Blog Rasmi Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar (MTIAA)

KEDAI Buku Online Anda

Saudara-saudari juga dijemput untuk ke kedai buku DAMAI BOOK CAFE [sila klik]
*************************************************************************************************

WANG di hujung JARI anda!!!!!!!!!

Tuesday, April 13, 2010

41 tahun....terus BAHAGIA



"Abi, telefon Abi bunyi," khabar anakku Muhammad Muzakkir dengan nada yang sedikit nyaring.
Dalam kekalutan saya dan isteri menyiapkan keperluan anak-anak untuk ke sekolah itu, saya termangu sambil hati berkata, "'reminder apa ya pagi-pagi ni?"; "oh! ya, ulangtahun perkahwinan ke 41 mak dan abah rupanya".

MasyaAllah, 41 tahun umur perkahwinan kedua orang tua ku. Peringkat umur yang cukup mantap.

Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir. (arRum ayat 21)

Semestinya dengan umur perkahwinan sematang ini pelbagai manis, indah serta ranjau dan cabaran rumahtangga ditempuhi. Yang pasti mereka berjaya menempuhi serta mengharungnya bersama. Bukan sahaja itu malah berjaya membesar serta memberi didikan terhadap kami adik-beradik.

Walaupun abah yang berjawatan sebagai pemandu bas Maktab Perguruan, manakala emak pula suri rumah. Mereka tetap gigih menyusuri kehidupan bersama kami adik-beradik. Saya sendiri menjadi saksi pada kegigihan abah. Paginya bekerja, kemudian bermula dari petang hingga ke malam melewati segenap pasar malam menjual jambu potong. Waktu-waktu lapangnya juga tidak disia-siakan. Pantai yang berhampiran dengan rumah menjadi tempat abah 'beriadah'. Kekadang sehingga ke subuh baru abah pulang ke rumah. Menjala ikan atau melanggai udang. Hasil riadahnya kami ducurahi dengan belanak, sembilang dan sesekali gemang serta udang yang segar kemerahan. Bukan sahaja menjadi lauk kami anak-beranak, turut juga dijaja pada jiran sekitar.
Tidak kurang hebatnya juga emak. Tugas rumahtangga tidak dijadikan alasan untuk enggan membantu ekonomi keluarga. Seawal 4pagi emak bangun untuk menyiapkan nasi lemak untuk abah letakkan di kantin Maktab. Kemudian pada hari-hari tertentu emak berniaga perlbagai juadah kuih-muih, ketupat, nasi lemak, bihun di pasar malam dan pasar tani. Di sini promosi bermula. Masyarakat mula kenal keenakan kuih-muih air tangan emak. Tempahan mula menyimbah tidak mengira masa. Terutamanya kuih tradisional yang orang malas nak buat atau biasanya mereka hanya menggunakan oven. Kuih bakar lemak manis, berlauk dan bingka betawi. Walaupun asap menyelubungi serta haba abu menjamah segenap tubuhnya. Saya menyaksikan ketenangan diwajah jernih emak.

Sebagai anak yang mampu saya katakan, " Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibubapa ku ini serta sayangilah mereka sepertimana mereka menyayangi kami sewaktu kecil".

Semoga Allah memberkati perkahwinan Emak dan Abah serta merahmati keduanya..............Amin!


Wallahualam.

No comments: