Sebaik sahaja 15 minit melabuhkan punggung di bilik Mudir, saya didatangi beberapa tetamu. Kemudian masuk pasangan suami isteri bersama anaknya.
"Assalamuaikum, ya encik, apa yang saya boleh bantu", sapa awal saya sambil bersalaman dengan si ayah.
"Ini bagaimana ceritanya anak saya ini ustaz. Bagaimana dia boleh bergaduh dan katanya sudah berulangkali berlaku" bentaknya dengan suara tegas.
"Ya!" saya membalas ringkas. Fikiran bingkas teringatkan laporan Muraqibah (warden) mengenai kes pelajar lari dari asrama atas alasan bergaduh.
Kemudian saya mengalih pandangan kepada pelajar tersebut yang turut hadir bersama ibubapanya. Dengan memandang tepat pada mukanya saya bertanya "apa yang berlaku ni sehingga lari dari asrama Zana?".
"Saya bergaduh ustaz."
"Ya, mesti ada sebabnya", saya sedikit mendesak untuk mengetahui pengakuan dari lidahnya sendiri.
Menyedari saya seperti inginkan penjelasan darinya, anak pelajar itu terus menyambung kalamnya. "Fari ustaz, kerap sangat dia berkasar dengan saya. Dan yang terbaru dia tarik tudung saya masa di kelas. Dia tuduh saya kunci kelas dia."
Mendengar penjelasan anaknya itu si bapa renta serta menyisipi penerangan anaknya. "Kenapa tak balas semula. Jangan biar orang lakukan sesuka hati pada kita."
Kemudian si bapa terus menyambung dengan suara yang lebih keras, "Dulu masa sekolah ayah ini tubuhnya kecil, kawan turut memandang rendah pada ayah. Tapi apabila ayah balas semula tindakan mereka. Mereka semua takut pada ayah".
"Ustaz, saya nak jumpa dengan budak yang bergaduh dengan anak saya tu!".
Saya tersenyum mendengar kata-kata si bapa. Sambil memikirkan adakah benar tindakan si bapa berkata begitu dihadapan anaknya. Adakah itu nasihat dan tauladan yang perlu dia tunjukkan.
Lantas saya menyela, "Maaf encik, saya menanamkan keyakinan bahawa semua pelajar yang datang ke sini ialah pelajar yang baik dan cerdik. Adapun yang nakal, bagi saya itu adalah sifat normal remaja yang perlu dilentur".
"Bukan tradisi kami di sini mengajar anak-anak (pelajar) bermusuhan antara satu sama lain. Jadi apa yang berlaku bagi saya ia adalah situasi normal remaja. Namun ia perlu dibaiki dan dibimbing". Saya terus menyambung kalam. Atas tujuan untuk memberitahu kepada si bapa bahawa anak-anak ini perlu ditauladani dengan sifat kerendahan hati.
Teringat saya akan satu kisah apabila saiyidina Abu Bakar dihujani kata-kata kesat oleh seorang lelaki. Apbila lelaki tersebut terus menhujani kata-kata kesat terhadap Abu Bakar buat kali ketiganya. Saiyidina Abu Bakar bangkit untuk membalas kata-kata lelaki itu. Lalu dilihatnya Rasulullah s.a.w bingkas bangun...................Maka Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah s.a.w, adakah Rasulullah s.a.w marah kepada tindakannya itu. Rasulullah s.a.w lantas memberitahu Abu Bakar bahawa ketika lelaki tersebut menghujani Abu Bakar dengan kata-kata kesat, dilihatnya malaikat turun dari langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Namun apabila Abu Bakar bangkit itu membalas kata-kata kesat itu, maka malaikat pun beredar dan syaitan mengambil tempat.Jelaslah bahawa sifat kerendahan hati itu satu sifat yang amat mulia dan dipayungi malaikat. Sebaiknya kita perlu bertanya pada diri, samada kita ingin memuaskan hati kita serta menang dimata manusia atau
.............dipandang hebat disisi Allah s.w.t.
"Beginilah encik, soal anak-anak ini akan saya selidiki dan selesaikan secepat dan sebaik mungkin. Namun kesalahan anak ini lari dari asrama tetap akan diambil tindakan. Kerana saya harap encik faham bahawa lari dari asrama walau dengan apa alasan sekalipun, ia tetap kesalahan yang melanggar disiplin Maahad.......................dan saya minta maaf kerana tidak sama sekali mengizinkan encik untuk bertemu dengan pelajar yang turut terlibat dalam pergaduhan ini". Saya berhenti seketika untuk mendapatkan reaksi si bapa.
Apabila melihat si bapa seperti akur saya terus menyambung, "Ini kerana apa sahaja urusan pelajar yang berlaku didalam kawasan Maahad, ia adalah tangungjawab kami. Dan saya harapkan kita dapat terus bekerjasama".
Raut wajah si bapa semakin reda. Dan saya bersyukur kerana dia meninggalkan bilik pejabat saya dengan tenang. Juga saya mengharapkan agar si bapa dapat mesej yang ingin saya sampaikan. Kerana anak-anak mudah mengikut apa yang di tauladani bukan apa yang disebut.
Kerendahan hati satu perkara yang mudah disebut tapi amat susah untuk diamal. Kerana ia berlawanan dengan nafsu. Kerana dengannya hadir sifat sabar serta redha yang membawa kepada tawadhuk dan seterusnya takwa (takut kepada Allah). Maka bersama kita berusaha untuk tidak sama sekali memberi hati kita kepada syaitan
[don't give (our heart) to syaitan].
Wallahualam!