Oleh kerana hari ini hari cuti, anak-anak mengambil tugas membersihkan rumah. Seawal jam 8 pagi, Along (Nur Nasihah) dan Angah (Nur Nadhirah) membersih serta mengemas bilik mereka. Kemudian seperti biasa mereka membahagi tugas. Along menyapu habuk di dalam rumah manakala Angah membersih di kawasan halaman.
Peluang ini saya gunakan untuk melayari internet. Tujuan utama ialah untuk mendapatkan maklumat mengenai Bajet 2010 yang dibentangkan semalam oleh Perdana Menteri. Maka saya terus labuhkan 'laptop' di atas meja santai yang berada di halaman rumah. Sedang khusyuk membaca laporan akhbar, suatu suara lembut lagi lunak menyapa saya.
"Pakcik, Along dan Angah mana?," tanya Ifa, anak jiran sebelah rumah.
"Ahhh!, Ifa. Along Angah ada di atas, tengah mengemas."
"Ehhhh!, pakcik ni asyik suruh anak-anak pakcik je buat kerja." Tersenyum saya bila mendengar celoteh anak yang berumur 6 tahun ni.
"Ya lah!, anak pakcik dah besar. Along Angah kenalah belajar untuk tolong buat kerja-kerja di rumah."
"Kenapa pakcik tak buat?," sambung anak comel itu tanda kurang puas hati dengan jawapan saya sebentar tadi.
"Begitu juga dengan Ifa. Ifa kena tolong umi kemas rumah. Masa Ifa kecil umi Ifa buat semua untuk Ifa termasuk uruskan rumah. Jadi bila Ifa dah besar, tiba masanya Ifa bantu Umi." Anak comel itu terus diam, nampak seperti rasa memahami di riak wajahnya.
Semoga anak-anak ku serta anak-anak jiranku yang keletah itu faham bahawa sudah tiba suatu masa diperingkat umur mereka seawal 5 tahun. Mereka perlu membantu kerja-kerja menyelenggara rumah yang sebelum ini dilakukan oleh kedua ibu bapa mereka. Seperti menyapu, mengemas, membasuh pinggan, melipat kain. Dan seawal tujuh tahun, dengan pengawasan mereka sepetutnya mampu untuk menggosok baju sendiri.
Insyallah dengan cara dan latihan ini kita doakan agar anak-anak kita mampu memahami bahawa mereka juga mempunyai peranan dalam menyerikan rumahtangga.
Wallahualam.
Lensa Januari 2015
9 years ago
No comments:
Post a Comment