Blog Rasmi Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar (MTIAA)

KEDAI Buku Online Anda

Saudara-saudari juga dijemput untuk ke kedai buku DAMAI BOOK CAFE [sila klik]
*************************************************************************************************

WANG di hujung JARI anda!!!!!!!!!

Saturday, August 22, 2009

Seronok beristeri 4?



Boleh dikatakan hampir semua lelaki setidak-tidaknya pernah terfikir enaknya kalau berkesempatan atau diizinkan beristeri empat. Bak kata dari filem Madu Tiga, "dunia ini ana yang punya!". Apa tidaknya tiap-tiap hari boleh dapat. Kalau nombor 4 tak boleh, ada 3 lagi menunggu untuk memberi. Kalau satu merajuk, ada 3 lagi menunggu untuk memujuk. Kalau satu tak nak masak, ada 3 lagi tunggu bukan setakat masak malah siap suap sekali. Hah! seronok bukan.



Ish...ish...ish. Itulah seronoknya ada 4 isteri. Tambah seronok lagi bila dengar cerita ini.




AKU ada 4 orang isteri. Sudah semestinya isteri yang paling AKU sayang ialah isteri yang paling muda, paling bergetah, paling bertenaga dan paling 'gagah'. Ketika AKU letih dialah yang mengembalikan tenaga KU. Dia tidak pernah kenal letih mahupun lesu. AKU berasa sungguh bangga dan bertuah punyai isteri semuda ini. Dialah isteri yang KU puja serta yang senantiasa AKU dambakan kasihnya.




Namun isteriKU yang ketiga juga turut hebat. Cantik, manis, lansing bahkan mengiurkan. Ditambah lagi dengan gayanya yang pandai berhias dan bersolek. Bijak pula memperaga diri dan bergaul di dalam majlis. Pasti sesiapa saja lelaki yang memandang akan terpesona.




Dialah yang selalu KU usung kemana saja terutama majlis-majlis melibatkan orang kenamaan. Aku amat bangga bila meperkenalkan dirinya kepada teman-teman.




Isteriku yang kedua juga turut punyai kelebihannya. Walau wajahnya tak secantik serta tak bertenaga seperti isteriKU yang ketiga dan keempat. Tapi ia punyai akal yang cerdas dan pintar. Dialah yang banyak menyelesaikan masalah ketika AKU kebuntuan. Dia tempat AKU mengadu masalah. Kerana AKU pasti setiap masalah yang AKU adukan pasti ada buah fikiran dan penyelesaian darinya.




Tapi lain pula terhadap isteri KU yang pertama. Sudahlah rupa tak ada, tenaga pula sudah dimakan usia. Akal pula biasa-biasa sahaja. Maaf kata, hadirnya tak menambah; hilangnya mengurang. Pernah terfikir untuk diceraikan sahaja.....ehem, bolehlah tambah baru. Tapi tak sampai hati. Isteri tualah katakan, jadi serba tua lah!.....




Hidup KU riang dan ceria disamping tiga orang isteri yang KUsayangi. Mereka sentiasa membelai, memanja serta menyelesaikan masalahKU.






Suatu hari ketika AKU bersama isteri yang ke-3 dalam satu majlis utama syarikat. AKU rebah secara tiba-tiba.



Dua puluh empat jam AKU koma. Sebaik sahaja AKU sedar dari koma, Doktor Pakar memberitahu ku bahawa AKU mengidapi barah otak yang kritikal dan secara teorinya hayatKU hanya boleh bertahan selama 7 hari. AKU hanya bertahan dengan ubat penahan sakit.






Bagaikan disambar halilintar. AKU perlu terima hakikat bahawa AKU akan pergi buat selamanya. Mujurlah mulut masih boleh berkata-kata. Lalu KU panggil seorang demi seorang isteriKU. Ingin KU temui mereka dan meluahkan resah dan takut di dada ini.






Sudah pasti isteriKU yang keempat yang sangat KU sayangi mendahului.



" Sayang!, abang akan pergi tidak lama lagi. Sudikah sayang mati bersama abang untuk menemani abang di alam barzakh sana?" tanyaKU dengan nada manja sambil mengusap-ngusap tangannya.



"Bang! bukan saya tak sayang dekat abang. Tapi bab mati jangan dibuat bergurau bang!. Abang pun tahukan, saya masih muda lagi. Abang mahu saya mati sama?. Maaf Bang! fahamilah situasi saya. Jika abang mati, relakanlah saya menjalani kehidupan dengan lelaki lain. Sampaikah hati abang membiarkan saya yang muda ini hidup mejanda."



Terlepas tangannya yang KUpegang. AKU renung matanya untuk kepastian. Sememangnya sinar matanya membuktikan jawapanya adalah pasti dan muktamad. Jika AKU mati, dialah isteri yang paling awal mengakhirkan zaman janda. Janda muda, sememangnya ramailah lelaki terliur.






Seketika kemudian isteri ketiga KU pula memasuki kamar KU. Aku masih mampu membalas senyumannya yang manis. Melihatkan wajahnya yang cantik dan rupawan itu, berat sungguh hatiKU untuk meninggalkannya.



"Darling, hayat abang sudah tidak panjang."



" Ya bang!, sebak sungguh bila saya memikirkan hidup tanpa disisi abang nanti. Abang ada apa-apa hajatkah yang boleh saya tunaikan?."



"Ah! ada harapan" bisikKU dalam hati.



" Darling, sudilah sekiranya temankan abang di barzakh nanti, sebagai bukti cinta kita."



Dia tersentak, matanya yang bak bintang itu terbeliak besar. Lehernya yang jinjang menggeleng-geleng perlahan.



"Bang! fikirlah secara rasional. Kecantikan saya memang untuk abang. Tetapi setelah abang mati, saya perlu teruskan hidup. Kecantikan saya inilah aset berharga saya selain dari harta yang abang tinggalkan. Saya rasa abang faham. Maafkan saya bang!."



Oh! dia juga serupa. Seksanya bila mengenangkan kecantikannya yang AKU jamah selama ini akan dijamah lelaki lain pula. HarapanKU padanya hancur.






Harapan KU terakhir adalah pada isteri ketiga KU. Yang selama ini sentiasa menyelesaikan segala masalah KU.



"Ada apa-apa masalah abang yang boleh saya bantu untuk selesaikan?" tanya isteri kedua KU itu sebaik sahaja kami bertentangan mata.



"Ya sayang, kaulah tempat abang bergantung!."



"Abang janganlah bimbang, saya akan sedaya upaya menyelesaikan masalah abang dengan lancar...."



"Dengan lancar?."



"Ya, soal pembahagian harta pusaka akan saya uruskan dengan baik dan teratur. Perniagaan abang pun telah saya semak semua hutang piutang. Insyallah perniagaan akan dapat diteruskan."



"Janganlah abang runsing. Batu nisan yang mahal telah pun saya tempah. Begitu juga dengan tanah perkuburan. Imam, jemaah dan masjid untuk solat jenazah semuanya sudah diatur."



"Bukan itu masalah abang. Abang perlukan dirimu untuk menemani abang dibarzakh nanti sayang."



Isteri kedua KU terkejut lalu berlalu keluar.



Harapan Ku hancur, semua isteri yang disayangi sudah tidak sudi dengan permintaanKU.






Tiba-tiba......"Assalamualaikum bang!."



Terperanjat aku melihatkan bila isteri KU yang pertama menghapiri KU. Kerana AKU sudah meanggapnya seperti tiada.


"Waalaikum salam," jawabKU hambar. AKU tidak mengharap apa-apa daripadanya. Aku tak akan mengajukan apa-apa permintaan, justeru AKU perlu malu untuk meminta apa-apa daripadanya. Mustahil dia yang sering AKU tinggalkan sudi menemaniku.



"Terima kasih kerana abang masih sudi menerima saya," katanya sebaik bersalaman.



Isteri tua KU merenung mataKU. Matanya bersinar jernih dan ketenangan tidak tercabut daripada cahaya pandangannya walaupun usianya sudah lanjut.



"Abang! saya sanggup menemani abang kemana sahaja. Di mana jua. Saya sanggup menemani abang sekalipun terpaksa mati bersama. Jika ditakdirkan, saya sanggup menemani abang di alam barzakh."



Ah! alangkah gembiranya hatiku. Rupa-rupanya dia yang sering aku pinggirkan itulah yang setia dan berguna. AKU terharu dengan keikhlasannya. Dialah hakikat isteri sejati dan hakiki walaupun tidak ada tenaga, rupa mahupun idea.





Inilah kisah keseronokan beristeri 4. Kusangka panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari.



Siapakah AKU dalam kisah ini. Dato', Tan Sri, Datuk Seri atau mana-mana VIP.



Elakkan dari menunding jari kepada orang lain. AKU itu ialah kita.



Kitalah yang punyai 4 'isteri'!.



Isteri keempat ialah jasad dan tubuh kita. Daripadanya kita dapat kekuatan dan tenaga. Justeru 'dia' kita jaga sepenuhnya. Diberi makan dan minum dan dilindungi dari penyakit. Tak cukup dengan itu kita hiasi dan soleknya. Masa, harta dan perhatian kita kekadang dihabiskan sepenuhnya dan seluruhnya untuk membelai anggota badan kita. Jangan sakit, cacat dan lemah. Pelbagai makanan tambahan, ubatan serta rawatan kita usahakan untuk kembali bertenaga.



Isteri ketiga kita ialah harta. Siang malam kita memikirkan untuk menambahnya. Bagaimana meningkatkan kewangan justeru menambah kemewahan. Tidak cukup dengan kerja sedia, kita usahakan kerja tambahan. Apabila wang bertamnbah, simpanan meningkat, kita belikan aset. Kita bangga 'memperagakan' rumah, kereta dan segalanya. Seolah-olah nilai kita terletak pada kemewahan yang kita miliki.



Isteri kedua kita ialah ana, isteri, sanak saudara dan sahabat-sahabat kita. Pada merekalah kita meluahkan masalah. Pada merekalah kita harapkan pandangan, nasihat, teguran dan jalan penyelesaian. Merekalah yang kita temui, jemput dan raikan dalam hidup. Kita berasa sepi tanpa mereka disisi.



Isteri pertama kita ialah amal ibadah yang ikhlas kepada Allah. Itulah yang sering kita lupakan. Kita pinggirkan. Bila nak menambah amal!, nanti esok masih ada. Bila hendak taubat?. Tunggu, usai masih muda. Segala kebaikkan samada hubungan manusia mahupun dengan Allah Rabbuljalil sering tak dapat keutamaan. Segalanya seperti isteri tua. Tidak mengghairahkan dan tidak menggiurkan lagi.



Namun, fahami dan yakinlah bahawa pasti tiba masanya nanti akan teserlah serta terbukti jua 'isteri' mana yang jujur dan setia. Ketika saat berangkat yang didahului oleh sakaratul maut itu, apakah ada debu amal kita yang akan bertukar menjadi permata?.



Aduh! alangkah sepi dan malangnya kita pada malam pertama di alam kubur sana.........tanpa 'ISTERI' yang sudi mendakap kita.





Wallahualam.



Tugas Kita !






Kelapangan masa ini saya gunakan untuk terus menulis. Walaupun berita di bawah ini telah berlalu seminggu yang lepas. Tapi saya berkeyakinan ia tetap perlu didokumentasikan disini. Sebagai tanda terima kasih dari yang menerima. Sebagai penghargaan kepada pemberi; sebagai ransangan untuk memberi kepada yang belum berkesempatan untuk memberi.............












Sudah semestinya institusi pendidikan adalah institusi yang utama perlu dibangun serta dimartabatkan. Hal yang demikian saya amat menghargai usaha MALAKOFF Corporation Berhad yang tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama terus memartabatkan institusi ini. Walaupun sebuah syarikat janakuasa elektrik swasta (independent) terkemuka di Malaysia. Tetapi institusi pendidikan tetap dipandang serius.



Atas dasar itu MALAKOFF telah menganjurkan program gotong-royong di Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar pada 15 Ogos 2009. Sejajar dengan program ini bantuan kewangan sebanyak RM 18,500 telah diberikan atas tujuan membaikpulih bangunan dan pendawaian sedia ada. Sumbangan peribadi dari kakitangan-kakitangan berupa wang berjumlah RM 5 ribu serta pakaian juga turut menyelari.




Pada program ini Tn. Hj. Radzuan Yahya, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif MALAKOFF, turut bersama dengan 30 orang kakitangannya termasuk seorang bukan Islam bergotong-royong membersih serta membaikpulih kawasan Maahad.







Ikhtibar




Ikhtibar dari usaha ini memberi input kepada semua bahawa usaha untuk memartabat institusi pendidikan khasnya sistem pedidikan Islam, adalah tanggungjawab semua. Tidak mengira bidang pengkhususan, bangsa, mahupun agama.








Sejarah membuktikan




Sejak dari penubuhannya, Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar (MTIAA) dibangun serta dimajukan dari tangan-tangan masyarakat muslim. Selama 33 tahun tidak pernah sama sekali MTIAA menerima sebarang sumbangan dari pihak pemerintah.



Bermula dari pewakafan tanah sehinggalah pembinaan bangunan. Dibina dari titik peluh penduduk kampung serta masyarakat muslim yang punyai kesedaran.






Yakin dan fahamilah bahawa Institusi Pendidikan Islam bukanlah milik individu atau milik sesuatu institusi. Tetapi ia adalah milik UMAT!









' BANGKIT, BANTU & PERJUANGKANLAH !'

Tuesday, August 18, 2009

Semoga Allah memBerkati Umur mu Sayang!


Selamat Hari Lahir buat isteriku tersayang

Aida Rosniza Bt Safiee

Takdir Allah telah mengubah segala perjalanan kehidupan kita

tak pernah terlintas mahupun terdetik di lintasan benak kita


Kehadiran mu membawa cahaya kasih-sayang

Kasih-sayang terhadap diri ini

Serta kasih-sayang terhadap anak-anak

Kasih-sayang mu inilah menjadi penawar bagi kami


Kau muslimat solehah

Kau ibu mithali

Kau isteri yang diredhai suami

Kau Insan yang diberkati


'SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-29'

Thursday, August 13, 2009

Erti 13 Ogos bagi ku!

Gambar di atas diambil pada 28 Mei 2000. Bererti sudah 9 tahun berlalu. Along (Nur Nasihah) pun sudah mencapai umur 10 tahun.
Biasanya setiap awal pagi 13 Ogos, akan ku berikan ciuman dituruti ucapan 'Selamat Hari Lahir'. buat isteri tercinta Norizan Bt Jaffar atau panggilan manja Izan. Tetapi sangat berlainan untuk pagi ini, 13 Ogos 2009. Hatiku sungguh merasa sayu; dan sebenarnya hatiku terlebih dahulu sayu sejak 10hb iaitu hari Isnin lagi. Aku tak tahu entah mengapa fikiran ku sungguh kuat terkenangkan isteri ku Norizan. Dan air mata juga kerap bercucuran.
Gambar di atas sedikit sebanyak dapat mengubati rinduku. Bersama kami; anak kami yang sulong (Nur Nasihah) menjadi tanda pengikat kasih-sayang kami.
Walaupun hidup kami ketika ini sekadarnya sahaja. Tapi hidup ku cukup bahagia dengan curahan penuh kasih sayang dari Isteri tercinta. Tidak pernah berdengus atau memberontak sekalipun kenderaan kami hanyalah motosikal Honda EX5. Mungkin rakan-rakan seperjuangan masih ingat dengan nombor plat MAG 8250.
Kehidupan seharian kami harungi dengan kasih dan ceria. Lebih-lebih lagi ketika ini kami sama-sama sedang meneruskan pelajaran.
Tetapi segalanya berubah dengan begitu pantas sekali. 13 Ogos 1999 hingglah 13 Ogos 2008 sudah tidak sama dengan 13 Ogos 2009. Isteriku yang tercinta Norizan Bt Jaffar terlebih dahulu mengadap ilahi pada 31 Oktober 2008. Tiada lagi ciuman beserta ucapan 'Selamat Hari Lahir' pada 13 Ogos. Yang tinggal adalah ingatan kasih-sayang dari suami yang daif ini. Sentiasa mengiringi dirimu dengan doa agar Allah menjadikan lubang kuburmu sebagai ruang syurga bagimu. Dan suamimu membulatkan niat agar amalanku terus diterima olehmu sepertimana ketika kita mengemudi hidup bersama.....aminnnn.

"Izan! abang redha terhadap dirimu dan juga pemergianmu....semoga syahid paling layak bagimu."

Monday, August 10, 2009

Apakah ada Hikmah dalam Tarbiyah & Didikan?


Saya tertarik apabila menonton sebuah filem Indonesia yang bertajuk 'Perempuan Berkalung Sorban (serban)' melalui Youtube.com. [klik di sini untuk menonton].



Filem ini mengisahkan pengorbanan dalam usaha membawa pembaharuan dalam sistem pendidikan Islam konservatif. Seorang perempuan, anak kyai Salafiah sekaligus seorang ibu dan isteri. Anissa (Revalina S. Temat), seorang perempuan dengan pendirian kuat dan cerdas. Anissa hidup dalam lingkungan keluarga kyai di pesantren Salafiah putri Al Huda, Jawa Timur yang konservatif. Baginya ilmu sejati dan benar hanyalah Al-Quran, Hadith dan Sunnah. Buku moden dianggap menyimpang. Dalam pesantren Salafiah putri Al Huda diajarkan bagaimana menjadi seorang perempuan muslim dimana pelajaran itu membuat Anissa beranggapan bahwa Islam membela laki-laki, perempuan sangat lemah dan tidak seimbang. Tapi protes Anissa selalu dianggap rengekan anak kecil. Hanya Khudori (Oka Antara), paman dari pihak Ibu, yang selalu menemani Anissa. Menghiburnya sekaligus menyajikan dunia yang lain bagi Anissa. Diam-diam Anissa menaruh hati kepada Khudori. Tapi cinta itu tidak terbalas karena Khudori menyadari dirinya masih ada hubungan dekat dengan keluarga Kyai Hanan (Joshua Pandelaky), sekalipun bukan sedarah. Hal itu membuat Khudori selalu mencuba membunuh cintanya. Sampai akhirnya Khudori melanjutkan sekolah ke Cairo. Secara diam-diam Anissa mendaftarkan kuliah ke Jogja dan diterima, tapi Kyai Hanan tidak mengizinkan, dengan alasan boleh menimbulkan fitnah, ketika seorang perempuan belum menikah berada sendirian jauh dari orang tua. Anissa merengek dan protes dengan alasan ayahnya. Akhirnya Anissa dinikahkan dengan Samsudin (Reza Rahadian), seorang anak Kyai dari pesantren Salaf terbesar di Jawa Timur. Sekalipun hati Anissa memberontak, tapi pernikahan itu dilangsungkan juga. Kemudian Samsudin menikah pula dengan Kalsum (Francine Roosenda). Harapan untuk menjadi perempuan muslimah yang sejati bagi Anissa runtuh seketika. Dalam perjalanan kesusahanya itu, Anissa dipertemukan lagi dengan Khudori. Keduanya masih sama-sama mencintai... Apakah cinta Anissa dan Khudori berakhir di pernikahan? Bagaimana hubungan Anissa dan kedua orang tuanya dan Samsudin suaminya? Apakah Anissa dapat menjadi muslimah seperti yang diinginkan orang tuanya? Pemain: Revalina S. Temat, Joshua Pandelaki, Widyawati, Oka Antara, Reza Rahadian, Ida Leman, Tika Putri .
Filem ini mengesahkan mengenai satu usaha pembaharuan budaya yang ingin dibawa oleh seorang anak gadis bernama Anissa di Pasantren (pondok menuntut ilmu) Al Huda yang juga merupakan milik bapanya. Apa yang diperjuangkan oleh Anissa ialah kebebasan sebagai seorang wanita samada dari segi ilmu mahupun hak.


Mungkin secara penafsiran selapis, sesetengah pihak akan beranggapan bahawa filem ini sengaja dibikin atas tujuan untuk memburukkan institusi pendidikan Islam yang tulen terutama sistem pendidikan pondok atau maahad yang berasaskan tarbiyah islami tulen.





Tetapi dari pandangan saya sebagai Mudir/Pengetua Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar seterusnya merangkap Pengerusi Yayasan Al Ansar. Menafsir filem ini dari lapisan yang berlainan. Terutama apabila dinilai melalui tanggungjawab dalam mendidik anak-anak serta anak-anak didik di Maahad Al Ansar




1. Hal ini kerana saya perlu terima kenyataan bahawa saya juga punyai anak-anak yang perlu ditarbiyah dan didik serta pada masa yang sama perlu diraikan 'kebebasan' dan hak anak-anak.

2. Saya punyai ribuan anak-anak didik yang telah dan insyallah akan ditarbiyah. Di mana sebarang kesilapan dan pentarbiyahan bukan sahaja akan diri mereka akan terpesong malah generasi di bawah didikan mereka juga akan turut serta.

3. Saya perlu ambil ikhtibar atas 'post' DERHAKA 1, DERHAKA 2, DERHAKA 3, DERHAKA 4. (klik pada tajuk jika belum membaca) yang saya tuliskan sebelum ini. Kerana penderhakaan / pengkhianatan itu bermula pada diri kita dahulu sebelum orang lain mengkhianati kita.



Positif dari filem:

1. Dalam mendidik sememangnya kita iginkan anak atau anak didik tadi terbentuk mengikut acuan kita. Tetapi kekadang kita terlupa bahawa acuan yang kita bawa itu sebenarnya adalah acuan yang hanya lebih dari pemahaman adat dan tidak mengikut saluran Islam secara syumul. Terutama dalam pendidikan Islam adakalanya kita tertukar antara tuntutan syariat dengan fahaman adat bangsa. Akibatnya kita mencari helah syariat untuk menghalalkan fahaman adat bangsa tersebut. Ini bukan sahaja akan menimbulkan kekeliruan bahkan akan mengkucar-kacirkan pendidikan Islam yang tulen. Lebih teruk lagi jiwa anak; kanak-kanak atau remaja yang inginkan kebebasan akan memberontak dan terus meletakkan beban penghalang kepada ISLAM.

2. Antara perkara terpenting sebagai ibubapa mahupun pendidik ialah kita mesti mampu bersedia meraikan anak-anak/anak didik kita. Seperti mana yang pernah saya tuliskan dalam 'post' terdahulu 'Raikanlah Anak-anak Kita'. Sememangnya sebagai orang yang lebih tua lebih-lebih lagi jika bergelar muraqib (guru). Kita akan merasakan bahawa kita lebih dahulu atau lebih banyak makan garam, nasi, cili, cuka, gula atau apa saja berbanding mereka. Mungkin juga pengalaman kita sudah luas melangit. Tetapi apa yang kita perlu renungkan serta fahami bahawa apa yang ada dalam hati, minda dan perasaan kita tidak sama, sama sekali dengan apa yang ada dalam hati, minda dan perasaan mereka.
Contohnya: a) Kita melihat televisyen sebagai sumber mendapat maklumat tetapi anak-anak akan melihat ianya sebagai saluran mendapat hiburan.
b) Begitu juga apabila kita menonton filem ini, anak-anak akan mengambilnya sebagai halwa mata dan menilai secara selapis. Mungkin apa yang mereka dapat ialah mengenai keburukan sistem pendidikan Islam tulen yang ditonjolkan secara lansung lalu mengaburi hati mereka akan tersirat yang mampu dilihat secara positif.

Oleh yang demikian sewajibnya kita tidak hipokirit dan perlu menerima kenyataan bahawa kita juga pernah berada ditempat mereka suatu ketika dahulu.




3. Keikhlasan adalah perkara yang paling utama dalam mentarbiyah serta mendidik. Niat perlu dubulatkan hanya semata-mata kerana tugas sebagai Khalifah Allah. Bukan takut malu dengan masyarakat, menjaga nama atau apa alasan kedunian sekalipun.


Kesimpulan

Mendidik secara Pendidikan Islam yang Tulen dan Holistik adalah satu KEWAJIBAN. Pemesongannya dengan fahaman adat serta digarapi dengan sikap Hipokrit Diri bukan sahaja akan memburukkan nama Pendidikan Islam itu sendiri bahkan mampu menhancur kehidupan generasi yang dididik.


Wallahualam.