islam yg lebih penting & utama dari itu turut diperkosai.
Cuba kita ajukan soalan kepada ibubapa atau murid sekolah menengah itu sendiri mengenai subjek yg diajarkan di sekolah. Pasti mereka menjawab; sains, matematik, bahasa melayu, bahasa inggeris, sastera (bagi aliran satera)dan subjek-subjek sains (bagi aliran sains contohnya fizik, kimia, biologi). Mungkin ada murid yang menyebut PI tetapi tidak disebut dahulu (iaitu setelah di sebut subjek-subjek lain kemudian barulah disebut PI). Dikalangan ibubapa pula kebanyakkannya tidak mengetahui bahawa anak mereka ada subjek PI d sekolah menengah.

Persoalanya?????
Di manakah letaknya martabat subjek Pendidikan Islam?????????
Kerana kita perlu jelas & faham bahawa Islam itu sendiri adalah terlebih penting dan sangat tinggi berbanding bahasa, terhadap diri setiap manusia. Bahasa hanya setakat memberi indentiti bangsa. Tetapi Islam memberi identiti pegangan, kepercayaan dan cara hidup manusia. Melibatkan akidah, syurga atau neraka.
Tetapi apa akan jadi kepada remaja kita sekiranya mereka yang bergelar murid ini tidak merasakan PI yang diajar disekolah merupakan subjek penting, yang mereka perlu berikan tumpuan. Bukannya hanya sekadar memenuhi jadual waktu sahaja.

Banyak persolan yg perlu kita lontarkan:
1. Setakat mana keseriusan pelajar kita terhadap PI apabila ia tidak menjadi subjek teras
2. Sejauh manakah penekanan yang pihak sekolah berikan terutama guru-guru terhadap subjek ini.
3. Setinggi mana martabat subjek PI ini diangkat, baik di pihak guru mahupun murid.
4. Peka kah ibubapa terhadap kepentingan PI
5. Adakah Kementerian Pelajaran benar-benar ikhlas dalam mewujudkan subjek ini; atau hanya sebagai mengisi Sukatan Kurikulum.

bersambung.....................

Friday, April 17, 2009

Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar (MTIAA)

Untuk maklumat lanjut Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar sila layari blog khas Yayasan Al-Ansar


Thursday, April 16, 2009

Islam Hadhari vs 1 Malaysia vs 1Akidah

1 Malaysia masih hangat diperkatakan .... tumpuan lebih kepada perpaduan bangsa, pemantapan ekonomi serta mengambil hati rakyat.....

Tetapi dimana kah letaknya pemantapan Akidah.....adakah 1 Malaysia itu lebih penting dari 1Akidah.....Iaitu pemantapan akidah bagi agama rasmi yang sudah pun termaktub dalam perlembagaan .....

aPA Yang kita perhatikan; sudah terbukti bahawa ........setelah 6 kali Perdana Menteri bertukar ganti tiada seorang pun yang menitik beratkan tetang Akidah........apa yang mereka nampak ialah pangkat, jawatan, kekayaan, kemartabatan dannn pelbagai lagi yang bersifat aksesori......Sebaliknya asasnya atau bak kata mat salleh 'foundation' tak dipedulikan langsung.....

wahai 1malaysia.....

cukupkah dengan hanya mengajar anak dengan subjek pendidikan IslaM yang masa nya ......maksimum 3 waktu seminggu.....disitulah letakkanya Tauhid,,,,,,disitu jugalah letakknya Akhlak//////kat situ jugalah dihempapkan dengan Feqah, Sirah....dan pada masa itu juga lah ustazah terpaksa ambil cuti rehat sebab jaga anak sakit..................


jQAF vs 1malaysia

Islam Hadhari ......telah pun perkenalkan jQAF di sekolah-sekolah rendah Kerajaan.....tetapi malangnya fahaman ISLAM nya ada HAD mengikut HARI....
itu sebablah jQAF hanya di HAD kan hanya untuk budak-budak sekolah rendah......& belajarnya pula tak pada setiap HARI

kita sedia maklum...Kanak-kanak di bawah umur 12 tahun mereka hanya menerima input...tetapi di peringkat perlaksanaan dan praktikalnya ialah di peringkat remaja 13 - 17 tahun....pada waktu inilah mereka memerlukan bimbingan. Ketika ini mereka sudah baligh.....sekurang-kurangnya mereka memerlukan bimbingan cam ne nak mandi wajib.

Malangnya bila sampai di sekolah menengah subjek Pendidikan Islam hanya jadi subjek tempelan......apa yang lebih ditekankan ialah Mathematics, Science, Biology, Chemistry, Addational Math, Accounts dan apa-apa ntah lagi.........malahan tak cukup dalam kelas ...... pengetua arah cikgu buat kelas tambahan...............tak cukup kelas tambahan di sekolah mak bapak hantar pulak anak mereka tuisyen diluar...........bayar puluh-puluh ringgit...malahan ada yang sanggup bayar ratusan ringgit........takutttttt anak tak lulus

tapi tak pernah pulak dengar ustaz-ustazah, pengetua buat kelas tambahan untuk pastikan setiap murid bermula dari Tingkatan satu lagi skor A1 dalam subjek Pendidikan Islam............
dan akan dianggap buat tabiat kalau seorang bapa pergi ke pusat tuisyen untuk daftarkan anaknya Subjek pendidikan Islam

Hasilnya remaja kita mengambil ISLAM ada HADnya dan menikut HARI (iaitu hari Jumaat....itupun pada masa Solat Jumaat aja)........
Mereka tak kenal batasan pergaulan mahram (antara lelaki dan perempuan), bantai serupa saja antara ayo sejuk dengan arak, dada & dadah jadi santapan..........hilang maruah, gadai harga diri.....


YAKINlah.....

bahawa dengan perjuangan 1Akidah kita akan diselamatkan oelah ALLAH.....
tetapi....dengan pertahankan Islam Hadhari, belum tentu kita di pandang oleh Pak _AH

& yakinlah....

bahawa perjuangan 1Akidah adalah lebih penting dari perjuangan 1Malaysia...andai kita mati dalam perjuangkan 1Akidah insyallah kita SYAHID......
tetapi ..... andai kita mati pertahankan 1Malaysia belum tentu kita dapat pujian dari N+J#B

Wednesday, April 15, 2009

ISLAM - Fitrah & Perubahan II

Sejahat mana manusia, sejelik mana kelalakuan, segedik mana wanita, sekejam mana pembunuh....hakikatnya hati kecil mereka tetap berkata; bahawa "apa yang aku lakukan ini adalah salah"........hakikatnya naluri murni mereka inginkan ketenangan. Tetapi disebabkan hati yang hitam. Ianya tak dapat diransang pada kebaikkan. Perspektif mereka adalah hanya dalam situasi mereka. Tidak luas dari itu.

Kita sedia maklum....seorang pencuri tetap tak mahu anaknya jadi pencuri, pembunuh berusaha supaya anaknya tidak jadi pembunuh dan pelacur tetap tak nak berkahwin dengan gigolo. Kesimpulannya semungkar mana pun perbuatan dan pekerjaan seseorang tetap nak kan isteri yang baik, anak yang soleh.

Kesimpulanya semua manusia mempunyai FITRAH yang baik. Tetapi kehendak ,nafsu dan syaitan telah memosongkan mereka.

ISLAM - Fitrah & Perubahan I

Manusia dilahirkan suci bersih diibaratkan seperti kain putih. Maka ibu bapa nyalah yang akan mewarnainya. Ibubapalah yang menentukan sama ada anak tadi akan terus bersih seperti fitrah lahirnya. Atau anak tadi dipengeruhi fahaman yahudi, nasrani atau majusi.
ISLAM - Fitrah & Perubahan merupakan modul yang bersifat KESEDARAN UNTUK BERUBAH

Skop utama modul ialah Perubahan (CHANGE). Isi modul adalah berkisar kepada meransang kualiti Fitrah Diri Insan. Iaitu pengarapan Spiritual Quotient (SQ), Intellectual Quotient (IQ), Emotional Quotient (EQ) serta Physical Quotient.
Skop utama modul ialah Perubahan (CHANGE). Isi modul adalah berkisar kepada meransang kualiti Fitrah Diri Insan. Iaitu pengarapan Spiritual Quotient (SQ), Intellectual Quotient (IQ), Emotional Quotient (EQ) serta Physical Quotient.Slide 7
Setiap insan dilahirkan dalam keadaan bersih – diibaratkan seperti kain putih. Bererti Kecermerlangan, Kejayaan, Kebaikkan, Kedamaian, Kemenangan, Kebahagian, Ketanggungjawaban, Kepimpinan, Keluhuran, Ketenangan dan Kepositifan adalah milik Fitrah Diri Insan.