Blog Rasmi Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar (MTIAA)

KEDAI Buku Online Anda

Saudara-saudari juga dijemput untuk ke kedai buku DAMAI BOOK CAFE [sila klik]
*************************************************************************************************

WANG di hujung JARI anda!!!!!!!!!

Monday, January 25, 2010

Aqidah Perjuangan



Muqaddimah


Aqidah merupakan suatu perkara yang paling penting dalam perjuangan Islam. Ia merupakan suatu kekuatan utama yang mesti dimiliki oleh seluruh pejuang Islam agar perjuangan yang didokongi tidak lari daripada matlamat asal serta tidak bercanggah daripada landasan yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari betapa pentingnya kekuatan aqidah ini kepada jatuh bangunnya perjuangan Islam telah menyebabkan musuh Islam dari dulu hingga kini sentiasa berusaha di dalam menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar melalui serangan pemikiran. Kesinambungan daripada itulah maka kita sebagai orang yang mengaku berjuang Islam mesti faham, mengguna serta mempertahankan kekuatan aqidah ini daripada sebarang usaha musuh Islam untuk merobek dan menghancurkannya demi mencapai kejayaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat.






3 Unsur Utama Aqidah


1.Tidak mencari Tuhan selain Allah S.W.T


2.Tidak mengambil pemimpin atau pelindung selain daripada Allah


3.Tidak mencari hakim selain Allah

Kepentingan Aqidah Terhadap Perjuangan Islam


1. Supaya jelas matlamat perjuangan

Pejuang Islam mesti tahu bahawa perjuangan yang sedang didokongi merupakan suatu tuntutan Allah S.W.T di mana setiap gerak kerja yang dilakukan mestilah selari dengan apa yang telah digariskan oleh Islam. Bagaimana kita mahu berjuang sekiranya kita tidak tahu matlamat perjuangan Islam yang sebenarnya

2. Supaya perjuangan benar-benar ikhlas kerana Allah S.W.T

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa al-Asy'ari bahasanya seorang arab badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu bertanya:


يارسول الله! الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ و الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ؟ وفى رواية يُقَاتِلُ شَجَاعَةً و يُقَاتِلُ حَمِيَّةً , وفي رواية : يُقَاتِلُ غَضَبًا فَمَنْ فى سبيل الله؟ فقال رسول الله : مَنْ قَاتَلَ لِتَكُوْنَ كَلِمَةُ الله هِىَ العُلْيَا فَهُوَ فِى سَبِيْلِ الله


Maksudnya : Ya Rasulullah! Ada seseorang yang berperang dengan tujuan merebut harta rampasan, ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan suapaya disebut-sebut namanya dan ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan untuk memperlihatkan betapa hebat peranannya". Dan dalam riwayat lain " Ada seseorang yang berperang dengan tujuan menunjukkan keberaniannya dan ada pula seseorang yang berperang untuk membalas dendam keluarganya. Dan riwayat yang lain pula disebutkan " Ada seseorang yang berperang kerana mahu melepaskan kemarahannya maka yang mana di antara semua ini yang dianggap orang yang berperang fisabilillah?." Rasulullah s.a.w menjawab :" Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimah Allah S.W.T (Islam) menjadi tinggi maka orang itu sahajalah yang dikatakan berjihad fisabilillah




2. kisah dalam peperangan Uhud ini ialah apabila seorang kafir yang bernama 'Amru bin Thabit di mana sebelum ini telah diajak kepada Islam tetapi dia enggan. Tiba-tiba dalam peperangan ini dia telah dijumpai dalam keadaan nazak dan apabila ditanya tentang sebab dia turut berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman kepada Allah dan rasulNya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w tetang perkara ini lalu baginda menjawab : Dia masuk Syurga.




Satu lagi peristiwa iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana dia berperang dipihak Islam dan berjaya membunuh tujuh atau lapan orang kafir. Dia dijumpai dalam keadaan luka parah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang kerana mempertahankan kaum bangsanya. Oleh kerana dia tidak tertahan dengan kesakitan yang dihadapi lalu dia telah membunuh diri. Apabila Rasulullah s.a.w diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda : Dia masuk neraka




3. Supaya dapat merasai kemanisan iman dalam perjuangan



Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Anas:

قَالَ الرَّسُوْلُ : ثَلاثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ ِبهِنَّ حَلاوَةَ الإْيمَان : أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ ِمَّما سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لايُحِبُّهَ إِلا ِللهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِى النَّارِ


Maksudnya : Sesiapa yang memiliki tiga perkara ini nescaya dia akan dapat merasakan kemanisan iman iaitu dia mengasihi Allah dan rasulNya lebih daripada yang lain dan dia mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah serta dia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas dia diselamatkan oleh Allah daripadanya sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka



4. Supaya tidak mudah kecewa dan berputus asa dalam perjuangan

Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali 'Imran :


وكأين من نبي قــتل معه ربيون كثير فما وهنوا لمآ أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصــبرين


Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar



5. Supaya tidak menjadikan perjuangan sebagai tempat mencari habuan
dunia

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah:


…. وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا . فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ


Maksudnya : ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya



6. Supaya amanah dan bertanggungjawab dalam perjuangan

قَالَ الرَّسُوْلُ : لا دين لمن لاأمانة له


قَالَ الرَّسُوْلُ : يا أبا ذر ‍ إنك ضعيف وأنها أمانة وأنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من آخذها بحقها وأدى الذي عليه فيها – رواه مسلم


Maksudnya : Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari qiamat kelak kehinaan dan penyiksaan yang akan menimpa kecuali orang yang telah mengambilnya dengan hak dan menunaikan tanggungjawabnya



7. Supaya tidak mudah goyah apabila diserang oleh pihak musuh Islam

فرمان الله تعالى دالم أية 19 سورة التوبة :


أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن ءامن بالله واليوم الآخر وجــهد فى سبيل الله لايستون عند الله والله لايهدى القوم الظــلمين


Maksudnya : Adakah mereka yang memberi minuman kepada jemaah haji dan menguruskan Masjidil Haram kamu samakan kedudukan mereka dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad di jalan Allah?. Mereka tidak sama kedudukannya di sisi Allah dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim



8. Supaya dapat lari daripada menjadi pengkhianat terhadap perjuangan Islam


9. Supaya tahan dalam menerima ujian dan cabaran
Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut :

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لايفتنون . ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكذبين .


Maksudnya : Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengatakan: " Kami telah beriman ", sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.


10. Supaya sentiasa muhasabah diri dalam perjuangan

Firman Allah S.W.T dalam ayat 104 surah an-Nisa' :

ولا تهنوا في ابتغاء القوم , إن تكونوا تألمون فإنهم يألمون كما تألمون , وترجون من الله مالا يرجون


Maksudnya : Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan


11. Sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah S.W.T


12. Supaya tidak mencampur-adukkan antara Islam dan jahiliah, iman dan kufur, dosa dan pahala, ibadat dan maksiat dalam perjuangan


120 سورة االأنعام :


وذروا ظــهر الإثم وباطنه إن الذين يكسبون الإثم سيجزون بما كانوا يفترون


Maksudnya : Dan tinggallah dosa yang nampak dan tersembunyi. Sesungguhnya orang-orang yang mengerjakan dosa, kelak akan diberi balasan disebabkan apa yang mereka telah kerjakan




Pesan Sayyidina Umar al-Khattab : Kamu hendaklah takut kepada dosa kamu sendiri berbanding musuh. Jika kamu mati di tangan musuh maka hanya jasad bercerai daripada roh sedangkan jika kamu mati dengan dosa maka ia akan kamu bawa ke akhirat. Orang kafir itu dikalahkan disebabkan kederhakaan mereka terhadap Allah. Sekiranya kamu umat Islam pun turut derhaka maka kamu tidak akan dibantu oleh Allah.



Penutup

Menyedari tentang betapa pentingnya aqidah yang jelas dalam meninggikan kalimah Allah S.W.T di muka bumi ini maka kita wajib memperteguh serta menyuburkannya dalam diri ke arah mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat

Jihad Dan Perjuangan



MUKADIMAH:


Sesungguhnya Islam yang pada hari ini adalah hasil dari pengorbanan dan kesanggupan jihad para rasul, nabi, tabiin serta ulama' terdahulu. Seruan jihad tidak pernah luput dari zaman Rasulullah s.a.w hinggalah ke hari ini. Inilah keistimewaan yang Allah s.w.t tidak tarik keatas hambanya hingga akhirat. Dan inilah peluang yang perlu direbut dengan rakus oleh umat Islam yang mengaku pejuang Islam serta bersemangat meletakkan agama ini pada tempat selayaknya. Di mana nilai jihad ini adalah lebih berharga dari seluruh bumi dan isinya malahan jiwa insan itu sendiri. Bahkan Allah s.w.t mennyifatkan sebagai 'barang dagangan' yang boleh 'bermuamalah' (dalam konsep jual beli) antara Allah dan hambanya yang beriman.


Dalam surah At-Taubah Allah s.w.t bersabda:


Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah, lalu ada antara mereka yang membunuh dan terbunuh.Itu sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran.


Siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya dari Allah?.


Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu lakukan itu. Itulah kemenangan yang besar. (ayat 111)


Maka jelas dan yakinlah bahawa jihad ini tidak ada tolok bandingnya samada dari segi nilai amal mahupun pahalanya. Ini disokong dengan hadis Rasulullah s.a.w:


Dari Abu Hurairah r.a, orang mengatakan; Wahai Rasulullah! Apakah dia yang sama dengan jihad fi sabilillah? Sabda Baginda: Kamu tidak akan mampu melakukannya. Mereka mengulangnya dua atau tiga kali. Setiap kali baginda mengatakan kamu tidak akan mampu melakukannya. Kemudian baginda bersabda: "Bandingan seorang Mujahid fi sabilillah ialah seperti seorang yang berpuasa, bersolat, dan membaca al-Quran, di mana ia tidak memutuskan puasanya dan solatnya sampailah seorang Mujahid itu balik." (riwayat yang enam kecuali Abu Daud)


KUPASAN


Definasi:


Jihad:


Bersusah payah – berjuang – peperangan suci melawan orang kafir kerana mempertahankan Islam; perang sabil – mempertahankan sesuatu yang baik atau menentang sesuatu yang tidak baik


Pengorbanan:


Kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu sebagai tanda kasih


Jenis-jenis:




Jihad:




  1. Lisan


  2. Harta


  3. Pelajaran


  4. Politik



Pengorbanan:




  1. Jiwa


  2. Harta


  3. Masa


  4. Hidup (keluarga,keseronokan)

Firman Allah s.w.t:


'Katakanlah, jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan, yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah yang kamu sukai adalah kamu lebih cinta dari Allah dan Rasulnya dan (dari) berjihad dijalan Allah, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan Nya. Allah tak beri pimpinan kepada orang yang fasik.' (at-Taubah: 24)


Konklusi:


Matlamat jihad hanyalah satu, iaitu menuju Allah. Manisnya jika bertemu syahid. Seperti firman Allah:


Dan jangan sekali-kali Engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (al-Imran: ayat 169)


Meskipun begitu dalam konteks kini, kita perlu berharap serta bemunajat agar Allah s.w.t menghadiahkan kita syahid diakhir hayat kita kelak. Sabda Rasulullah s.a.w:


Dari Sahl bin Hunaif radiallahu anhu katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yg memohon kepada Allah s.w.t dengan sebenarnya untuk syahid, Allah pasti menyampaikannya ke darjat para syuhada', meskipun ia mati di tempat tidurnya."


(riwayat yg lima kecuali Bukhari)


Namun mesti diingat jihad menuntut keikhlasan pengorbanan yang total. Tanpa pengorbanan tiada Jihad. Hambar kemanisan hidup.




Wallahualam.

Musafir Sahabat

Setelah 3 minggu berturut-turut tiada di rumah bersama keluarga. Kesempatan hari Ahad (8 Safar 1431H - 24 Jan 2010) diambil untuk menggembirakan anak. Kebetulan abang kandung bersama anak-anaknya bertandang ke rumah.
Tepat jam 9.20am setibanya di rumah sebaik menyelesaikan 3 program sejak Sabtu jam 8am lagi, mereka sekeluarga turut sampai sehala dengan aku. Hasil perbincangan adhoc kami bertolak ke Bagan Lalang yang terletak lebih kurang 40km dari rumah ku. Setelah lebih kurang 3 jam anak-anak puas bermain pantai serta solat zohor dan menikmati makan tengahari. Kami masing-masing menyusuri semula ke pemukiman.
"Assalamualaikum ustaz, ustaz ada dimana?" suara salah seorang yang sentiasa ada dalam ingatanku menombosi laluan gelombang telefon bimbit ku.
"Waalaikumussalam, masayallah ustaz. Ana ada di Sepang, bawa anak keluar berjalan. Ustaz di mana sekarang?" tanyaku pada Ustaz Abdul Majid sahabat ku yang merupakan Mudir Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Pokok Sena, Kedah.
"Ana di Behrang dalam perjalanan ke Sepang lah ni. Ana naik flight jam 10pm untuk ke Syiria. Ziarah anak-anak kat sana."
"Tak pa ustaz, sampai sahaja di KL nanti ustaz call ana semula. Ustaz mesti singgah dan rehat di rumah ana dulu. Berapa ramai anak ustaz yang ada kat sana." Tanyaku menyambung perbualan.
"Tak ramai ustaz, 58 orang sahaja. OK ustaz, assalamualaikum."
"Waalaikumussalam!."
Begitulah beruntungnya seorang murabbi. Walaupun anak kandung hanya 10 orang tetapi anak didik ramai tak terkira. Sayang kepada anak kandung dan anak didik boleh dikatakan hampir sama. Seronok bila melihat anak didik berjaya. Terutama ilmu yang dibawanya membawa jalan ke alam abadi. Mungkin tak kaya berjuta ringgit. Tapi insyallah bahagia disisiNya.
(sahabat-sahabat dari Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang berehat sebentar sementara menunggu jam 7pm)
Tepat jam 5.15pm Ustaz Majid bersama rombongannya seramai 4 orang termasuk Ustaz Abu Khir sampai di Pagar rumah. Setelah solat Asar berjamaah kami berjamu hasil masakan isteri tersayang. Kemudian masa berbaki dimanfaatkan untuk bertanya khabar serta berbincang isu-isu terkini serta masalah agama. Jam 7pm rombongan bertolak ke LCCT sebagai persediaan untuk check in barang-barang. Aku menyusul lewat sedikit selepas solat maghrib.
Alhamdulillah aku dapat berjumpa semula mereka di sana serta mengembirakan hati sahabat sehingga ke pintu pelepasan antarabangsa LCCT.(sempat bergambar dengan Ustaz Majid bersama sahabatnya sebelum masuk ke pintu pelepasan antarabangsa LCCT)

Friday, January 22, 2010

Nuang

Klik, klik. Seperti biasa bunyi menandakan masuknya sms kedalam 'h/p' ku. Sengaja aku memilik bunyi yang perlahan. Kerana orang seperti ku yang pernah merasai zaman perniagaan yang agak sibuk suatu ketika dahulu; hampir sudah 'bosan' dengan bunyi 'h/p'.





"xpdc Gunung Nuang, 16 dan 17 Februari."Ternyata 'sms' dari Khairi kali ini 'mengancam' hatiku.





Masih ada seminggu setengah, mampukah aku meyiapkan diri untuk menawan Gunung Nuang. Gunung Angsi, gunung terakhir yang ku tawan. Itu pun zaman muda-muda dulu. Tengah tegap dan lasak. Sekarang ni pun bukanlah tak tegap dan lasak tapi tua dari 'exercise'.





Minat dan keupayaan fizikal bermuhasabah dan berhujah antara 'mereka'.





"Fuh! mencabar ni. Ish! insyallah bolehlah. Nak taku apa, tempuh aja." kata perangsang ringkas ini yang mengusai minatku terhadap pendakian memberikan kata putusku untuk menerima lamaran Nuang.





Hari Pertama:




8am: Berkumpul di perkarangan Masjid Kajang


10am: Ucapan Dan Pelepasan Oleh Dr Shafie (ADUN Serdang)

11am: Mendaki kearah Kem Lolo, Gunung Nuang

(berganmbar bersama Khairi, yang juga sebagai penunjuk jalan bagi kumpulamn kami-di kaki Gunung Nuang)

(berehat sebentar sebelum sampai ke Kem Lolo)

1pm: Sampai di Kem Lolo, Mendirikan Khemah, Solat Zohor, Memasak & Makan Tengahari


(baru sampai dari kaki gunung ke Kem Lolo, walaupun letih mendaki selama 2 jam-tapi masih mampu tersenyum)

(rakan-rakan ex-UNITEN yang masih muda dah bergetah)

(lepas solat zohor-operasi memasak, pastinya perut mula berkeroncong)
(setelah selesai solat asar serta mandi, barulah segar setelah dibelai oleh air terjun yang sejuk lagi nyaman)



8pm-11pm: Solat Maghrib, Sesi Taaruf, Kulaih Maghrib, Beradu.

3am: Bangun, Solat Tahhajjud, Bersiap untuk naik ke Puncak Nuang.

4am: Mendaki Puncak Nuang
6am: Berhenti di Kem Pacat untuk solat Subuh, meneruskan pendakian yang berkerunan antara 45 - 85 darjah.

10am: Allahuakbar! Berjaya sampai ke Puncak Gunung Nuang(bergambar berlatarbelakangkan mercu tanda puncak Gunung Nuang yang telah jadi mangsa vandalisme-yang pastinya bukan dilakukan oleh beruk-beruk dan binatang buas yang ada di Gunung Nuang. Saiapa ya yang lakukannya?. Pikirlah sendiri)(pemandangan dari puncak Gunung Nuang)


(flora dan fauna yang terdapat di Gunnung Nuang)










' Telah Allah jadikan langit dan bumi yang terbentang indah ini serta manusia sebagai Khalifah, maka nikmati dan tadbirlah amanah ini dengan baik'
Wallahualam.

Lama tak menulis (tak update blog)


Terlebih dahulu ingin saya saya ucapkan Assalamualikum serta salam Maalhijrah buat mak, abah, isteri tercinta, anak-anak Abi, adik-beradik serta semua rakan, sahabat, jiran, adik-adik dan sesiapa sahaja yang mengenali diri ini.


Ramai yang mengeluh dan memberi komen kerana saya sudah lama sangat tak update blog. Pelbagai alasan yang boleh diberikan. Alasan yang paling tersohor......sibuk. Kemudian diikuti tangga kedua.....memanfaatkan masa terluang dengan keluarga dan anak-anak. Apa pun saya adalah manusia yang tidak dapat lari untuk mencipta alasan hal untuk memenangkan diri serta nafsu.


Insyallah dengan pertukaran tahun 1431H ini menjadi semangat baru untuk saya mula menulis semula. Bukan untuk pembaca, tetapi sebagai peransang untuk 'upgrade' diri, keluarga dan anak-anak.


Dalam hal ini saya teringat akan peristiwa ketika saya berada di Tingkatan 5.


"Sazli!, sampai bila awak terus lemah dalam subjek sains?." Sapa cikgu Jefrey yang nerupakan cikgu subjek kimia, memecahkan lamunan saya yang sedang duduk di meja makmalnya.


"Ya, ya!, cikgu. Ah!, ini saja yang saya mampu cikgu." Jawab saya dengan sedikit gugup.


Lalu cikgu Jefrey terus naik atas pentas makmal lalu dengan nada kuat dan semangat dia berkata. "Dengar sini semua, kamu adalah diri kamu, 'if you think can or can't - its true for you'. 'OK' kelas tangguh."


Lama saya fikirkan kata-kata cikgu Jefrey. Alhamdulillah saya berjaya mengubah persepsi saya terhadap subjek-subjek sains dan seterusnya melayakkan saya menjejaki menara gading.


Dan kata-kata semangat inilah sekali lagi saya ambil untuk terus menulis, dan mohon doakan saya.


Wallahualam.

Monday, January 4, 2010

Tirai lama dihisab, Tirai baru dirapi


Diari Al Ansar 1

Sudah menjadi lumrah, setiap sesuatu akan bertukar ganti. Maka yang pergi dimunasabah kerana telah tahu dan dilalui manis, onak dan ranjaunya. Bagi menjadi pedoman menghadapi tahun kedepan yang belum pasti suratan dan siratannya. Yang pasti perancangan tetap diatur agar ada pedoman dalam perjalanan.

15 Muharam 1431H (bersamaan 31/12/2009) seluruh mualim/ah Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar (AlAnsar) bermesyuarah dan bermuhasabah. Mengatur strategi bagi perjalanan persekolahan 1431H (tahun 2010). Kesempunaan untuk mencapai lebih baik dari tahun sebelumnya adalah menjadi tunggak niat utama. Lebih-lebih lagi dari aspek memberi ilmu, mendidik serta mentarbiyah anak-anak didik. Agar mukimnya mereka di Al Ansar, memberi erti pada jiwa dan menjadi aset yang bernilai untuk ISLAM kelak.

Wallahualam.

DERHAKA (4)

............sambungan dari DERHAKA (3)


Anak-anak adalah hasil dari acuan yang dibentuk oleh ibubapa. Kerana anak-anak yang lahir tak mengerti apa-apa. Kecuali dengan kebiasaan, asuhan dan didikan awal dari ibubapa. Jika kebiasaannya tv maka ’cartoon’lah jadinya, siti nuhaliza lah gayanya, spongebob lah sikapnya, malaysian idol lah idolanya. Apabila remaja pula black metal, pengkid, skinhead, rempit dan bermacam lagi menjadi ikutan cara hidup mereka.

Inilah kesan dari PENDERHAKAAN ibubapa terhadap anak-anak (seperti yang ditulis dari tajuk terdahulu, DERHAKA 1, 2 dan 3). Akhirnya Allah tunjuk serta hamparkan kepada keduanya. Hancurlah hati berkecailah jiwa. Namun tiada apa yang mampu terucap dengan kata-kata maupun kalam untuk berbicara. Zuriat yang disayangi, keganasannya sukar untuk ditangani. Hanya diiringi tangisan air mata ibubapa yang terlebih dahului MENDERHAKAi.

Sejurusnya perlu diingat, Allah itu mampu mengatasi segalanya. Sekiranya Allah ingin sesuatunya terjadi maka ia terjadi (sepertimana disebut dalam ayat kedua terakhir surah Yasin). Muslim turut mempunyai senjata mukmin untuk berdoa.

Pasti apa yang lebih penting sebelum itu HENTIKAN PENDERHAKAN !.

Bertaubat dan beristighfarlah; atas kesalahan dan ketelanjuran zaman jahiliah. Dengan bulat untuk tutup terus dari sanggar kehidupan. Insyallah! yakinlah Allah mendengar rintihan dan rayuan.


Wallahualam..........

[ dari pengalaman SA (sazli ansari) mengendalikan Maahad Tarbiyah Islamiyah Al-Ansar. Terdapat 5% pelajar yang datang ialah pelajar bermasalah. Tetapi alhamdulillah lebih kurang 14 hari hampir 360darjah mereka mampu berubah. Tetapi perubahan ini sukar diikut oleh ibubapa yang masih seronok dengan CANDU Penderhakaan]

DERHAKA (3)

..................bersambung dari DERHAKA (2)

Diteruskan lagi dengan mengimbas pula pergaulan antara suami isteri, sumber pendapatan, didikan terhadap anak-anak serta contoh dan tauladan.
Dua perkara (pergaulan suami isteri dan sumber pendapatan) ramai yang jelas bahawa ianya perlu mengikut proses yang telus dan ikhlas kearah meraih keredhaan Allah. Kerana pergaulan suami isteri adalah acara yang memenuhi kehendak fitrah manusia terutama menjurus usaha awal dalam penghasilan zuriat. Maka ianya perlu diselubungi dengan zikir dan munajat. Manakala pendapatan ialah sumber zahir yang digunakan untuk memberi makan pada zuriat dimana seterusnya membentuk darah dan daging.

Berikutnya didikan serta tauladan perlu mengikut garis panduan Islam tanpa celupan atau topengan. Celupan pada didikan, topengan pada tauladan.

Ketika anak masih kecil kita limpahkan dengan didikan mengaji Al-Quran, Feqah, Akhlak dan sebagainya. Hantar ke sekolah khas untuk itu yang dikenali sebagai Kafa. Malangnya apabila anak sampai ke rumah mereka dihidangkan dengan television (tv) yang 90% mengkhabarkan kemungkaran, kemunafikan, kebathilan berbanding kebaikkan.
Bukankah ini CELUPAN namanya. [celup kebaikkkan sebentar di Kafa kemudian celup kemungkaran dengan tv di rumah]
Apabila anak meningkat remaja hilang paksaan untuk mengaji Al-Quran. Apatah lagi jika sudah khatam. Mashaf hanya menjadi hiasan bukan pedoman. Tidak terfikir untuk medekatkan anak untuk mendalami terjemahan serta tafsir Al-Quran. ” Ini hanya untuk orang yang nak jadi ustaz atau hafiz sahaja” katanya.
Kalau beginilah CELUPAN ilmu Al-Quran yang dilakukan, sesungguhnya ianya adalah pengkhianatan dan penderhakan terhadap zuriat yang dilahirkan. Tidak hairanlah anak gagal menjadikan Al-Quran sebagai rujukan Cara Hidup; tetapi hanya sekadar dendangan sumbang (yang tunggang langgang makhraj dan tajwidnya) ketika mata ibubapanya nak tertutup.


Setiap perkataan, suruhan, arahan, halangan ibubapa pada anak boleh dikatakan semuanya menuju kepada objektif kebaikkan dan kesempurnaan. Tetapi adakah perkataan kebaikkan yang ibubapa keluarkan sama seperti ketika dengan rakan sepejabat atau taulan. Adakah suruhan, arahan dan halangan yang menjurus kepada kebaikkan itu menyetujui perbuatan serta tingkahlaku ibubapa seharian. Iaitu pendek kata ’cakap serupa bikin’.
Elakkanlah Tauladan hanya menjadi TOPENGAN, lakonan atau lebih tepat lagi sebagai pembohongan dihadapan anak-anak.
sekiranya begitulah keadaannya ibubapa maka terimalah bahawa ibubapa terlebih dahulu adalah pengasas terhadap PENDERHAKAAN.


bersambung.................

DERHAKA (2)

............................bersambung dari DERHAKA (1)

Oleh yang demikian adalah penting bagi seseorang yang beristikharah berpegang teguh atas petunjuk Allah.


aaahaaaaa.........selepas kedua-dua pihak dah terima, apa pulak ceritanya.

Adat 1: Mula bertunang
Upacara bertunang macam keluarga orang senang-lenang. Apa yang lebih penting dalam proses bertunang. Bawa keluar, pergi mari dengan anak dara orang cukup main senang. Tak kira pagi, petang, siang atau malam. Bantai sama saja tak ada ’rules’ atau peraturan. Lupa pesan Rasulullah ’La takrabu zina’ (jangan mendekati zina). [Rasulullah tak sebut jangan berzina, sebab bila dah berlaku zina tak boleh buat apa; tetapi mendekati apa jua bentuk perkara yang mendekatkan dengan zina adalah lebih utama dilarang]. Keluar ’dating’ konon. Tengok wayang, duduk ditaman, makan malam berdua bersama.

Adat 2: Upacara Perkahwinan
Upacara punya sakan. Bergolok bergadai hinggakan pinjam meminjam. Alasan ’ Kahwin seumur hidup sekali’. Hai! ini apa nak jadi. Bersanding, menepung tawar, mandi bunga, karaoke dan sesetengah tempat berjoget lambak serta macam-macam lagi. Ditambah lagi dengan percampuran antara lelaki dan perempuan, dara dan bujang.
Tidakkah terfikir upacara perkahwinan ini adalah ibadat, bukannya adat. Perlu dilaksanakan pernuh terhormat untuk mendapat berkat. Bukan tujuan utama untuk bersuka ria tetapi bagi mendapat redhaNya. Hal ini belum disentuh lagi mengenai keadilan wali dan juga saksi-saksi.

Cukup untuk dirumus Adat 1 dan Adat 2. Inilah penderhakaan yang diwarisi terun-temurun. Kononnya warisan nenek moyang. Perlu dikekalkan untuk menjaga seni agar tidak lopang. Sedarkah bahawa inilah salah satu dari fahaman sonsang. Sonsang dari segi kepercayaan, perlakuan waimah amalan.

Dari segi syara’ proses diatas disebut sebagai Baitul Muslim. Diibaratkan sepertimana mendirikan Masjid. Malahan peningkatan martabat muslim kearah mukmin. Iaitu urusan dijalankan atas keimanan kepada Allah. Samada pertunangan, pernikahan, hantaran serta perkahwinan. Semuanya dibenarkan atas landasan ketakwaan. Malang bagi sesiapa yang tidak dapat melihat ini sebagai kehalusan serta kecantikan Islam. Cantik dan halus sebagai menghentikan penderhakaan jahiliah yang dituruti sejak zaman mula lagi; terhadap zuriat yang bakal bergenerasi.

Mungkin ini semua ramai yang pandang remeh. Waimah ada yang kata ” Tak apa! nanti kita taubat lah”. Sedari dan fahamilah. Ini bukan masalah taubat. Tapi pengekalan warisan penderhakaan dari generasi ke generasi. Adakah kita terus sanggup meneruskan penderhakaan ini. Kerana perlu diingat pederhakaan yang terbesar ialah pederhakaan terhadap Allah.

Penderhakaan inilah zuriat kita menjadi rosak, punah-ranah. Allah bukakan segala permasalahannya sekarang. Akibat dari tiada keberkatan dalam mencari pasangan. Tiada keberkatan dalam pertunangan. Tiada keberkatan dalam upacara perkahwinan.

Mana mungkin proses yang tak mengikut syariat bisa menghasilkan zuriat yang taat serta patuh pada Allah tuhan yang memiliki serta menguasai alam sejagat.

bersambung.................

DERHAKA (1)


alaaaaaaahaii….macam cerita melayu lama pulak..tapi itulah hakikatnya. Bukan kisah Hang Jebat sahaja yang dikatakan derhaka pada Sultan. Namun Nizar pun dikatakan buat benda yang sama. Dengan cara yang lebih terhormat sebagai kata ‘Sembah Derhaka’. Mungkin inilah agaknya yang Hang Jebat nak sebut. Tapi masa tu mungkin tak terfikir lagi agaknya.
Kalau disebut derhaka pada masyarakat Melayu, ramai yang rujuk pada raja atau ibu. Begitulah berlakunya pada Si Tanggang derhaka pada ibunya sehingga dengan takdir mengikut ceritanya bertukar mejadi batu.
Alkisah begitulah mengenai derhaka; dikatakan,
rakyat derhaka pada raja………………..
anak derhaka pada ibu atau bapa……….

Mari kita lihat secara ’ reverse physicology’. Mungkinkah pihak yang dikatakan perlu dihormati terlebih dahulu derhaka pada pihak bawahnya.

Dalam kes Sultan Melaka (rujukan dari filem Melayu). Hang Jebat menderhaka setelah mana Sultan sendiri terlebih dahulu bertindak tanpa usul periksa. Menyebabkan Jebat ’derhaka’ menuntut bela. Pembelaan keadilan mengikut justifikasi Jebat.

Bukan untuk diperdebatkan soal Sultan dan Jebat. Sekadar penjanaan minda pada topik. Boleh atau tidak kita terima Sultan Melaka pada masa itu terlebih dahulu derhaka pada rakyatnya sebelum Jebat bertindak. Dalam kata lain Jebat yang merupakan hulubalang Melaka serta dilantik sebagai Laksamana Melaka mengganti Hang Tuah pada masa itu. Yang sememangnya telah lama taat dan patuh terhadap sultan. Tidak akan menderhaka kepada sultan sekiranya sultan terlebih dahulu memulakan persengketaan.

...............Itu halnya, bagaimana yang dikatakan ’hamba rakyat’ pada masa itu menderhaka kepada rajanya.

Bagaimana pula jika kita suluh pada institusi keluarga. Selalu diperkata anak derhaka kepada ibubapa. Anak berkata kasar, mengherdik malah sehingga ada yang menendang, mehinjak serta membunuh ibubapa mereka.
Persoalan yang dilontarkan, sebelum anak ini wujud ke atas muka bumi Allah ini. Siapakah penyebab kehadiran mereka. Bukankah bapa dan ibu.
Jika diselak kembali, perlakuan serta pengibadahan ibubapa ketika zaman bujang mereka menjurus kepada pembentukan anak yang soleh.....atau.. Sekiranya tidak!. Sudah atau belum ibubapa menginsafi perkara yang telah berlalu ini.
Dalam proses mencari suri pula; adakah si bapa pernah terfikir bakal zuriat yang bakal lahir. Atau ukuran hanya pada paras rupa, kaya, pangkat, manja atauuuuuu seksinya. Begitu juga pada si ibu. Cukupkah si ibu memilih jejaka teman hidupnya hanya sekadar handsome, macho, berjawatan, berkedudukan, bekereta besar atau hanya sebab cinta semata-mata. Tidakkah dalam hal ini Allah didahululakan. Bermunajat- beristikharah mohon petunjuk dari Allah. Malangnya ada yang ’sangkut’ melalui proses ini. Buat istikharah, tetapi seperti nak mengajar Allah. Sudah ada pilihan hati, hasil dari cinta yang bersemi. Cara istikharah seperti kita nak kata pada Allah ” Ya Allah aku amat cinta pada mamat atau minah ini, maka jodohkanlah kami”.
Tujuan apa kita beristikharah?. Untuk mendapat pedoman dan petunjuk yang terbaik dari Allah bukan. Tidak sama sekali untuk mengajar Allah untuk menerima pilihan yang sudah sedia ada. Oleh yang demikian, sebaiknya serah secara bulat pada Allah Yang Maha Arif lagi Mengetahui. Kosongkan minda kosongkan hati. ” Tiada siapa yang bertakhta dihati, aku serahkan kepada Mu jodoh ini”.
Namun kedegilan mengatasi segalanya. Allah tunjukkan kita Dolah atau Piah. Tetapi disebabkan kita telah lama bermadu kasih dengan Mamat atau Minah. Maka petunjuk Allah kita buat tak kisah.

’Kita perlu ingat Siapa kita dan Siapa Allah’, ’Siapa kita untuk menidakkan petunjuk (jawapan) dari Allah selepas kita terhegeh-hegeh memohon pertolongan pertunjuk dariNya’


bersambung.................