Blog Rasmi Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar (MTIAA)

KEDAI Buku Online Anda

Saudara-saudari juga dijemput untuk ke kedai buku DAMAI BOOK CAFE [sila klik]
*************************************************************************************************

WANG di hujung JARI anda!!!!!!!!!

Wednesday, January 25, 2012

Buat anak-anak (pelajar) yang ku sayangi!

Kebodohan itu hanyalah ilusi, sebenarnya ALLAH menciptakan KEBIJAKSANAAN yang berbeza untuk setiap Manusia.

Maka berusahalah!!!!!

Monday, December 5, 2011

Anak : Penyejuk hati atau Cabaran

Temuduga pelajar untuk kemasukan 1433H, alhamdulillah telah pun berjalan dengan lancar semalam (8 Muharam 1433H/4 Dec 2011). Pelbagai latar belakang pelajar dan ibubapa yang hadir.

Namun semuanya hampir mempunyai tujuan yang serupa. Ingin mendapatkan didikan Islam yang sempurna. Baik ibubapa mahupun anak. Nampak kejernihan ketulusan menggelombangkan arus perubahan dalam diri dan keluarga.

Saya sebagai salah seorang penemuduga berasa amat kerdil perkara ini. Doakan saya dan sahabat-sahabat mampu untuk istiqamah dalam menyusuri serta mengharungi jalan dakwah ini.

TAHNIAH semuanya, semoga Allah memberkati kalian!







Monday, June 20, 2011

JAMPI ANAKku







Sempena Sambutan Hari Murabbi peringkat Maahad aku nukilkan sajak ini untuk anak-anak didik ku

Bismillahirrahmanirrahim

Hai anakku aku tahukan asalmu

Lahir bersama fitrah kebaikkan, kecemerlangan

Punya keimanan punya ketuhanan

Punya akhlak punya keagungan

Punya kejayaan punya kegemilangan


Hai anakku aku tahukan asalmu

Akar jiwamu memegang darahku

Batang hatimu menjadi tubuhku

Daun aqalmu melitup zat dan sifatku,

anakku jangan mengubah rupa

Anakku jangan meleka sambil melewa

Biarlah utuh diujian sepanjang masa


Hai anakku,

Seribu lupa selaksa sedar

Tawarlah segala yang lupa

Dari hikmatan kebendaan dan kepuraan

Dari hikmatan peniruan dan kesesatan

Tawar sekali dari bisa onar dan kemusnahan,

Jika bisa pada jiwa tawar pada hati

Bisa pada aqal tawar pada aqal

Tawarlah pada segala wujud keperibadian kita

Pulang pulih seperti keadaan asalmu

Hai anakku aku tahukan asal usulmu

Jatuh di segala ceruk rantau alam ini

Jatuh di utara jatuh di selatan

Jatuh di timur jatuh di barat,

Janganlah pula duduk tunggu, jaga mengilas siku.

Hai anakku,

Aku mintamu pindah balik segala kekuatan

Segala kebaikkan, segala kebenaran

Segala keagungan dan segala-galanya

Memulia dan meneruskan kegemilangan

Memulia dan meneruskan kegemilangan

Biarlah utuh diuji zaman-berzaman

Itulah asalmu tapakmu bersenang

Masa kini dan akan datang,

Masa kini seterusnya ke akhirat mu,

Aku hendak minta kepadamu

Pulang pulih seperti keadaan asal

Sebab, belum cukup, belum genap, belum sampai ajal

Bukan kuasa aku tp dengan kuasa AllahBerkat kita kata: Lailaha illallah Muhammadar Rasulullah

TAKBIR!



sazli ansari 18 Rejab 1342H/20 Jun 2011

Saturday, June 18, 2011

BERGESALAH!

Dilema ibu bapa, itulah perkara yang sering saya telekuni. Pelbagai lontaran ibu bapa mengenai anak, samada secara telifon, berjumpa empat mata atau email. Terbaru email ini (seperti gambar)
memasuki 'inbox' saya.
Rata-rata ibu bapa gelisah dengan perkembangan anak terutama apabila meningkat remaja. Antara kalam yang biasa saya dengar ialah

" Ustaz, anak saya ini dahulunya baik dan rajin ke surau. Tapi sekarang sejak dia berkawan. Cakap saya pun dia lawan ustaz."

"Ustaz, saya tak tahu dah nak buat apa dah anak saya ni. Nasihat sudah, rotan pun sudah. Tapi semuanya sia-sia ustaz."

dan paling mengementarkan hati saya dan sesekali menyebabkan saya tersenyum menekuni gelagat sebilangan ibu bapa yang menghamburkan ayat ini; " Ustaz, tolonglah saya ustaz. Buatlah apa saja agar anak saya ni jadi baik ustaz!."

Inilah antara lontaran-lontaran yang keluar akibat dari kerisauan yang sangat. Namun kerisauan ini timbul setelah zuriat itu telah dibentuk, dicorak dan diwarnai selama 13 tahun, 14, 16 tahun, 17 tahun sehinggalah ada yang sudah mencapai umur hampir 20 tahun sejak kelahiran.

Kenapa saya sebut begini?

Wahai rakan ibu bapa, mari kita lihat contoh ini. Seseorang yang sakit, stroke, kencing manis, kanser, darah tinggi malahan obesiti. Adakah disebabkan makanan yang mereka makan semalam atau 1 minggu lepas atau 1 bulan lepas atau 1 tahun lepas. Jawapannya saya yakin semua rakan ibu bapa bersetuju dengan saya 'TIDAK'. Atas dasar inilah saya letakkan ayat di atas 'sejak kelahiran'.

Wahai rakan suami isteri, ibu bapa, mari kita bertanya sebentar pada diri kita.

- Bagaimana akhlak kita ketika bergaul bersama isteri atau isteri kita
- Apakah sinetron yang ditonton oleh ibu dan bapa apabila sampai saja di rumah setelah letih seharian bekerja yang pada ketika yang sama si ibu sarat mengandung.
- Apakah hidangan telinga dan mata anak kita ketika pembesaran mereka dari bayi hingga kanak-kanak.
- Apakah lafaz ungkapan kita ketika kita menghadapi kenakalan anak-anak.

Ohhhhhhhh! pelabagai sudut rakan ibu bapa yang perlu kita sesuluri. Ini belum lagi kita bicarakan sikap dan akhlak kita ketika zaman bujang, cara pemilihan calon isteri atau suami. Zikir harian yang samada zikir keduniaan atau zikrullah.

Ya! sememangnya ini semua telah lepas dan berlalu serta anak pun sudah besar. Kenapa perlu digali semula perkara ini. Fahamilah, ia bukan untuk digali tapi perlu dimuhasabahi.
Jika penyakit kritikal pada hari ini disebabkan oleh krisis gaya hidup dan gizi (makanan) sejak puluhan tahun yang lepas. Samalah dalam perkara ini. Anak ini telah mengalami krisis akidah dan keimanan yang seterusnya memberi menimbulkan krisis akhlak selama belasan dan puluhan tahun.
Maka sudah pasti untuk mengubatinya perlu mengambil masa yang memerlukan kesabaran serta berkekalan iaitu istiqamah.

Pernah suatu ketika seorang bapa bertanya, "Berapa lama agaknya ustaz ambil masa untuk anak saya pulih semula akhlaknya". Saya hanya tersenyum. Belum sempat lidah saya menari menyambungi perbualan. Seorang rakan lain mencelah "Masa anak kau tengah baik dulu, anak-anak kau yang pandai-pandai, kau tak nak hantar sekolah agama. Bila dah teruk macam ni baru kau nak hantar sini. Apa kau ingat sekolah agama ni tempat buangan, pusat pemulihan".

Saya sendiri tak sangka bahawa ayat ini keluar dari rakan yang menemani bapa tersebut. Namun inilah realiti sikap kita. Kita mengalami krisis keimanan. Hingga membutakan kita memberi aula (keutamaan) terhadap nilai kehidupan serta nilai Rabbani. Kita menyusuri hidup serta membentuk anak dengan SAYANG AKHIRAT CINTA DUNIA. Buktinya dalam pergaulan saya, saya kerap mendengar kata-kata ini.

"Anak saya tadika di S...........R........., walaupun gurunya bukan Islam tapi puas hati. Anak saya kecil-kecil lagi dah fasih bahasa Inggeris".

"Tahun satu nanti saya akan masukkan anak saya di SRJKC. Saya lihat anak jiran tu mahir berbahasa cina".

Berikutan, 10 tahun lagi (dari pengalaman) saya gusar. Ibu bapa yang sama datang berjumpa pemilik institusi seperti saya ini lalu dengan nada pasrah mengatur kata "Ustaz, anak saya ini pandai ustaz, bijak ustaz, fasih berbahasa inggeris dan madarin ustaz. Tapi lagi fasih dia melawan nasihat saya ustaz".

Maka rakan ibu bapa. Marilah kita dalam menyusuri kehidupan ini CINTAILAH AKHIRAT SYUKURILAH DUNIA. Kita berhabisan duit, tenaga untuk anak kita ke arah dunia. Mungkin anak kita akan selesa hidup di atas muka bumi ini 20 tahun atau 30 tahun sebelum menemui ajal.

Ingatlah ibu bapa sekalian. Bagaimana kehidupan yang bakal mereka tempuh pada kehidupan yang tiada tempoh tahunnya. Yang lebih panjang dari 30 tahun, 30 000 tahun, 30 000 000 tahun, 30 000 000 000 tahun.

Kita boleh berkorban RM 30 000 untuk anak kita sejahtera kehidupan 30 tahun di dunia. Kita mampu berusaha 30 kali ganda untuk anak kita berjaya kehidupannya 30 tahun di dunia. Kita gagah berkorban 30 kali pengorbanan untuk anak kita 'bahagia' kehidupannya 30 tahun di dunia. Namun untuk AKHIRAT?????????????????

Ada yang melahirkan hasrat ini kepada saya (seperti email di atas). "Kami bukan tak mahu hantar ke sekolah Maahad, tapi prasarana, makanan, tempat tidurnya amat tidak selesa. Kesian ustaz budak-budak ni".

Timbal saya sangat mudah, tapi memerlukan renungan yang teliti dan mendalam.
Pernahkah kita terfikir Muhammad kekasih Allah s.w.t. itu kenapa Allah letakkannya dari kecil hidup dalam kesederhanaan. Yatim dalam pelukan dan kasih sayang bapa. Sekelumit dalam kasih ibu. Mengembala meniti pentas hidup. Berdagang mengetuki pintu rezeki.
Mengapa Allah tak lahirkan saja Rasulullah dari keluarga Hartawan. Yang boleh membawa Rasulullah itu berjawatan. Yang tak perlu menuntut Rasulullah tidur pada lambungan yang keras, mengikat perut pada kebanyakkan hari. Bahkan selesuri inilah ranjau kehidupan manusia AGUNG KEKASIH ALLAH S.W.T.


Selagi kita diberikan ROH anak kita masih bernyawa, kita masih ada masa BERGESALAH, jangan lewatinya.


Wallahualam!




























Thursday, April 14, 2011

Kembara Tarbiyah

الله اكبر الله اكبر الله اكبر

Ya Allah yang memiliki Kebesaran, bantulah Kembara Tarbiyah ku ini.

Aku mulakan langkah kembara tarbiyah. Membuka hati seluasnya untuk menimba ilmu dan pengalaman sahabat seperjuangan. Dalam ruang lingkup mentarbiyah serta menghisabi diri. Moga denganya juga Allah beri akan diri ini kekuatan untuk mentarbiyah institusi serta anak-anak didik ku yang merupakan amanah dariNYA.

Tarikh bertolak : Jamadil Awal 1432H
Laluan : Dengkil - Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar - Sabak Bernam - Sitiawan - Parit Buntar -Nibong Tebal - Juru - Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang


Wallahualam

Wednesday, November 17, 2010

الله اكبر الله اكبر الله اكبر

Ramadhan datang dengan membawa pentarbiyahan selama sebulan. Sebagai madrasah pendidikan rohani melalui sedikit kekangan jasmani. Disusuli Syawal dengan meraikan kemenangan Syawal hanya sehari.

Kemudian datang Zulkaedah, sebagai medan mengaplikasi tarbiyah Ramadhan. Kemeriahan terhadap pentarbiyahan dari Allah s.w.t diteruskan. Manusia seluruh dunia mula bersedia dan berpusu ke Tanah Haram. Bagi menjadi tetamu Allah. Melaksanakan rukun Islam yang ke lima. Dengan penuh keabdian dan keinsafan. Menuju ke jalan fitrah. Seperti semula dilahirkan. Tanpa dosa dan noda.

Kemuncak Ibadah Haji, ialah wukuf di Arafah. Pada hari yang sama 9 Zulhijjah, di satu tempat, satu masa; seluruhnya berkumpul. Menadah tangan, bertafakur. Memohon keampunan dari Rabbul Jalil. Allah s.w.t turun ke langit dunia merahmati hambaNya yang benar merintih. Bukan sahaja untuk hambaNya di Arafah, malahan di setiap pelusuk muka bumi ini.

Berikutnya kedatangan 10 Zulhijjah. Manusia meraikan kemenangan. Bertakbir, bersolat serta ditafsirkan kemenagan ini dalam istilah pengorbanan. Pengorbanan dengan menumpahkan darah binatang an'am (ternakan).

Sebagai yang tersuratnya adalah penyembelihan binatang. Namun sesungguhnya kehidupan memerlukan pengorbanan. Yang kaitannya membawa kepada kecintaan. Kasih kepada makhluk memerlukan pengorbanan. Lebih-lebih lagi KECINTAAN kepada ALLAH S.W.T.
Kecintaan yang ikhlas tanpa persoalkan hasil atau dapatannya.


الله اكبر الله اكبر الله اكبر

Didikan pengorbanan dan kecintaan kepada MAHA PENCIPTA inilah yang perlu dihadamkan
kepada anak. Agar penyembelihan dengan menumpahkan darah binatang an'am ini tidak hanya dipandang sebagai pesta menyembelih, makan dan daging sahaja. Tetapi KECINTAAN sebenar tanpa paksaan, tanpa interest.

الله اكبر الله اكبر الله اكبر


Wallahualam!
















* Gambar:
1. Lembu-lembu dan kambing yang bakal di korbankan di Maahad Al Ansar
2. Pelajar-pelajar Maahad Al Ansar bergotong royong menyediakan ketupat dan lemang untuk juadah di pagi Raya Eidul Adha (pelajar maahad tidak bercuti semasa Eidul Adha..........malahan seronok menyambutnya di Maahad. Turut serta bekas-bekas pelajar Maahad)


Monday, November 15, 2010

Doa Hari Arafah

Doa ini tidak hanya disunnahkan untuk dibaca oleh jemaah haji, tetapi juga oleh seluruh kaum muslimin pada hari Arafah, hari semua jemaah haji berkumpul di Padang Arafah simbol Padang Mahsyar. Berikut ini doanya:
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على محمد وآل محمد
Bismillâhir Rahmânir Rahîm
Allâhumma shalli ‘alâ Muhammad wa âli Muhammad

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Rasulullah dan keluarganya


اَللّهُمَّ يَا اَجْوَدَ مَنْ اَعْطى، وَيَا خَيْرَ مَنْ سُئِلَ، وَيَا اَرْحَمَ مَنِ اسْتُرْحِمَ اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَآلِهِ فِى الاَْوَّلِينَ، وَصَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَآلِهِ فِى الاْخِرِينَ. وَصَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَآلِهِ فِى الْمَلاَءِ الاَْعْلَى. وَصَلِّ عَلى مُحَمَّد وَآلِهِ فِى الْمُرْسَلينَ. اَللَّهُمَّ اَعْطِ مُحَمَّداً وَآلَهِ الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَالشَّرَفَ وَالرَّفْعَةَ وَالدَّرَجَةَ الْكَبِيرَةَ. اَللَّهُمَّ اِنِّى آمَنْتُ بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَلَمْ اَرَهُ فَلاَ تَحْرِمْنِى فِى الْقِيَامَةِ رُؤْيَتَهُ، وَارْزُقْـنِى صُحْبَتَهُ وَتَوَفَّنِى عَلَى مِلَّتِهِ، وَاسْقِنِى مِنْ حَوْضِهِ مَشْرَباً رَوِيّاً سَآئِغاً هَنِيئاً لاَ اَظْمَأُ بَعْدَهُ اَبَداً اِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَىْء قَدِيرٌ. اَللَّهُمَّ اِنّى آمَنْتُ بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَلَمْ اَرَهُ فَعَرَِّفْنِى فِى الْجِنَانِ وَجْهَهُ. اَللَّهُمَّ بَلِّغْ مُحَمَّداً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ مِنِّى تَحِيَّةً كَثِيْرَةً وَسَلاَماً

Allâhumma yâ Ajwada man a‘thâ, wa yâ khayra man suila, wa yâ Arhama manisturhima. Allâhumma shalli ‘alâ Muhammadin wa âlihi fil awwalîn. Wa shalli ‘alâ Muhammadin wa âlihi fil âkhirîn. Wa shalli ‘alâ Muhammadin wa âlihi fil malail a‘lâ. Wa shalli ‘alâ Muhammadin wa âlihi fil mursalîn.
Allâhumma a‘thi Muhammadan wa alahul wasîlata wal fadhîlata wasy syarafa warrif‘ata waddarajatal kabîrah.
Allâhumma innî âmantu bi-Muhammadin shallallâhu ‘alayhi wa âlihi, wa lam arahu falâ tahrimnî fil qiyâmati ru’yatahu, warzuqnî shuhbatahu, wa tawaffanî ‘alâ millatihi, wasqinî min hawdhihi masyraban rawiyyan sâighan hanîan lâ azhmau ba‘dahu Abadan, innaka ‘alâ kulli syay-in qadîr.
Allâhumma âmantu bi-Muhammadin shallallâhu ‘alayhi wa âlihi. Wa lam arahu fa‘arrifnî fil jinâni wajhahu. Allâhumma balligh Muhammadan shallallâhu ‘alayhi wa âlihi minnî tahiyyatan katsîratan wa salâmâ.

Ya Allah, wahai Yang Paling Dermawan dari semua yang memberi, wahai Yang Paling Baik dari semua yang dimintai, wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.

Ya Allah, sampaikan shalawat kepada Muhammad dan keluarganya yang terdahulu.
Sampaikan shalawat kepada Muhammad dan keluarganya yang belakangan. Sampaikan shalawat kepada Muhammad dan keluarganya yang berada dalam kafilah para malaikat. Sampaikan shalawat kepada Muhammad dan keluarganya yang berada dalam kafilah para Rasul. Ya Allah, karuniakan kepada Muhammad dan keluarganya: wasilah, keutamaan, kemuliaan dan derajat yang agung.

Ya Allah, sungguh aku mempercayai Muhammad saw, dan aku belum pernah melihatnya. Maka, jangan halangi aku untuk melihatnya pada hari kiamat. Anugerahkan padaku kedekatan dengannya. Matikan aku dalam agamanya. Berilah daku minuman dari telaganya minuman yang segar yang tak ada lagi dahaga selamanya sesudahnya. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ya Allah, sungguh aku mempercayai Muhammad saw, dan aku belum pernah melihatnya,
maka perkenalkan padaku wajahnya di surga.
Ya Allah, sampaikan salamku yang tak terhingga kepada Muhammad dan keluarganya.
Mafâtihul Jinân: bab 2, pasal 5)

Wednesday, July 21, 2010

Jenis Kereta Mengikut Peringkat Umur

Peringkat 1 (4 bulan hingga 9 bulan - mengikut kesesuaian)



baby walker


Peringkat 2 (9 bulan hingga 3 tahun mengikut jumlah pengisian )kereta tolak (stroller)

Peringkat 3 (3 tahun hingga 7 tahun mengikut kehendak)kereta mainan


Peringkat 4 (7 tahun
hingga 12 tahun mengikut kemahuan)


kereta kontrol biasa-biasa aje



Peringkat 5 (12 tahun hingga 19 tahun mengikut kemampuan)


kereta kontrol berjenama


Peringkat 6 ( 19 tahun hingga 50 tahun mengikut ketebalan poket)


kereta mini...kereta sport...MPV. ,SUV..sedan



Peringkat 7 (50 tahun ke atas mengikut keperluan)


kereta berkerusi roda


Peringkat akhir.....apabila tiba masanya


kereta jenazah

Saturday, May 22, 2010

Murabbi cinta ILAHI

[Allahyarham Ustaz Zakaria Al Ansari - Pengasas Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar & Perkampungan Al Ansar]

{saya menulis post ini ketika hari guru yang baru saja berlalu bulan lepas. Walaupun agak tertinggal dari segi tarikh......namun saya berkeyakinan isi yang ingin saya kongsi terus terpakai. Atas dasar itu saya tetap publishkanya...........Wallahualam}

Sambutan Hari Guru mula hangat disambut disegenap pelusuk dunia. Begitu juga negara kita Malaysia. Sambutan tahunan yang hampir menjadi kemestian samada diperingkat kebangsaan, negeri, daerah seterusnya menyelusuk ke sekolah-sekolah mahupun prasekolah.

Sekolah di negara kita terus bertambah sejajar dengan murid yang menyebabkan peningkatan juga kepada pertambahan guru. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Semua ini semuanya berlaku adalah kerana memenuhi keperluan permintaan setanding dengan pertambahan pelajar di negara kita samada pedalaman, luar bandar mahupun di bandar.

Pada masa yang sama, berlaku kebanjiran lepasan ijazah yang bukan pekhususan bidang perguruan lulusan universiti dalam dan luar negara samada dalam bidang pengajian islam, sains, ekonomi dan sebagainya. Mereka menghadapi dilema dalam realiti persaingan alam perkerjaan. Cita-cita ketika berada di alam kampus terpaksa dipendam. Demi memenuhi keperluan kewangan setelah bergelar graduasi. Apatah lagi pabila gelaran 'penanam anggur' mula menyusuk rongga cuping pendengaran.

Maka bidang perguruan adalah bidang yang mempunyai pasaran terbesar. Samada dari pihak kerajaan iaitu dengan tawaran JQAF serta KPLI mahupun dari pihak swasta. Iaitu sejajar dengan pertambahan institusi pendidikan agama juga institusi pendidikan sekular yang diuruskan oleh pihak swasta.

Setelah ke timur - ke barat, utara ke selatan mencari peluang pekerjaan sesuai dengan bidang pengkhususan. Turun naik 'lift', berpeluh-peluh mendaki tangga-tangga pejabat dengan mengelek segala sijil menghadiri temuduga. Akhirnya pasrah; dengan profesionalisme yang ada. Bidang perguruan adalah alternatif terhidang.

Yang pasti, apapun situasinya. Samada terpaksa, pilihan setelah kecewa, pilihan sementara ataupun dari awal lagi sememangnya memilih dan meminati bidang perguruan ini. Guru perlu menjiwai tugasnya. Dan apa yang tersangat penting guru perlu menjadi Murabbi.

Iaitu MURABBI kearah CINTA ILAHI................sebagai agen yang membawa anak pelajar kepada ALLAH yang seterusnya membawa mereka kearah kefanaan CINTA padaNYA serta menagih cintaNYA; dalam apa keadaan atau mata pelajaran sekalipun.

Sebagai contoh, Murabbi/guru kemahiran hidup. Mungkin jika dipandang sekali imbas.......apalah yang boleh dikait dengan CINTA ILAHI. Namun jika diteliti, Allah memberi manusia akal..........di mana akal ini mampu berfikir bagi manusia meneruskan kelansungan hidup. Samada dalam bentuk pertukangan, pertanian, masakan atau pelbagai kemahiran lain yang mana berpontensi diperkembangkan pula sebagai perniagaan. Adakah ini tidak kita lihat sebagai kehebatan akal yang saiznya kurang dari 1/4 saiz badan?.

Ironi, guru yang diupgrade sebagai Murabbi perlu memandang lebih kehadapan. Kehadapan bukan setakat 2020 atau 2050; sehingga yaumul Qiamah. Tidak sekadar memandang kehebatan akal, tetapi memandang kehebatan PENCIPTA akal.

Pencipta akal memberi ilham pada akal mengambil manfaat dari hutan kayu, diproses serta ditukang untuk dijadikan perabot. Seterusnya menjana pendapatan dalam bentuk perniagaan.

Begitulah hebatnya akal manusia, maka semestinya lebih hebat lagi PENCIPTA akal............Dengan ini insyaAllah, anak pelajar akan dapat merasai CINTA ILAHI terhadapnya bahkan akan berusaha MENGASIHI PENCIPTA akalnya.

* Selamat Hari Guru........SELAMAT menjadi MURABBI CINTA ILAHI

Tuesday, April 20, 2010

don't give (our heart) to Syaitan


Sebaik sahaja 15 minit melabuhkan punggung di bilik Mudir, saya didatangi beberapa tetamu. Kemudian masuk pasangan suami isteri bersama anaknya.

"Assalamuaikum, ya encik, apa yang saya boleh bantu", sapa awal saya sambil bersalaman dengan si ayah.

"Ini bagaimana ceritanya anak saya ini ustaz. Bagaimana dia boleh bergaduh dan katanya sudah berulangkali berlaku" bentaknya dengan suara tegas.

"Ya!" saya membalas ringkas. Fikiran bingkas teringatkan laporan Muraqibah (warden) mengenai kes pelajar lari dari asrama atas alasan bergaduh.

Kemudian saya mengalih pandangan kepada pelajar tersebut yang turut hadir bersama ibubapanya. Dengan memandang tepat pada mukanya saya bertanya "apa yang berlaku ni sehingga lari dari asrama Zana?".

"Saya bergaduh ustaz."

"Ya, mesti ada sebabnya", saya sedikit mendesak untuk mengetahui pengakuan dari lidahnya sendiri.

Menyedari saya seperti inginkan penjelasan darinya, anak pelajar itu terus menyambung kalamnya. "Fari ustaz, kerap sangat dia berkasar dengan saya. Dan yang terbaru dia tarik tudung saya masa di kelas. Dia tuduh saya kunci kelas dia."

Mendengar penjelasan anaknya itu si bapa renta serta menyisipi penerangan anaknya. "Kenapa tak balas semula. Jangan biar orang lakukan sesuka hati pada kita."

Kemudian si bapa terus menyambung dengan suara yang lebih keras, "Dulu masa sekolah ayah ini tubuhnya kecil, kawan turut memandang rendah pada ayah. Tapi apabila ayah balas semula tindakan mereka. Mereka semua takut pada ayah".

"Ustaz, saya nak jumpa dengan budak yang bergaduh dengan anak saya tu!".

Saya tersenyum mendengar kata-kata si bapa. Sambil memikirkan adakah benar tindakan si bapa berkata begitu dihadapan anaknya. Adakah itu nasihat dan tauladan yang perlu dia tunjukkan.

Lantas saya menyela, "Maaf encik, saya menanamkan keyakinan bahawa semua pelajar yang datang ke sini ialah pelajar yang baik dan cerdik. Adapun yang nakal, bagi saya itu adalah sifat normal remaja yang perlu dilentur".

"Bukan tradisi kami di sini mengajar anak-anak (pelajar) bermusuhan antara satu sama lain. Jadi apa yang berlaku bagi saya ia adalah situasi normal remaja. Namun ia perlu dibaiki dan dibimbing". Saya terus menyambung kalam. Atas tujuan untuk memberitahu kepada si bapa bahawa anak-anak ini perlu ditauladani dengan sifat kerendahan hati.

Teringat saya akan satu kisah apabila saiyidina Abu Bakar dihujani kata-kata kesat oleh seorang lelaki. Apbila lelaki tersebut terus menhujani kata-kata kesat terhadap Abu Bakar buat kali ketiganya. Saiyidina Abu Bakar bangkit untuk membalas kata-kata lelaki itu. Lalu dilihatnya Rasulullah s.a.w bingkas bangun...................Maka Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah s.a.w, adakah Rasulullah s.a.w marah kepada tindakannya itu. Rasulullah s.a.w lantas memberitahu Abu Bakar bahawa ketika lelaki tersebut menghujani Abu Bakar dengan kata-kata kesat, dilihatnya malaikat turun dari langit bertindak terhadap kata-kata lelaki itu. Namun apabila Abu Bakar bangkit itu membalas kata-kata kesat itu, maka malaikat pun beredar dan syaitan mengambil tempat.
Jelaslah bahawa sifat kerendahan hati itu satu sifat yang amat mulia dan dipayungi malaikat. Sebaiknya kita perlu bertanya pada diri, samada kita ingin memuaskan hati kita serta menang dimata manusia atau.............dipandang hebat disisi Allah s.w.t.

"Beginilah encik, soal anak-anak ini akan saya selidiki dan selesaikan secepat dan sebaik mungkin. Namun kesalahan anak ini lari dari asrama tetap akan diambil tindakan. Kerana saya harap encik faham bahawa lari dari asrama walau dengan apa alasan sekalipun, ia tetap kesalahan yang melanggar disiplin Maahad.......................dan saya minta maaf kerana tidak sama sekali mengizinkan encik untuk bertemu dengan pelajar yang turut terlibat dalam pergaduhan ini". Saya berhenti seketika untuk mendapatkan reaksi si bapa.

Apabila melihat si bapa seperti akur saya terus menyambung, "Ini kerana apa sahaja urusan pelajar yang berlaku didalam kawasan Maahad, ia adalah tangungjawab kami. Dan saya harapkan kita dapat terus bekerjasama".

Raut wajah si bapa semakin reda. Dan saya bersyukur kerana dia meninggalkan bilik pejabat saya dengan tenang. Juga saya mengharapkan agar si bapa dapat mesej yang ingin saya sampaikan. Kerana anak-anak mudah mengikut apa yang di tauladani bukan apa yang disebut.

Kerendahan hati satu perkara yang mudah disebut tapi amat susah untuk diamal. Kerana ia berlawanan dengan nafsu. Kerana dengannya hadir sifat sabar serta redha yang membawa kepada tawadhuk dan seterusnya takwa (takut kepada Allah). Maka bersama kita berusaha untuk tidak sama sekali memberi hati kita kepada syaitan [don't give (our heart) to syaitan].


Wallahualam!

Wednesday, April 14, 2010

Bukan kerana gagal tapi SIKAP


"Assalamualaikum ustaz, saya puan Zana, emak Amin," panggilan telefon menyentak lamunan saya yang sedang berehat di rumah.

"Ya! apa yang mampu saya bantu puan?" balas saya ringkas.

"Begini ustaz; Amin anak lelaki tunggal saya. Saya beri penuh kasih-sayang padanya menyebabkan dia bebas dan terbiar dari bimbingan agama. Akademiknya juga lemah. Tapi alhamdulillah, setelah saya masukkan dia ke Ansar. Dia banyak berubah. Saya sangat berpuas hati dengan perubahan dan pencapaian akademiknya. Lebih-lebih lagi keputusannya SPM yang keluar baru ni memuaskan hati saya" jawap ibu tersebut dengan nada puas.

Belum sempat saya menyeletuk ibu itu terus menyambung percakapannya. "Bila saya berpuashati dengan perubahan Amin, saya masukkan pula adikknya Nuriah. Nuriah tak pernah belajar walaupun tadika ustaz. Tapi alhamdulillah ustaz, saya tetap berpuashati natijah yang berlaku pada Nuriah."

"Pada awalnya saya hanya mengharapkan anak-anak saya hanya cukup sekiranya mereka tahu solat dan hal-hal asas fardhu ain. Tapi ternyata mereka dapat lebih dari itu". Ibu itu melansungkan isi hatinya.
Selepas beberapa saat dia terus menyambung. "Kemudian tahun ini saya masukkan anak saudara saya pula ustaz....Amran. Situasi dia lebih teruk ustaz. Balik sahaja dari sekolah dia terus sahaja lempar beg dan nguyub entah kemana. Malam baru balik.....tapi sejak 4 bulan masukAnsar nampak dia sedikit berubah ustaz."

Saya terus menjadi pendengar setia tanpa menganggu luahannya.

"Semalam dia telefon sambil menangis-nangis ustaz. Dia kata malu sebab kena turun kelas. Dipindahkan ke kelas budak yang lebih muda dari dia. Minta ustaz usahakan sesuatu lah. Kesian dia ustaz. Dia memang kurang pandai sebelum ni lagi," lafaz puan Zana sedikit merayu.

Barulah satu dapat tangkap tujuan sebenar puan Zana. Hati kecil saya baru sahaja digeletek dengan cerita-cerita puan Zana tadi, "boleh 'tape' jadikan cerita testimoni ni!". Namun ada murad yang lebih khusus.
Masih teriang-iang ditelinga saya keputusan Majlis Syura Guru sebulan lepas. Sepakat semuanya bahawa setiap murid yang gagal akan diturunkan kelas. Kemudian telah ditekankan mengenai tindakan itu dalam mesyuarat PIBG. Terdahulu daripada itu juga telah diumumkan kepada semua murid semasa minggu orientasi Maahad.
Saya tersenyum sendiri. Terbayang wajah-wajah anak-anak didik yang didenda Sabtu lepas. Bermandi hujan bersama mereka sambil memerhatikan mereka mencabut rumput di Dataran Al-Ansar (padang perhimpunan Maahad). Simbahan yang selama sejam itu masih lagi dirasakan.

"Sebenarnya puan, anak ini bukan sahaja di turunkan kelas malah mereka telah didenda mencabut rumput dalam hujan pada Sabtu lepas. Saya juga turut mandi hujan bersama". Saya berhenti seketika menunggu respon ibu tersebut.

Sedari dia sedang mendengar dengan tenang saya terus menyambung. "Apa yang kami lakukan ini bukanlah kerana markah gagal tetapi adalah penderaan pada sikap yang menyebabkan gagal".
"Kerana apa yang kami perhatikan sesetengah pelajar megembil enteng dengan peperiksaan baru-baru ini. Lansung tidak terpanggil dengan suasana 'study' yang disemarakkan oleh guru-guru......... jadi kalau benar Amran telefon nangis-nangis tu, petanda baiklah puan", usik saya dengan nada sikit ceria.

"Ya ustaz, kenapa", ibu itu seperti konfius.

"Ertinya puan sudah ada kesedaran dihatinya. Hanya tinggal untuk diarahkan sahaja", terang saya dengan nada yakin.

"Jadi sekiranya selepas ini dia telefon nangis-nangis lagi, puan katakan sahaja.......ini adalah cabaran untuk dia...........yakinlah puan kami sedaya upaya merancang serta melaksanakan yang terbaik untuk anak-anak disini. Kerana kami yakin tiada seorang pun anak-anak yang masuk di sini yang dikurniakan oleh Allah bersamanya kebodohan. Semua ini bergantung pada sikap mereka. Dan sikap inilah yang kami berusaha untuk ubah", saya menerang tanpa waham.

"Puan doakan sahaja dia sentiasa, insyaallah dia berjaya".





Wallahualam!

Tuesday, April 13, 2010

41 tahun....terus BAHAGIA



"Abi, telefon Abi bunyi," khabar anakku Muhammad Muzakkir dengan nada yang sedikit nyaring.
Dalam kekalutan saya dan isteri menyiapkan keperluan anak-anak untuk ke sekolah itu, saya termangu sambil hati berkata, "'reminder apa ya pagi-pagi ni?"; "oh! ya, ulangtahun perkahwinan ke 41 mak dan abah rupanya".

MasyaAllah, 41 tahun umur perkahwinan kedua orang tua ku. Peringkat umur yang cukup mantap.

Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir. (arRum ayat 21)

Semestinya dengan umur perkahwinan sematang ini pelbagai manis, indah serta ranjau dan cabaran rumahtangga ditempuhi. Yang pasti mereka berjaya menempuhi serta mengharungnya bersama. Bukan sahaja itu malah berjaya membesar serta memberi didikan terhadap kami adik-beradik.

Walaupun abah yang berjawatan sebagai pemandu bas Maktab Perguruan, manakala emak pula suri rumah. Mereka tetap gigih menyusuri kehidupan bersama kami adik-beradik. Saya sendiri menjadi saksi pada kegigihan abah. Paginya bekerja, kemudian bermula dari petang hingga ke malam melewati segenap pasar malam menjual jambu potong. Waktu-waktu lapangnya juga tidak disia-siakan. Pantai yang berhampiran dengan rumah menjadi tempat abah 'beriadah'. Kekadang sehingga ke subuh baru abah pulang ke rumah. Menjala ikan atau melanggai udang. Hasil riadahnya kami ducurahi dengan belanak, sembilang dan sesekali gemang serta udang yang segar kemerahan. Bukan sahaja menjadi lauk kami anak-beranak, turut juga dijaja pada jiran sekitar.
Tidak kurang hebatnya juga emak. Tugas rumahtangga tidak dijadikan alasan untuk enggan membantu ekonomi keluarga. Seawal 4pagi emak bangun untuk menyiapkan nasi lemak untuk abah letakkan di kantin Maktab. Kemudian pada hari-hari tertentu emak berniaga perlbagai juadah kuih-muih, ketupat, nasi lemak, bihun di pasar malam dan pasar tani. Di sini promosi bermula. Masyarakat mula kenal keenakan kuih-muih air tangan emak. Tempahan mula menyimbah tidak mengira masa. Terutamanya kuih tradisional yang orang malas nak buat atau biasanya mereka hanya menggunakan oven. Kuih bakar lemak manis, berlauk dan bingka betawi. Walaupun asap menyelubungi serta haba abu menjamah segenap tubuhnya. Saya menyaksikan ketenangan diwajah jernih emak.

Sebagai anak yang mampu saya katakan, " Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibubapa ku ini serta sayangilah mereka sepertimana mereka menyayangi kami sewaktu kecil".

Semoga Allah memberkati perkahwinan Emak dan Abah serta merahmati keduanya..............Amin!


Wallahualam.

Wednesday, April 7, 2010

dari BUMI ke MARIKH


Pada Ahad lepas sekitar jam 4pm saya didatangi pesanan ringkas (sms) yang tertulis

"Salam ustaz, saya B ibu A. Ustaz minta tolong perhatikan di asrama muslimat. Suami saya ada memberitahu setiap kali terima panggilan dr A, anak saya menangis kerana d buli rakan d asrama. Kumpulan yang sama terus membuli A. Sedih hati saya bila jauh dan mendapat khabar berita anak saya asyik kena buli. Setiap kali saya ke sana pelajar begitu sopan, memberi salam dan bersalaman. Tapi bila khabar yg saya terima anak saya terus d buli oleh kumpulan yang sama, saya sungguh kesal atas apa yang berlaku. Niat dan tujuan saya menghantar anak ke sana utk merubah tingkah laku A. A perlukan waktu dan dia perlukan rakan juga utk membantu. Tapi jika rakan terus membuli A bagaimana A akan berubah. Saya amat berharap pelajar d sana dapat bergaul baik, memberi sokongan dan kerjasama utk A berubah. Balik cuti hari tu, A tak tinggal solat. Saya masih d luar negara, harap ustaz dapat membantu. TK."

kemudian saya terus 'forward' kan sms ini kepada muraqibah (warden pelajar muslimat).

Sepengetahuan saya bukan kali pertama ibu ini menyatakan bahawa anaknya dibuli. Serta muraqibah juga telah membuat penelitian atas aduan tersebut.

Beberapa hari selepas saya 'forward' kan sms tersebut saya bertanya semula kepada muraqibah yang diberi tanggungjawab.
" Macam mana muraqibah, ada kesahihan pada sms yang saya 'forward' kan tempoh hari?."

" Ustaz, A pelajar yang datang dari keluarga mewah. Di rumahnya ada dua pembantu rumah. Semua keperluannya dari hujung rambut hingga hujung kuku di urus 'maid'," muraqibah memulakan penerangan.

Beberapa saat kemudian dia menyambung lagi."Dia kekok untuk membasuh baju, melipat kain baju bahkan tak mampu untuk menjaga barang keperluannya. Apatah lagi ustaz sekiranya disuruh membuat kerja-kerja usrah seperti menyapu asrama, sampah sarap, membersih kawasan sekitar asrama mengelap dewan makan dan membasuh tandas oleh ketua-ketua usrah dan ketua lujnah. Dia merasakan tersangat asing serta seperti didera lah ustaz!."

Dari penerangan muraqibah tersebut barulah saya faham. A mengalami 'culture shock'. Umpama dia yang dari bumi tiba-tiba dipindahkan ke marikh. Dari semua kehidupan dirumah yang semuanya mewah, selesa, lenang, diselenggara dan bebas kepada kehidupan di Maahad yang serba dhaif, sendiri dan konkong. Maka keluar lah istilah buli dalam fikiran si anak apabila ditugaskan melaksanakan kerja-kerja yang dianggap jijik yang mana layak dikerjakan oleh wanita indonesia yang bergelar 'maid' sahaja.

Sama sekali bukan salah anak tetapi adalah pembiasaan yang telah diberikan kepada anak. Bagi mereka kerja-kerja usrah yang merupakan aktiviti didikan rohani untuk merendahkan hati serta melentur ego hanyalah merupakan perlakuan penderaan fizikal yang membosankan.

Oleh yang demikian, setinggi everest sekalipun harta kita, semewah mana pun sekali kehidupan kita. Latihlah anak-anak dengan kedhaifan hidup. Kerana dengan kedhaifan hidup anak akan pelajari mengurus diri dan harta. Dan yang penting lagi mampu menilai rahmat Allah.

Walaupun kita punyai 100 orang 'maid' dirumah. Pastikan ini sama sekali tidak menjadi faktor untuk anak tidak kenal penyapu, mop, kain buruk, berus tandas dan sabun. Kerana ia bukan sahaja membentuk jati diri malahan menyemai kesuburan hati.


Wallahualam!

Wednesday, March 24, 2010

Istiqamah







[gambar Perpustakaan Maahad Al Ansar]



"MasyaAllah! sukar juga untuk istiqamah menulis ni" bisik hatiku.
"Bukannya tak ada topik untuk dicoret, tapi pengurusan penggunaan masa. Perlu lebih efektif. Jangan jadikan 'sibuk' sebagai alasan. Sekali mencipta alasan - seribu kali kau akan terus mencipta alasan" keluh hati ini lagi.

Ironi aku sarat dengan tindakan penambahbaikkan Maahad. Target ku pada peralihan tahun ke-3 pentadbiran ku ini adalah kearah Pemantapan Pentarbiyahan dan Pendidikan. Semangat terus berkobar serta hati berkeyakinan bahawa penyatuan antara Mualim/ah (guru) dan pelajar Al Ansar terus membuahkan kecemerlangan. Iaitu dengan terbuktinya melalui keputusan SPM tahun lepas (2009).

"Apakah lebih menggembirakan bagi seorang pendidik apabila melihatkan kesolehan akhlak serta kecemerlangan pelajaran anak-anak didiknya," kalbu ku terus membisik sendiri.

Kali ini aku matlamatkan untuk menaiktaraf perpustakaan sedia ada. Iaitu dengan cara memperbanyakkan buku dan pada masa yang sama menyuburkan susana ilmu di dalamnya dengan cara memperbesarkannya seterusnya diindahkan dengan perabot baru.

Semoga kenginan ku ini tercapai........AMIN!

Monday, March 15, 2010

Menguntun Kasih, Menjambak Bersama

[barisan Ahli Jawatankuasa PIBG 2010 -2012]
Sedari seminggu, mualim - mualimah Maahad Al Ansar berusaha sebaik mungkin untuk menjayakan Mesyuarat PIBG dan Hari Kecemerlangan Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar. Sehingga pada hari terakhir persiapan iaitu Jumaat - 12 Mac 2010. Kecekalan terbukti sehinggakan beberapa orang mualim - mualimah hanya sempat melabuh malamnya setelah jam menunjukkan 4 am 13 Mac 2010.
Alhamdulillah, program yang dirancang berjalan lancar. Sejak 8am ibubapa telah mula memenuhi Dataran Al Ansar. Seterusnya 9 am mesyuarat PIBG bermula. AJK lama dibubarkan serta AJK baru dilantik. Oleh itu, YDP PIBG serta AJK barunya mengambil tempat mengemudi mesyuarat.
TAHNIAH! kepada YDP dan AJK PIBG yang baru dilantik. Semoga Maahad AlAnsar terus melangkah ke arah kecemerlangan.
[program telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dr Zulkifli]

[antara hadirin - ibubapa pelajar yang hadir]
Kemuncak program ialah penyampaian hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang. Hadiah yang disediakan oleh pihak sekolah ini tidak diberikan oleh para jemputan tetapi diberikan sendiri oleh ibubapa pelajar tersebut.

Pelbagai reaksi di atas pentas ketika penyampaian hadiah tersebut. Ada yang mencurahkan air mata kegembiraan bersama pelukan, ciuman serta dakapan kasih seorang bapa/ibu kepada anak-anak. Semoga kasih sayang ini terus menjana kecemerlangan anak-anak.



[gambar-gambar bapa/ibu yang menzahirkan kasih sayang ke atas kejayaan anak-anak mereka]






[pelajar cemerlang SPM 2009 tampil menerima sijil]
{akhirulkalam - Jazakallah fi Barokatillah kepada semua yang menjayakan program ini}

Sunday, March 14, 2010

TAHNIAH! buat anak-anak ku....


ucapan TAHNIAH! khas untuk anak-anak ku (yg mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia.


Terutama untuk SITI RAMLAH BT SHAFIQ yang telah memperolehi 5A

Syababul Ansar terus beraksi

[sila tekan butang 'play']

video

Monday, March 8, 2010

TAHNIAH ! buat kumpulan nasyid Syabab ul Ansar

Kumpulan nasyid yang mewakili Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar ini telah mendedangkan 2 nasyid iaitu

1. Hijrah
2. Cinta Syahadah

bersempena dengan Sambutan 3 Dekad Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Pokok Sena Kedah. Iaitu pada 5 Mac 2010.

[sila tekan butang 'play' untuk lihat video nasyid Syabab ul Ansar]


video

Thursday, March 4, 2010

SELESA!.................PENYAKIT sebenar REMAJA

Saya kerap ditanya mengapa remaja kini tidak mempunyai jati diri seperti mana remaja-remaja ketika sekitar tahun 70 - 80an. Yang terbaru saya ditanya oleh Exco Pendidikan, Pendidkan Tinggi Dan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor; YB Dr Hjh Halimah Ali. Dalam satu program yang diadakan di Maahad ketika beliau melawat sekitar kawasan Maahad.

"Apakah dengan infrastuktur yang berkeadaan agak 'daif' begini boleh menjamin kecermelangan pelajar?." Soalan ini beliau ajukan setelah beliau melawat 3/4 kawasan Maahad iaitu ketika beliau sedang menziarahi asrama pelajar muslimin. Kemudian ada sampukan nakal "sepatutnya Dr kita patut sediakan katil untuk mereka dan apa salahnya kita bekalkan 'aircond'." Suara mengusik itu seperti berkeyakinan bahawa dengan infra yang sangat selesa seperti itu pelajar akan cemerlang.

Eksperesi awal, saya hanya melontarkan senyuman dari pertanmyaan dan usikan itu. Ini kerana soalan ini telah saya terima seawalnya dari hampir semua ibubapa serta pelawat-pelawat yang datang berkunjung.

"YB, di sini kami mengubati penyakit sebenar remaja. Penyakit sebenarnya remaja ialah benda yang kita terlepas pandang dan sangat mudah; iaitu SELESA atau 'comfort zone'. Baik mereka datang dari keluarga susah, lebih-lebih lagi dari keluarga berada." Saya meyakinkan dengan tegas.

"Bagi yang datang dari keluarga miskin, mereka memanipulasikan situasi negara yang 'aman' serta disokong dengan nilai materialistik dari pendidikan sekular, cara hidup rakan-rakan yang berada dan gaya hidup setempat. Mereka memaksa situasi tersebut suoaya turut memihak kepada mereka dengan paksaan tersebut dipindahkan kepada ibubapa dan adik beradik yang sudah bekerja. Dan ada pula yang memilih jalan gelap iaitu dengan cara mencuri, menyamun dan sebagainya." Saya meneruskan penerangan yang kerap saya ulang terutama kepada ibu bapa-ibu bapa baru.

"Manakala yang datang dari keluarga berada, menghirup peluang tersebut semaksimum mungkin. Apa yang diinginkan dituruti. Sehinggakan diri dan keperluannya pun diuruskan oleh orang yang bergelar pembantu rumah. Kemewahan menyulubungi hidup menyebabkan mereka buta serta tuli sama sekali dengan kesusahan," sambung saya.

"Sebab SELESA dengan kenewahan atau mengejar keSELESAan inilah, remaja semakin rosak dan rapuh."

"Tapi apabila sampai saja di sini (Maahad Tarbiyah Islamiyah Al Ansar). Kehidupan mereka berubah. Seperti berpindah dari planet Bumi ke Marikh. Jika sebelum ini baju mereka di basuh oleh ibu atau orang gaji, makan enak serta terhidang dengan set yang mahal dan cantik, tidur dengan tilam yang empuk serta bilik yang indah dan ditemani 24jam dengan 'handphone', 'playstation', 'shoping complex', 'cyber cafe' serta ada yang pergi lebih jauh sampai ke 'night club', karaoke, dangdut dan sebagainya. Pendek kata semuanya SELESA atau dicipta SELESA."

"Tetapi apabila sampai disini (Maahad) semuanya terbalik dunia. Makan pun gunakan bekas yang saiznya 4 kali ganda berbanding pinggan biasa. Berkongsi pula 5 orang satu dulang. "Jijik', 'cemar', 'kotor' atau apa saja alasan; akhirnya tuntutan perut terpaksa juga dipenuhi. Tidak lagi mandi disirami 'shower' dalam bilik tertutup. Yang ada hanyalah kolah yang boleh meremdamkan 100 orang pelajar. Keseluruhan keperluan hidup adalah 'dhaif' dan bersederhana."

"Alhamdulillah, dengan cara hidup susah dan bersederhana ini, remaja mula mengubah fokus. Kamus SELESA yang tertumpu pada hiburan dan kepuasan nafsu sedikit demi sedikit terhakis. Fokus mula tertumpu pada perubahan SIKAP dan AKHLAK. Yang seterusnya dua perkara ini memandu kepada kecermelangan pelajaran." Saya mengakhiri penerangan dengan penuh rasa kesyukuran kepada Ilahi terhadap hasil yang terserlah pada anak-anak di Maahad Al Ansar.

Wallahualam !

Monday, March 1, 2010

Di mana nilai Agama dalam masyarakat?

Pengakuan ibu Syafiah



Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my



HULU SELANGOR 28 Feb. – Mungkin ramai yang tidak pernah merasai pengalaman kehilangan anak tersayang. Dan jika boleh, sesiapapun tidak sanggup untuk melalui pengalaman itu.
Tetapi, jika ditakdirkan berlaku, adakah kita sebagai ibu bapa bersedia dan reda menerima hakikat kehilangan anak tersebut.
Sudah pasti, hanya tangisan yang mampu mengiringi pemergian kanak-kanak itu, seperti yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia pada Khamis lalu.
Ibu kandungnya, Siti Norhanim Aziz, sudah tidak mampu lagi mengeluarkan air mata mengenangkan kehilangan anak perempuan kesayangannya.
Sebak, pilu dan berlinangan air mata – itulah yang dilalui oleh Siti Norhanim selepas insiden itu dan setiap kali nama Syafiah Humairah disebut.
Teman lelakinya ditahan untuk membantu siasatan, namun wanita itu masih belum 'dilepaskan' oleh suaminya yang kini ditahan dalam penjara, menambah lagi derita yang ditanggung.
Siti Norhanim mendakwa, dia pernah memohon untuk bercerai dengan suaminya yang kini ditahan dalam penjara namun tidak dilepaskan.
Akibatnya, wanita berusia 25 tahun itu mengaku dia telah melakukan kesilapan kerana begitu percaya kepada teman lelakinya yang kini menjadi suspek utama kematian anak keduanya itu.
"Suami saya tidak mahu lepaskan saya...Saya mengaku telah lakukan banyak silap. Untuk itu, saya berharap supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat membantu saya," ujarnya sebak.
Siti Norhanim ditemui pemberita selepas lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di rumah ibu bapanya di Sungai Plong di sini hari ini.
Khamis lalu, Allahyarham Syafiah Humairah meninggal dunia selepas didera teman lelaki Siti Norhanim di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama di Batang Kali.
Berikutan kejadian itu, teman lelaki Siti Norhanim yang bekerja sebagai pemandu teksi dan berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Siti Norhanim yang masih sebak dengan kejadian menimpa anaknya itu mendakwa, dia tidak menyangka teman lelakinya yang dilihat begitu penyayang dan baik terhadap Syafiah Humairah sanggup bertindak sedemikian.
"Sepanjang saya kenal dia (teman lelakinya), dia seorang yang agak kelakar. Depan saya, dia begitu menyayangi anak saya, sebab itu saya tak pernah curiga dengan dia.
"Dia melayan Syafiah seperti anaknya sendiri, memanjakan dia, belikan dia baju. Anak saya pula memang tak pernah mengadu kena pukul," katanya.
Masih trauma dengan kejadian itu, Siti Norhanim yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual turut menafikan laporan bahawa dia sedang mengandung empat bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya itu.


Apakah yang akan bermain dalam benak fikiran kita apabila membaca berita ini. Yang seterusnya melahirkan respon spontan. Samada kita bincangkan bersama orang yang terdekat dengan kita atau kita hanya bermonolog sendiri. Atau hanya kita baca berita ini sama seperti kita baca berita sukan, hiburan dan berita-berita biasa yang selalu memenuhi dada akhbar.


Sedarkah kita bahawa kehadiran berita ini membuktikan bahawa NILAI masyarakat kita semakin merudum. Persoalan yang paling asas serta paling penting dalam hidup iaitu HALAL dan HARAM telah dipinggirkan.


HALAL dan HARAM dalam ibadat, muamalat, munakahat yang membawa kepada hadirnya hukum jinayat telah tidak diutama serta didahulukan.


Antara ulasan NILAI dari pembuktian berita di atas ialah:-


1. Saya berkeyakinan bahawa masyarakat Islam sebenarnya masih tidak jelas akan hukum-hakam Islam. Paling jelas mengenai pembentukan dan pembubaran keluarga Islam.
2. Had pergaulan antara bukan mahram tidak diambil endah akan peraturan dan batasnya. Menyebabkan ada yang berpendapat duduk bersama sebumbung walaupun bukan mahram sekalipun tidak melakukan apa-apa hubungan kelamin adalah tidak salah disisi Islam. Kekeliruan ini berlaku dan menyebabkan mereka merasakan perkara tersebut adalah biasa.
Dengan nilai sebegini, malah dipertontonkan serta diteladani kepada generasi muda yang merupakan anak-anak. Maka mereka akan beranggapan ianya betul. Dan seterusnya mereka akan mewarisi 'fahaman sonsang' ini terhadap kehidupan dan cara hidup mereka.
KESIMPULAN:
Pada kasarnya mungkin ada antara kita merasakan "ahhhhhhhhh! takkan lah! perkara asas agama ini pun mereka tak tahu". Tapi yakinilah itulah sebenarnya hakikat sebenar. Masyarakat Islam pada hari ini rosak kerana pada zahirnya kita lihat mereka seperti Islam. Tetapi hakikatnya dalaman mereka kosong tanpa ilmu lebih jauh lagi penghayatan. Inilah sebenarnya kejayaan pendidikan sekular yang terlaksana di Malaysia seawal dari pemerintahan Inggeris lagi sehingga sekarang.
Wallahualam!